Lompat ke kandungan

Sekolah perintis yang diadakan di Dewan Perjumpaan Sambir (atas) dan sekolah perintis yang diadakan di bilik bawah tanah di Zhytomyr (bawah)

1 FEBRUARI 2023
UKRAINE

TERKINI #16 | Kasih Persaudaraan Tetap Membara Saat Krisis di Ukraine Berlanjutan

Sekolah Latihan Perintis Disambung Semula

TERKINI #16 | Kasih Persaudaraan Tetap Membara Saat Krisis di Ukraine Berlanjutan

Sejak 26 Disember 2022, perintis biasa dan perintis khas di kawasan yang lebih selamat di Ukraine telah mula menghadiri Sekolah Latihan Perintis. Mengikut keadaan tempatan, para perintis akan menghadirinya secara bersemuka atau melalui Zoom. Biarpun ada cabaran seperti serangan udara, bekalan elektrik terputus, serta masalah ekonomi dan Internet, saudara saudari kita berusaha menghadirinya kerana mereka ingin memanfaatkan aturan istimewa ini. Hasilnya, kasih mereka terhadap Yehuwa semakin mendalam dan iman mereka terhadap-Nya semakin kuat.

Beberapa saudari berkumpul bersama untuk menyertai sekolah perintis melalui Zoom semasa bekalan elektrik terputus. Mereka menggunakan bateri untuk membekalkan tenaga kepada beberapa alat elektronik

Natalia dari Kryvyi Rih kata, “Sekolah perintis seperti pelampung keselamatan yang bantu saya supaya tidak lemas dalam kerisauan dan ketakutan.” Anastasia dari Chernivtsi juga berasa begitu dan berkata, “Sekolah ini meyakinkan saya bahawa Yehuwa sangat mengasihi saya. Sepanjang tahun lalu, banyak perkara buruk terjadi. Tetapi sekolah ini memberi saya apa yang saya perlukan. Saya bertekad untuk terus berusaha mendapatkan perkenan dan berkat Yehuwa.”

Svitlana, seorang perintis dari Kitsman, berasa risau pada mulanya semasa menerima jemputan untuk menghadiri sekolah perintis. Dia menjelaskan, “Saya beritahu Yehuwa tentang semua kekhuatiran saya, termasuk masalah ekonomi yang saya hadapi. Saya percaya kepada-Nya dan tidak menyesal dengan keputusan saya. Saya dapat rasai kasih sayang dan jagaan Yehuwa.” Suami Svitlana yang bukan Saksi sangat digalakkan oleh teladan Svitlana dan mula menghadiri perjumpaan sidang.

Saudari Victoria menyertai sekolah perintis dari stesen kereta api yang berdekatan selepas perkhidmatan Internet terputus di kawasannya

Sebanyak dua kali, para pelajar sekolah perintis di Zhytomyr terpaksa berpindah ke bilik bawah tanah kerana terdapat amaran serangan udara. Walaupun menghadapi pelbagai cabaran, mereka dapat meneruskan kelas dengan menggunakan kayu api untuk memanaskan bilik itu. Valentyna yang telah berpindah ke Zhytomyr baru-baru ini berkata, “Saya tidak akan melupakan pengalaman di sekolah ini. Saya berasa seolah-olah dilindungi di bawah naungan sayap Yehuwa.”

Seperti di banyak negara lain, para perintis di Ukraine gembira sekali semasa mendapat tahu tentang kuota masa perintis yang dikurangkan. Selepas mendengar pengumuman itu, Yulia berkata, “Hati saya dipenuhi dengan kasih dan kesyukuran kepada Yehuwa. Pagi ini, saya telah berdoa dan merayu kepada-Nya supaya saya dapat terus merintis. Saya tidak tahu apa yang Yehuwa akan lakukan, tapi saya yakin Dia akan jawab doa saya. Selepas mendengar pengumuman tentang perubahan kuota masa perintis, penghargaan saya terhadap apa yang Yehuwa lakukan semakin bertambah. Berita ini seolah-olah manisan yang sedap pada penghujung sekolah perintis.”

Setakat 24 Januari 2023, berikut ialah jumlah yang dilaporkan dari Ukraine. Angka-angka ini berdasarkan laporan yang disahkan oleh para saudara tempatan. Namun, angka sebenar mungkin jauh lebih tinggi kerana adalah susah untuk tetap berhubung dengan semua wilayah negara itu.

Kesan terhadap Saudara Saudari

  • 47 penyiar meninggal

  • 97 penyiar tercedera

  • 8,953 penyiar melarikan diri dari rumah ke tempat yang lebih selamat

  • 590 rumah musnah

  • 645 rumah alami kerosakan besar

  • 1,722 rumah alami kerosakan kecil

  • 8 Dewan Perjumpaan musnah

  • 17 Dewan Perjumpaan alami kerosakan teruk

  • 76 Dewan Perjumpaan alami sedikit kerosakan

Bantuan yang Dihulurkan

  • 26 Jawatankuasa Bantuan Bencana (DRC) sedang beroperasi di Ukraine

  • 46 rumah telah dibaiki

  • 5 Dewan Perjumpaan telah dibaiki

  • 54,445 penyiar dibantu secara langsung oleh DRC untuk mencari tempat tinggal yang lebih selamat

  • 27,655 penyiar melarikan diri ke negara lain dan dibantu oleh saudara saudari Kristian