24 OKTOBER 2023
ZIMBABWE
Kesaksian Awam semasa Pameran Pertanian Zimbabwe 2023
Dari 28 Ogos hingga 2 September 2023, Pameran Pertanian Zimbabwe telah diadakan di Harare, Zimbabwe. Terdapat lebih daripada 500 peserta pameran dan lebih daripada 250,000 orang telah mengunjungi pameran antarabangsa tersebut. Seramai 79 penyiar telah menyertai acara ini dan mempamerkan bahan bacaan dalam bahasa Inggeris, Ndebele (Zimbabwe), dan Shona. Secara keseluruhan, hampir 6,300 bahan bacaan telah diedarkan dan 116 orang telah memohon pembelajaran Bible.
Seorang remaja yang bernama Tamuka telah mengunjungi pameran Saksi-Saksi Yehuwa. Dia tertarik kepada buku “Pertanyaan Kaum Muda” (Questions Young People Ask—Answers That Work), Jilid 1 dan 2. Apabila dia mendapat tahu bahawa para Saksi menawarkan kursus perbincangan Bible percuma, dia sangat teruja dan tanya, “Bolehkah kamu beritahu saya lebih banyak tentang kursus Bible ini?” Para Saksi telah menunjukkan cara untuk mengadakan pembelajaran Bible dengan menggunakan brosur Nikmati Hidup Selama-Lamanya! Kemudian, Tamuka memohon pembelajaran Bible dan seorang saudara telah membuat aturan untuk belajar dengannya.
Seorang lagi lelaki telah menghampiri pameran kita. Dia sangat kagum dengan ketekunan dan kerendahan hati para Saksi yang selalu giat menginjil. Saudara yang berada di sana membacakan Matius 28:19, 20 kepadanya dan menjelaskan bahawa Saksi-Saksi Yehuwa berusaha mentaati perintah Yesus untuk menyebarkan mesej Bible. Lelaki itu berkata bahawa dia juga berharap dia ada keberanian untuk menginjil seperti mereka. Saudara kita pun menawarkan kursus pembelajaran Bible kepada lelaki itu dan dia telah menerimanya.
Seorang wanita lain pula sangat menghargai kebaikan hati dan kesopanan Saksi-Saksi Yehuwa. Para saksi menjelaskan bahawa mempelajari dan menerapkan nasihat Bible telah membantu mereka memupuk dan menunjukkan sifat-sifat Kristian. Selepas itu, saudari kita pun menunjukkan cara menggunakan brosur Nikmati Hidup Selama-Lamanya! untuk mengadakan pembelajaran Bible. Wanita itu berasa sangat teruja kerana ada banyak bahan bacaan yang tersedia secara percuma. Tambahan lagi, bahan bacaan kita menyentuh pelbagai topik untuk keluarga dan orang muda. Wanita itu telah mengambil bahan bacaan kita dan senaskhah Bible. Dia juga menerima tawaran untuk belajar Bible dan dia berkata, “Inilah hadiah terbaik yang saya pernah terima!”
Selain melakukan kesaksian awam, saudara saudari kita juga menginjil secara tidak formal. Seorang saudara telah berbual dengan seorang lagi peserta pameran tersebut. Selepas perbualan itu, saudara kita kembali untuk mengunjungi wanita itu lagi dan memberinya senaskhah Bible dan beberapa bahan bacaan. Wanita itu sangat gembira kerana dia inginkan senaskhah Bible tetapi dia tidak berjaya mendapatkannya sebelum itu. Dia telah memberikan maklumat perhubungannya supaya seorang saudari lain dapat mengunjunginya lagi.
Apakah perasaan para Saksi yang telah menyertai aturan kesaksian awam ini? Seorang saudari yang bernama Ranganai berkata, “Kesihatan saya telah merosot kebelakangan ini. Jadi, saya tidak dapat melakukan sebanyak yang saya mahu dalam kerja penyebaran. Tapi, saya berusaha untuk berfokus kepada berkat-berkat dan bukannya cabaran saya. Salah satu berkat itu ialah peluang yang saya ada untuk menyertai aturan ini. Ini menguatkan semangat dan keyakinan saya.”
Kita amat digalakkan untuk mendengar pengalaman saudara saudari kita di Zimbabwe dan kita berbesar hati dapat berganding bahu dengan mereka sebagai “rakan sekerja Tuhan.”—1 Korintus 3:9.