16 MAC 2022
UKRAINE
TERKINI #3 | Kasih Persaudaraan Tetap Membara Saat Krisis di Ukraine Berlanjutan
Kami berdukacita melaporkan dua saudari terbunuh semasa pengeboman di bandar Mariupol. Setakat ini, terdapat lebih daripada 2,000 saudara saudari kita yang tidak dapat melarikan diri kerana keadaan perang yang teruk. Dalam beberapa hari ini, sekitar 150 Saksi Yehuwa berjaya melarikan diri dari bandar itu. Para saudara yang bekerja bersama Jawatankuasa Bantuan Bencana (DRC) cuba untuk bawa bekalan bantuan kemanusiaan ke Mariupol tetapi terpaksa berpatah balik kerana diserang bersama kenderaan bantuan kemanusiaan yang lain. Satu bom meletup di kawasan halaman kompleks yang ada sebuah Dewan Perjumpaan dan sebuah Dewan Perhimpunan. Ketika itu, kira-kira 200 saudara saudari kita sedang berlindung di tingkat bawah tanah Dewan Perjumpaan. Syukurlah saudara saudari tidak tercedera, tetapi kenderaan mereka musnah. Ini menyebabkan mereka lebih susah melarikan diri dari bandar itu.
Seorang penatua (gambar di bawah) yang berjaya meninggalkan Mariupol bersama keluarganya berkata, “Kami hilang apartmen, kerja, dan tidak dapat hubungi kawan-kawan. Perjalanan yang biasanya satu hari jadi enam hari. Semasa kami pandu [keluar dari bandar], kami nampak di sepanjang jalan, asap keluar dari bom yang belum meletup. Semasa perjalanan, saudara saudari bantu cari makanan dan tempat tinggal sementara. Kami rasai jagaan pengasih Yehuwa, Bapa kami . . . Pengalaman ini yakinkan kami untuk percaya Yehuwa dengan sepenuhnya.”
Pelarian dari Ukraine yang merupakan Saksi-Saksi Yehuwa telah melarikan diri ke beberapa negara Eropah untuk dapatkan perlindungan. Misalnya, seorang pembantu sidang bersama isteri dan tiga anak mereka (umur 7, 11 dan 16 tahun), melarikan diri ke Portugal. Mereka ke sana kerana mempunyai saudara-mara yang merupakan Saksi-Saksi Yehuwa. Keluarga ini tunggu selama 11 jam untuk merentasi sempadan. Kemudian, mereka membuat perjalanan sejauh 4,000 kilometer selama empat hari untuk sampai ke rumah saudara-mara mereka. Mereka tiba sejurus sebelum perjumpaan sidang bermula. Walaupun mereka tidak berbahasa Portugis, keluarga ini tetap sembah Yehuwa dan hadiri perjumpaan. Saudara saudari kagum melihat keluarga ini gembira meskipun keadaan mereka susah.
Seorang lagi saudari yang melarikan diri ke Jerman bersama keluarganya menjelaskan, “Membaca Bible, merenung tentang perkara baik dalam hidup dan harapan masa depan, memang beri kita kekuatan dan galakan. . . . Kami rasai bimbingan dan bantuan Yehuwa melalui saudara saudari kami. Mereka mengalu-alukan dan membantu kami dengan baik sekali di Ukraine, kemudian di Hungary, dan sekarang di Jerman!”
Memang jelas bahawa Yehuwa sedang membantu semua saudara saudari yang tersayang di Ukraine.—Mazmur 145:14.
Setakat 16 Mac 2022, berikut ialah jumlah yang dilaporkan dari Ukraine. Angka-angka ini berdasarkan laporan yang disahkan oleh para saudara tempatan. Namun, angka sebenar mungkin jauh lebih tinggi kerana adalah susah untuk tetap berhubung dengan semua wilayah negara itu.
Kesan terhadap Saudara Saudari
4 penyiar meninggal
19 penyiar tercedera
29,789 penyiar melarikan diri dari rumah ke tempat yang lebih selamat dalam negara itu
45 rumah musnah
84 rumah alami kerosakan besar
366 rumah alami kerosakan kecil
16 Dewan Perjumpaan alami kerosakan
Bantuan yang Dihulurkan
27 Jawatankuasa Bantuan Bencana (DRC) sedang beroperasi di Ukraine
20,981 penyiar dibantu secara langsung oleh DRC untuk mencari tempat tinggal yang lebih selamat
11,973 penyiar melarikan diri ke negara lain dan dibantu oleh saudara saudari Kristian