30 MEI 2019
UZBEKISTAN
Peringatan Kematian Kristus Diadakan Secara Terbuka di Uzbekistan
Pada 19 April 2019, saudara saudari kita di seluruh Uzbekistan dapat menyambut Peringatan kematian Kristus secara terbuka. Selama bertahun-tahun sebelumnya, kebanyakan saudara saudari terpaksa menyambutnya secara rahsia.
Saksi-Saksi Yehuwa di Uzbekistan hanya berdaftar secara rasmi di Chirchik, iaitu sebuah bandar dekat Tashkent. Selama ini, saudara saudari kita yang tinggal di luar kawasan Chirchik menyambut Peringatan kematian Kristus secara rahsia agar pertemuan mereka tidak diketahui oleh pihak polis. Tahun ini, pihak polis diberitahu tentang sambutan Peringatan yang diadakan dan dijemput untuk turut hadir. Pihak polis menyambut baik aturan ini dan bahkan membantu menjaga keselamatan para hadirin. Di sesetengah tempat, pegawai polis juga menghadiri sambutan yang diadakan.
Saudara Mark Sanderson, salah seorang ahli Badan Pimpinan, menyampaikan ceramah Peringatan di sebuah Dewan Perjumpaan di Chirchik, seperti yang ditunjukkan dalam gambar di atas. Ceramahnya diterjemahkan ke dalam bahasa Rusia. Jumlah hadirin di situ ialah 781 orang. Pada malam itu, dua lagi sambutan Peringatan diadakan di kompleks yang sama.
Semasa kunjungannya, Saudara Sanderson ditemani Saudara Paul Gillies dari ibu pejabat sedunia, dan dua orang saudara lain dari Asia Tengah. Mereka telah bertemu dengan pegawai dari Kementerian Kehakiman dan Pusat Hak Asasi Manusia Kebangsaan. Dalam pertemuan itu, saudara-saudara kita diizinkan untuk membentangkan maklumat yang tepat tentang kepercayaan dan organisasi kita. Kita berharap agar maklumat tersebut dapat menggerakkan para pegawai itu untuk membantu kita mendaftarkan organisasi kita secara rasmi di tempat-tempat yang lain di Uzbekistan. Dengan demikian, saudara saudari kita dapat mencari tempat ibadat yang sesuai.
Sambutan Peringatan yang diadakan secara terbuka dan pertemuan dengan para pegawai ialah dua perkembangan positif yang terbaru di Uzbekistan. Sepanjang enam bulan yang lalu, Saksi-Saksi Yehuwa tidak didenda atau ditangkap, dan rumah Saksi-Saksi Yehuwa tidak digeledah. Selain itu, kira-kira setahun yang lalu, iaitu pada 14 Mei 2018, Encik Javlon Vakhabov, iaitu duta Uzbekistan yang diutus ke Amerika Syarikat, telah menyatakan secara terbuka bahawa parlimen akan berusaha untuk membuat undang-undang yang memudahkan Saksi-Saksi Yehuwa untuk didaftarkan secara rasmi.
Semoga Yehuwa terus memberkati usaha saudara saudari kita di Uzbekistan untuk “menjalani kehidupan yang tenang dan tenteram, mengabdikan diri kepada Tuhan dengan sepenuhnya, dan melakukan segala sesuatu dengan bersungguh-sungguh.”—1 Timotius 2:2.