Lompat ke kandungan

Pejabat cawangan pada masa sekarang di Harare, Zimbabwe. Sisipan: Salah satu bangunan yang digunakan dahulu sebagai pejabat cawangan di Bulawayo

3 OKTOBER 2023
ZIMBABWE

Ulang Tahun Ke-75 Pejabat Cawangan Zimbabwe

Ulang Tahun Ke-75 Pejabat Cawangan Zimbabwe

September 2023 ialah ulang tahun ke-75 penubuhan pejabat cawangan Saksi-Saksi Yehuwa di Zimbabwe. Kini, pejabat cawangan terletak di Harare, iaitu ibu negara Zimbabwe.

Semasa Saksi-Saksi Yehuwa mula menyebarkan berita baik di Zimbabwe, kegiatan sidang diaturkan oleh pejabat cawangan di Afrika Selatan. Pada 1932, pejabat cawangan Afrika Selatan menugaskan empat perintis untuk melakukan kempen menginjil di Zimbabwe, yang dikenali sebagai Rhodesia Selatan pada masa itu. Tidak lama kemudian, usaha mereka telah membuahkan hasil dan ramai orang menerima kebenaran.

Dari kiri ke kanan: Eric Cooke, Myrtle Taylor, Phyllis Kite, Ruby Bradley, dan George Bradley

Pada November 1940, semangat kebangsaan dan sokongan terhadap perang telah menyebabkan kerja para Saksi disekat. Bahan bacaan Saksi tidak dapat diimport dan diedarkan. Ramai saudara kita telah dipenjarakan kerana berpendirian neutral. Namun, saudara saudari terus menyebarkan berita baik dengan hati-hati dan ini telah membawa hasil yang baik. Enam tahun kemudian, kerja kita tidak lagi diharamkan. Tidak lama selepas itu, jumlah penyiar di Zimbabwe telah meningkat lebih daripada tiga kali ganda kepada 3,500 orang.

Pada 1 September 1948, satu pejabat cawangan telah ditubuhkan di Bulawayo, iaitu bandar yang kedua terbesar di Zimbabwe. Pejabat cawangan ini akan menyokong pertumbuhan penyiar yang pesat di negara itu. Saudara Eric Cooke telah dilantik sebagai pembantu cawangan yang pertama. Kemudian, mubaligh dari sekolah Gilead seperti George dan Ruby Bradley, Phyllis Kite, dan Myrtle Taylor telah ditugaskan ke pejabat cawangan Zimbabwe.

Ahli keluarga Bethel Zimbabwe yang bekerja keras. Kiri ke kanan: Seorang saudara sedang menyediakan makanan untuk keluarga Bethel, sebuah kumpulan penterjemah Bahasa Isyarat Zimbabwe, dan seorang saudari yang sedang berkebun

Pada tahun-tahun berikutnya, jumlah penyiar di negara itu semakin meningkat. Oleh sebab itu, beberapa bangunan baharu untuk cawangan Zimbabwe diperlukan untuk mengatur kerja di sana.

Bahan bacaan dalam sepuluh bahasa yang digunakan di kawasan cawangan Zimbabwe

Pejabat cawangan yang digunakan sekarang telah dibina di Harare dan ditahbiskan pada Disember 1998. Cawangan ini menyelia kerja penterjemahan dalam tujuh bahasa dan menjaga keperluan saudara saudari di 960 sidang di negara itu. Terdapat lebih daripada 46,000 penyiar yang berkhidmat di Zimbabwe, dan seramai 120,702 orang telah menghadiri Peringatan kematian Kristus pada 2023.

Kita turut bergembira melihat pertumbuhan rohani yang baik di Zimbabwe. Ini membuktikan bahawa Yehuwa ‘sentiasa menjaga dan melindungi’ orang yang setia kepada-Nya.—2 Tawarikh 7:16.