Lompat ke kandungan

Kiri: Saudari-saudari berlindung di bilik bawah tanah di Ukraine. Kanan: Saudara-saudara di Ukraine menyediakan bekalan bantuan untuk saudara saudari

23 MAC 2022
UKRAINE

TERKINI #4 | Kasih Persaudaraan Tetap Membara Saat Krisis di Ukraine Berlanjutan

TERKINI #4 | Kasih Persaudaraan Tetap Membara Saat Krisis di Ukraine Berlanjutan

Kita terus berdoa dengan bersungguh-sungguh demi saudara saudari di Mariupol. Di situ, kejadian tembak-menembak dan pengeboman masih berlaku. Sedihnya, enam orang saudara saudari kita terkorban. Buat masa ini, 10 orang saudara saudari di Ukraine telah terbunuh. Selain itu, seperti yang dilaporkan dalam berita, sebuah teater yang menjadi tempat perlindungan untuk lebih daripada 1,000 orang telah dibom minggu lepas. Tiada saudara saudari yang terbunuh akibat serangan ini, tetapi beberapa orang mengalami kecederaan ringan.

Sekitar 750 orang saudara saudari berjaya melarikan diri dari Mariupol, dan ada kira-kira 1,600 orang yang masih di situ. Kebanyakan daripada mereka berada di bahagian timur Mariupol yang berada di bawah kawalan Rusia.

Seperti yang dilaporkan sebelumnya, terdapat kira-kira 200 saudara saudari yang sedang berlindung di tingkat bawah tanah sebuah kompleks yang ada Dewan Perjumpaan dan Dewan Perhimpunan. Semasa mereka dapat dihubungi buat sementara, inilah laporan daripada mereka:

“Semasa dihujani bom, banyak saudara saudari sangat takut, dan ada yang mula menangis. Kami fikir kami mungkin mati akibat bom atau kebakaran. Seorang penatua mencadangkan agar kami menyanyikan lagu rohani. Kami nyanyi sekitar 10 hingga 15 lagu secara berturut-turut. Semakin kuat bunyi letupan dan gegaran bangunan, semakin kuat kami bernyanyi. Kemudian kami membaca dan membincangkan Mazmur 27. Selepas itu, semua orang kongsi ayat kegemaran masing-masing dan menjelaskan bagaimana ayat itu menguatkan mereka. . . . Kami dapat rasa bahawa Yehuwa ialah ‘Bapa yang berbelas kasihan dan Tuhan yang melegakan hati kita.’ Dia membantu kita bertenang bahkan dalam situasi yang paling susah.”—2 Korintus 1:3, 4.

Para penatua dan ahli Jawatankuasa Bantuan Bencana (DRC) sanggup menggadaikan nyawa sendiri untuk mencari rakan seiman mereka dan menghantar makanan dan ubat yang diperlukan. Ada kalanya, mereka perlu merangkak di tanah agar tidak ditembak semasa mencari rakan seiman mereka di bandar. Kita berbangga dengan saudara saudari kita yang rela “mempertaruhkan nyawa” demi rakan seiman mereka.—Roma 16:4.

Memandangkan bekalan gas dan elektrik terputus, saudari-saudari di bandar memasak di luar bangunan dengan menggunakan api. Kemudian, makanan yang dimasak itu dihantar kepada penyiar yang tua dan kurang upaya. Ramai saudara saudari kehilangan rumah, kereta, dan harta, tetapi mereka bersyukur atas kasih dan jagaan yang ditunjukkan oleh rakan seiman.

Saudari-saudari memasak dekat pintu masuk bilik bawah tanah tempat mereka berlindung

Saudara saudari di tempat perlindungan berusaha meneruskan rutin rohani mereka dengan mengkaji Bible bersama-sama. Bila dapat, mereka juga mengongsi mesej Bible dengan orang lain.

Setakat 22 Mac 2022, berikut ialah jumlah yang dilaporkan dari Ukraine. Angka-angka ini berdasarkan laporan yang disahkan oleh para saudara tempatan. Namun, angka sebenar mungkin lebih tinggi kerana kita tidak dapat sentiasa menghubungi saudara saudari di semua wilayah di Ukraine.

Kesan terhadap Saudara Saudari

  • 10 penyiar meninggal

  • 27 penyiar tercedera

  • 33,180 penyiar melarikan diri dari rumah ke tempat yang lebih selamat dalam negara itu

  • 78 rumah musnah

  • 102 rumah alami kerosakan besar

  • 484 rumah alami kerosakan kecil

  • 1 Dewan Perjumpaan musnah

  • 4 Dewan Perjumpaan alami kerosakan besar

  • 18 Dewan Perjumpaan alami kerosakan kecil

Bantuan yang Dihulurkan

  • 27 Jawatankuasa Bantuan Bencana (DRC) sedang beroperasi di Ukraine

  • 25,069 penyiar dibantu secara langsung oleh DRC untuk mencari tempat tinggal yang lebih selamat

  • 14,308 penyiar melarikan diri ke negara lain dan dibantu oleh saudara saudari Kristian