Lompat ke kandungan

20 APRIL 2022
ZIMBABWE

Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu Dikeluarkan dalam Bahasa Chitonga (Zimbabwe)

Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu Dikeluarkan dalam Bahasa Chitonga (Zimbabwe)

Pada 10 April 2022, Saudara John Hunguka, ahli Jawatankuasa Cawangan Zimbabwe, mengumumkan pengeluaran Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu bahasa Chitonga (Zimbabwe) dalam bentuk digital. Rakaman program telah disiarkan kepada kira-kira 500 hadirin. Salinan bercetak pula akan tersedia pada Julai 2022.

Kebanyakan orang Tonga yang menutur bahasa Chitonga tinggal di wilayah-wilayah bahagian selatan dan barat Zambia serta utara Zimbabwe. Pada 2014, Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu telah dihasilkan dalam bahasa Chitonga yang dituturkan di Zambia dan berkait rapat dengan bahasa Chitonga (Zimbabwe). Inilah kali pertama Bible telah diterjemahkan dan diterbitkan dalam bahasa Chitonga (Zimbabwe). Sebelum ini, orang berbahasa Chitonga (Zimbabwe) perlu bergantung pada terjemahan Bible bahasa Chitonga yang digunakan di Zambia.

Walaupun Chitonga (Zambia) dan Chitonga (Zimbabwe) ada persamaan, tapi terdapat banyak perbezaan dari segi makna sesetengah perkataan dan ungkapan. Misalnya, dalam Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu bahasa Chitonga (Zambia), ayat di 1 Yohanes 3:17 menyatakan bahawa seorang Kristian patut tunjukkan belas kasihan terhadap seorang saudara yang “memerlukan bantuan.” Tapi, dalam bahasa Chitonga (Zimbabwe), ungkapan yang sama ini akan membawa maksud seorang saudara yang “gila.” Para penterjemah menyesuaikan ayat itu untuk sampaikan maksud sebenar bagi pembaca bahasa Chitonga (Zimbabwe).

Beberapa bangunan pejabat penterjemahan Chitonga (Zimbabwe) di Binga, Zimbabwe

Salah seorang penterjemah kata, “Dulu, saya habiskan banyak masa dalam kerja penyebaran untuk cuba jelaskan maksud perkataan dalam ayat Bible kepada penghuni. Kini, saya hanya perlu baca ayat Bible dan biar Firman Tuhan mengajar mereka.”

Kita bersukacita bersama saudara saudari yang berbahasa Chitonga (Zimbabwe) kerana mereka dapat menggunakan terjemahan baharu ini untuk menunjukkan “jalan kehidupan” kepada lebih ramai orang yang berhati jujur.—Mazmur 16:11.