22 MEI 2024
ZIMBABWE
Saksi-Saksi Yehuwa Menyebarkan Berita Baik kepada Orang yang Menuturkan Bahasa Chitonga (Zimbabwe)
Dari 13-27 April 2024, Saksi-Saksi Yehuwa di beberapa tempat di Zimbabwe telah menyertai satu kempen penyebaran istimewa. Kempen ini bertumpu kepada orang yang menuturkan bahasa Chitonga (Zimbabwe). Hampir 300,000 orang yang menggunakan bahasa ini di Zimbabwe tinggal secara berkelompok di kawasan luar bandar di daerah Binga. Amatlah mencabar untuk mencapai semua orang di sana kerana hanya terdapat kira-kira 300 penyiar yang berkhidmat di lapan sidang bahasa Chitonga (Zimbabwe).
Kempen istimewa ini membuahkan hasil yang baik. Di satu sidang, 77 orang yang berminat telah menghadiri perjumpaan hujung minggu yang pertama semasa kempen diadakan. Pada minggu seterusnya, 126 orang yang berminat telah hadir. Secara keseluruhan, lebih daripada 2,000 pembelajaran Bible telah dimulakan.
Perhatikan beberapa pengalaman ini. Para saudara yang melawat satu kelompok rumah disambut oleh seorang wanita dan anak-anaknya. Saudara kita meminta untuk bercakap kepada ketua kampung itu. Rupa-rupanya, suami wanita itu merupakan ketua kampung dan dia sangat gembira kerana para saudara menunjukkan hormat dengan bercakap kepadanya terlebih dahulu. Dia juga menunjukkan Biblenya dalam bahasa Chitonga (Zimbabwe) kepada mereka dan satu pembelajaran Bible dapat diadakan. Aturan telah dibuat untuk meneruskan perbincangan itu. Lelaki itu juga mengizinkan para Saksi untuk menginjil kepada rumah-rumah lain di kampung itu.
Semasa menginjil di satu pekan, dua orang saudara jumpa seorang lelaki yang kata bahawa dia seorang Saksi-Saksi Yehuwa. Dia jelaskan bahawa para Saksi telah menginjil kepada bapanya pada tahun 1993. Bapanya telah mula belajar Bible dengan mereka. Tetapi selepas berpindah beberapa kali, keluarganya tidak dapat menghubungi para Saksi. Maka, pembelajaran Bible itu tidak dapat diteruskan. Pada keesokan harinya, dua saudara itu berjalan selama sejam setengah untuk pergi ke rumah keluarga itu. Bapa lelaki itu sangat gembira berjumpa dengan mereka dan meluahkan bahawa sebelum itu, dia telah berdoa agar para Saksi melawatnya. Mereka sekeluarga setuju untuk belajar Bible dan telah menghadiri perjumpaan pertengahan minggu. Mereka bahkan membawa seorang jiran bersama mereka ke perjumpaan Kristian.
Seorang saudari bernama Alicia bertemu dengan seorang wanita yang tua. Wanita itu menerima jemputan untuk hadir perjumpaan Kristian. Semasa Alicia tiba di tempat wanita itu untuk membawanya ke perjumpaan, wanita itu sudah menunggu di sana. Dia juga ajak seorang kawannya untuk pergi bersamanya. Selepas perjumpaan itu, wanita itu kata, “Saya dapat lihat dengan jelas bahawa Tuhan ada bersama kamu semua. Sambutan mesra dan kasih yang kamu tunjukkan kepada saya buat saya mahu datang lagi.”
Kita turut bersukacita atas hasil baik yang diraih daripada kempen ini. Pengalaman-pengalaman ini mengingatkan kita bahawa usaha kita untuk menabur benih kebenaran di serata dunia akan berhasil.—Pengkhutbah 11:6.