29 DISEMBER 2022
UKRAINE
TERKINI #15 | Kasih Persaudaraan Tetap Membara Saat Krisis di Ukraine Berlanjutan
Sejak bermulanya perang di Ukraine pada Februari 2022, kira-kira 3,000 buah rumah Saksi-Saksi Yehuwa telah rosak atau musnah. Pada bulan Ogos, kerja pembaikan telah dijalankan di kawasan yang selamat dan dilakukan di bawah penyeliaan Bahagian Bantuan Bencana (DRD) serta Bahagian Rekaan dan Pembinaan Tempatan. Antara kerja-kerja yang dilakukan termasuk menggantikan bumbung dan tingkap yang rosak, dan kerja pembaikan lain. Jika rumah tersebut telah musnah, bahagian garaj atau struktur rumah yang tidak rosak dapat diubah suai menjadi sebuah rumah yang kecil. Sehingga kini, 37 projek pembinaan telah disiapkan, dan 48 projek sedang dijalankan.
Walaupun terdapat banyak cabaran untuk melakukan kerja pembaikan, saudara saudari tidak membiarkan hal itu menghalang mereka daripada menghulurkan bantuan. Saudari Svitlana yang berumur 70 tahun dari Velyka Dymerka, Wilayah Kyiv, berkata, “Saya tidak ada wang untuk membaiki bumbung dan rumah saya. Tapi saudara saudari datang dan membaikinya dalam hanya tiga hari! Ini ialah hadiah yang besar daripada Yehuwa.”
Saudari Nadiia dari Horenka, Wilayah Kyiv, kata bahawa kesaksian yang baik telah diberikan melalui kerja bantuan bencana. Dia kata, “Semua orang nampak saudara saudari datang membantu dan membaiki rumah saya. Mereka sangat kagum apabila melihat kasih antara Saksi-Saksi Yehuwa. Bahkan orang yang saya tidak kenal pun memuji kami. Kerja pembaikan telah memberikan kesaksian yang baik kepada orang ramai.”
Para Saksi yang telah kehilangan rumah sendiri turut mengambil bahagian dalam kerja pembaikan. Perhatikan contoh Yevhen dan Tetiana. Pasangan ini telah kehilangan rumah akibat hentaman peluru berpandu. Namun demikian, mereka tidak bertumpu kepada kesusahan sendiri. Sebaliknya, mereka berusaha memberikan bantuan kepada saudara saudari. Yevhen kata, ‘Kami ingin membantu orang lain. Apabila kami menggunakan tenaga kami demi orang lain, ini membantu kami menangani masalah kami juga.’
Satu lagi contoh adalah tentang Saudari Lidiia dari Hostomel, Wilayah Kyiv. Setelah saudara saudari bantu membaiki rumahnya, Lidiia tergerak untuk menghulurkan bantuan kepada orang lain. “Selama dua minggu, sekitar 16 saudara dan saudari bantu membaiki rumah saya,” katanya. “Saya rasa seperti saya sudah di dunia baharu, dan saya mahu bantu orang lain juga.”
Baru-baru ini, seorang ahli Jawatankuasa Cawangan Ukraine telah melawat kawasan projek pembaikan untuk menggalakkan saudara saudari yang kehilangan rumah. Dia meluahkan kata-kata ini: “Dari dulu lagi, saudara saudari di Ukraine selalu menunjukkan kasih kepada satu sama lain. Tetapi perang ini telah meneguhkan lagi ikatan kami. Saya sangat tersentuh melihat bagaimana saudara saudari yang menerima bantuan turut didorong untuk menggandakan usaha dalam kerja penyebaran. Seperti yang 2 Korintus 9:12 katakan, mereka ‘menyebabkan banyak ucapan syukur diberikan kepada Tuhan.’”
Setakat 20 Disember 2022, berikut ialah jumlah yang dilaporkan dari Ukraine. Angka-angka ini berdasarkan laporan yang disahkan oleh para saudara tempatan. Namun, angka sebenar mungkin jauh lebih tinggi kerana adalah susah untuk tetap berhubung dengan semua wilayah negara itu.
Kesan terhadap Saudara Saudari
47 penyiar meninggal
97 penyiar tercedera
11,477 penyiar melarikan diri dari rumah ke tempat yang lebih selamat
590 rumah musnah
645 rumah alami kerosakan besar
1,722 rumah alami kerosakan kecil
7 Dewan Perjumpaan musnah
19 Dewan Perjumpaan alami kerosakan teruk
68 Dewan Perjumpaan alami sedikit kerosakan
Bantuan yang Dihulurkan
26 Jawatankuasa Bantuan Bencana (DRC) sedang beroperasi di Ukraine
54,212 penyiar dibantu secara langsung oleh DRC untuk mencari tempat tinggal yang lebih selamat
26,892 penyiar melarikan diri ke negara lain dan dibantu oleh saudara saudari Kristian