13 APRIL 2022
UKRAINE
TERKINI #6 | Kasih Persaudaraan Tetap Membara Saat Krisis di Ukraine Berlanjutan
Sedih sekali, lebih ramai saudara saudari yang tersayang meninggal kerana peperangan yang berlanjutan di Ukraine. Sejumlah 28 Saksi Yehuwa telah kehilangan nyawa.
Seperti yang dilaporkan dalam berita antarabangsa, semasa minggu-minggu pertama peperangan, keadaan perang amat teruk terutamanya di bandar-bandar berdekatan Kyiv. Daripada kira-kira 4,900 penyiar yang tinggal di wilayah ini, lebih daripada 3,500 sudah melarikan diri ke tempat yang lebih selamat.
Pengalaman-pengalaman berikut menunjukkan bagaimana saudara saudari kita mengekalkan iman yang tidak tergoyah ketika berdepan dengan situasi yang amat mencabar.
Oleksandr, seorang penatua dari bandar Makariv, melarikan diri ke tempat yang lebih selamat di bahagian tengah Ukraine. Tapi, dia bimbang tentang empat penyiar dalam kumpulan penyebarannya yang tidak dapat dihubungi. Jadi, dia kembali ke zon perang untuk mencari mereka. Dia jelaskan, “Saya tahu bagi Yehuwa, umat-Nya amat penting. . . . Apabila saya tiba di depan rumah seorang penyiar, saya nampak ia sudah terkena bom. Pintu ke tingkat bawah tanah tertutup, dan tiada sesiapa yang membalas apabila saya panggil. Saya rasa takut.” Oleksandr pecahkan pintu dan nampak sekumpulan orang yang memandang ke arahnya. Akhirnya, dia jumpai para penyiar itu dan jiran yang bukan Saksi berlindung bersama mereka.
Yaroslav, salah seorang penyiar itu, beritahu bahawa mereka berlindung di sana selama lapan hari. Dia mengenang kembali, “Setiap orang hanya makan beberapa biskut dan segelas air setiap hari. Biarpun begitu, kami baca Bible dan bahan bacaan, berdoa, serta menggalakkan satu sama lain. Semasa saya dengar Oleksandr panggil nama saya, saya fikir askar datang untuk tangkap saya. Saya ingat saya akan mati. . . . [Sebaliknya,] dia selamatkan kami semua. Kami amat berterima kasih kepada Yehuwa kerana Dia memberi kami saudara saudari yang sayang kami, berdoa untuk kami, serta sanggup menggadai nyawa sendiri demi selamatkan kami.”
Pylyp dan seorang saudara lain memutus untuk bawa makanan kepada mereka yang tinggal di bandar Borodianka. Pada 17 Mac, semasa memandu ke situ, askar rampas kereta Pylyp serta makanan itu. Kemudian mereka tangkap dan gari kedua-dua saudara serta tutup mata mereka. Lalu, mereka dibawa ke bilik kecil di tingkat bawah tanah bersama dengan tujuh lelaki lain. Dua hari kemudian, mereka dibawa ke satu sel dan dipukul oleh pengawal pada waktu malam. Pylyp kata, “Saya tak pasti sama ada dapat terus hidup. Saya doa agar saya tetap setia.”
Semasa dipukul, Pylyp mula berdoa dengan suara lantang untuk para saudari yang lanjut usia dan tanpa makanan. Dia juga berdoa demi keselamatan keluarganya, dan bersyukur kepada Yehuwa kerana dapat berkhidmat dengan gembira selama ini. Dia dibawa kembali ke selnya dan dia terus berdoa agar askar faham bahawa kedua-dua saudara itu bukan orang jahat. Mereka mula menginjil kepada pengawal. Untuk dua hari, mereka menginjil kepada semua pengawal bagi setiap syif. Salah seorang lelaki yang dipenjarakan tunjuk minat terhadap mesej Bible. Dia mengucap terima kasih kepada kedua-dua saudara itu. Pada 27 Mac, mereka bertiga dibebaskan.
Svitlana, seorang saudari bujang dari Bucha, terperangkap di zon perang selama dua minggu. Dia kata, “Lebih-lebih lagi sekarang, saya sedar betapa pentingnya kedamaian batin yang Yehuwa berikan. Memiliki kedamaian daripada Tuhan tidak bermaksud kita selalu tahu apa yang harus dilakukan. Tapi semasa kita tidak dapat lihat jalan penyelesaian, kita bergantung pada Yehuwa dengan sepenuhnya.”
Semasa ke tempat yang lebih selamat di Ukraine, Svitlana menginjil kepada seorang wanita dan anak buahnya. Mereka semua tiba di kawasan yang lebih selamat dan disambut oleh keluarga Saksi. Pada malam itu, mereka tinggal di rumah keluarga Saksi itu. Keesokan harinya, wanita itu ingin hadiri perjumpaan sidang dan minta Bible serta bahan bacaan kita. Svitlana terus berhubung dengannya.
Setakat 12 April 2022, berikut ialah jumlah yang dilaporkan dari Ukraine. Angka-angka ini berdasarkan laporan yang disahkan oleh para saudara tempatan. Namun, angka sebenar mungkin jauh lebih tinggi kerana adalah susah untuk tetap berhubung dengan semua wilayah negara itu.
Kesan terhadap Saudara Saudari
28 penyiar meninggal
48 penyiar tercedera
40,778 penyiar melarikan diri dari rumah ke tempat yang lebih selamat
278 rumah musnah
268 rumah alami kerosakan besar
746 rumah alami kerosakan kecil
1 Dewan Perjumpaan musnah
9 Dewan Perjumpaan alami kerosakan teruk
26 Dewan Perjumpaan alami sedikit kerosakan
Bantuan yang Dihulurkan
27 Jawatankuasa Bantuan Bencana (DRC) sedang beroperasi di Ukraine
41,974 penyiar dibantu secara langsung oleh DRC untuk mencari tempat tinggal yang lebih selamat
18,097 penyiar melarikan diri ke negara lain dan dibantu oleh saudara saudari Kristian