Lompat ke kandungan

Saudara saudari di Venezuela menyambut Peringatan kematian Yesus

21 APRIL 2021
VENEZUELA

Sambutan Peringatan 2021—Venezuela

Walaupun Menghadapi Rintangan, Saudara Saudari di Venezuela Mencari Jalan untuk Menyambut Peringatan dan Menjemput Orang Lain

Sambutan Peringatan 2021—Venezuela

Saudara saudari kita di Venezuela menghadapi pelbagai masalah serius, seperti krisis ekonomi dan sosial, termasuk juga pandemik COVID-19. Walaupun begitu, mereka masih mencari jalan untuk bukan sahaja menyambut Peringatan kematian Yesus tetapi juga menjemput orang lain.

Contohnya, dua minggu sebelum sambutan Peringatan, perang tercetus di La Victoria, Negeri Apure, dekat sempadan dengan Colombia. Maka semua penyiar di sidang tempatan terpaksa melarikan diri ke Colombia. Namun, saudara saudari di sidang Arauquita, Colombia, telah membantu saudara saudari dari Venezuela untuk mengikuti sambutan Peringatan secara online.

Sepasang suami isteri mendengar ceramah Peringatan dengan menggunakan walkie-talkie

Sebuah sidang di Negeri Falcón berada di kawasan yang tiada signal telefon dan akses Internet. Jadi program Peringatan disiarkan kepada 70 penyiar di sidang itu melalui walkie-talkie, iaitu radio dua hala mudah alih.

Seorang saudari berkata, “Walaupun saya tidak dapat lihat saudara saudari dan saling berpelukan, tapi saya boleh dengar suara mereka. Jadi saya masih rasa seolah-olah mereka dekat dengan saya.”

Beberapa hari menjelang acara Peringatan, semua sidang berusaha dengan sedaya upaya untuk menjemput orang dari kawasan-kawasan terpencil di seluruh negara untuk mendengar program. Pelbagai kaedah untuk mendengar ceramah Peringatan disediakan dan lebih daripada 3,000 jemputan dihantar. Usaha bersepadu itu telah berhasil. Misalnya, di Araya, sebuah pekan pinggir pantai, lebih daripada 100 orang mendengar ceramah Peringatan melalui telefon.

Seorang saudara sedang mendengar ceramah melalui radio

Pejabat cawangan Venezuela juga telah membuat aturan untuk menyiarkan ceramah Peringatan melalui 82 stesen radio dan 9 saluran televisyen. Sekurang-kurangnya 8,000 saudara saudari dan orang yang dijemput telah menikmati program dengan cara itu. Program juga disiarkan dalam beberapa bahasa peribumi seperti Guahibo, Pemon, Piaroa, Pumé, Warao, Wayuunaiki, dan Yekuana.

Di Guasipati, Negeri Bolívar, ceramah Peringatan dijadualkan untuk disiarkan sekali sahaja melalui stesen radio tempatan pada pukul 6:30 petang. Malangnya, kawasan itu sering kali mengalami pemadaman bekalan elektrik bergilir (rolling power outage). Ini bermaksud ramai tidak dapat mendengar keseluruhan ceramah itu. Tetapi disebabkan masalah teknikal di stesen radio, ceramah itu terus disiarkan berulang-ulang sehingga lebih daripada 10 kali sepanjang malam. Hasilnya, semua pendengar dapat menikmati seluruh ceramah Peringatan pada waktu-waktu yang berlainan. Seorang saudara berkata, “Yehuwa pasti tidak mahu sesiapa pun terlepas ceramah istimewa itu!”

Walaupun saudara saudari kita di Venezuela “berdukacita kerana menanggung berbagai-bagai cubaan,” tetapi mereka “sangat gembira” kerana Yehuwa memberkati usaha baik mereka untuk menyambut Peringatan dan menjemput orang lain.—1 Petrus 1:6, 7.