Lompat ke kandungan

8 NOVEMBER 2021
VENEZUELA

Buku Matius dan Yohanes Dikeluarkan dalam Bahasa Isyarat Venezuela

Buku Matius dan Yohanes Dikeluarkan dalam Bahasa Isyarat Venezuela

Pada 30 Oktober 2021, buku Matius dan Yohanes dalam Bible telah dikeluarkan dalam Bahasa Isyarat Venezuela. Lebih daripada 2,200 saudara saudari telah menonton siaran rakaman program khas itu. Saudara Miguel Guillén, seorang ahli Jawatankuasa Cawangan Venezuela telah mengeluarkan buku-buku itu. Sejak 2006, sekitar 7,000 ayat Bible telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Isyarat Venezuela. Tetapi inilah pertama kali satu buku yang lengkap dikeluarkan.

Di pejabat penterjemahan

Para penterjemah Bible Terjemahan Dunia Baharu memilih buku Matius dan Yohanes kerana kisah tentang Yesus dikenali ramai dan gaya penulisannya juga lebih mudah diterjemahkan berbanding bahagian lain dalam Bible.

Pada 2003, sidang bahasa isyarat yang pertama telah ditubuhkan di Cabimas, sebuah bandar di barat Venezuela. Kini terdapat 1,204 penyiar dalam 53 buah sidang bahasa isyarat di Venezuela. Banyak orang pekak suka belajar Bible tetapi Bahasa Isyarat Sepanyol sangat berbeza dan mereka susah memahaminya.

Seorang penyelia litar menceritakan pengalaman ini: “Ada seorang lelaki pekak yang cuba membaca Bible dalam bahasa Sepanyol. Tetapi sayangnya, dia langsung tidak faham apa-apa.” Dia bersambung, “Lelaki itu merayu Tuhan untuk membantunya. . . . Apabila dia ditawarkan pembelajaran Bible dalam Bahasa Isyarat Venezuela, dia terus setuju.”

Enam penterjemah telah mengambil masa 10 bulan untuk menghasilkan buku-buku ini. Selain itu, tujuh saudara pekak dari kawasan yang berbeza juga terlibat sebagai panel untuk memberikan pendapat mereka tentang terjemahan. Maklum balas mereka sangat penting supaya para penterjemah dapat memastikan kandungannya difahami oleh orang dari pelbagai kawasan.

Disebabkan pandemik COVID-19, para penterjemah harus bekerja dari lokasi yang berbeza melalui persidangan video. Satu cabaran yang dihadapi mereka ialah masalah Internet. Seorang penterjemah kata, “Ini memang tidak senang, tapi Yehuwa telah bantu kami mengatasinya.”

Firman Tuhan yang tersedia dalam bahasa saudara saudari pekak di Venezuela bagaikan “perak yang dimurnikan.” (Mazmur 12:6) Kita terus berdoa agar mereka meraih manfaat yang sepenuhnya daripada kurniaan ini.