Lompat ke kandungan

Bangunan Mahkamah Keadilan Diraja, yang menempatkan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan England dan Wales

12 MEI 2020
UNITED KINGDOM

Mahkamah England Mempertahankan Hak Kita untuk Memilih Penganut Agama

Mahkamah England Mempertahankan Hak Kita untuk Memilih Penganut Agama

Pada 17 Mac 2020, Mahkamah Rayuan England dan Wales menyatakan bahawa tidak ada alasan untuk mengubah keputusan Mahkamah Tinggi (mahkamah perbicaraan) yang telah mempertahankan hak Saksi-Saksi Yehuwa untuk mengikut arahan Bible dalam hal penyingkiran ahli sidang.

Dalam perbicaraan yang menyeluruh, Mahkamah Tinggi telah memutuskan bahawa sidang berhak mengumumkan seseorang itu bukan lagi Saksi-Saksi Yehuwa. Pengumuman tersebut tidak bertujuan untuk menjatuhkan reputasinya. Richard Spearman, Q.C., yang merupakan hakim mahkamah perbicaraan itu, berkata, “Memang biasa bagi kumpulan agama yang berusaha mematuhi prinsip Bible memiliki hak untuk menyingkirkan seorang pendosa dalam situasi tertentu. Tindakan ini adalah munasabah dan ada kalanya perlu dilakukan. Seseorang yang tidak dapat atau enggan mematuhi prinsip Bible tidak lagi layak menjadi penganut agama itu. Jika dia tidak disingkirkan, dia boleh membawa pengaruh yang buruk kepada ahli sidang yang lain.”

Selepas keputusan mahkamah, individu dalam kes ini membuat permohonan agar Mahkamah Rayuan mengubah keputusan mahkamah perbicaraan itu. Mahkamah Rayuan menolak permohonannya dengan menyatakan bahawa permintaan itu “sama sekali tidak berasas,” dan keputusan mahkamah perbicaraan adalah “betul” serta “hak menyingkirkan seseorang adalah diperlukan dalam sebuah organisasi agama.”

Peguam Saksi-Saksi Yehuwa yang bernama Shane Brady berkata, “Keputusan itu selaras dengan banyak lagi keputusan dari mahkamah-mahkamah Inggeris, Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah, dan mahkamah-mahkamah rayuan di Kanada, Benua Eropah, dan Amerika Syarikat. Semua keputusan tersebut menjunjung hak Saksi-Saksi Yehuwa untuk menentukan siapa yang layak menjadi penganut agama mereka.”

Kita bersukacita kerana keputusan mahkamah itu menyokong hak kita untuk mematuhi arahan Bible dan melindungi sidang kita daripada pengaruh yang buruk.—1 Korintus 5:11; 2 Yohanes 9-11.