1 Timotius 3:1-16
3 Pernyataan ini boleh dipercayai: Jika seseorang sedang berusaha untuk menjadi seorang penyelia, dia menginginkan pekerjaan yang baik.
2 Seorang penyelia haruslah tidak bercela, mempunyai seorang isteri sahaja, bersikap sederhana dalam segala hal, berfikiran sihat,* bertatatertib, suka menyambut orang dengan ramah, layak untuk mengajar,
3 bukan seorang pemabuk, tidak ganas, munasabah, tidak suka bertengkar, tidak mencintai wang,
4 mengurus rumah tangganya dengan baik, mempunyai anak-anak yang taat dan berkelakuan baik*
5 (jika seseorang tidak tahu mengurus rumah tangganya sendiri, bagaimanakah dia dapat menjaga sidang Tuhan?),
6 dan bukan orang yang baru percaya kepada Kristus, kerana dia mungkin menjadi angkuh lalu menerima penghakiman yang sama seperti yang sudah diterima oleh Iblis.
7 Dia juga haruslah mempunyai nama baik dalam kalangan orang luar, supaya dia tidak dicela* dan jatuh ke dalam perangkap Iblis.
8 Begitu juga, pembantu sidang haruslah berfikiran matang,* tidak menipu,* tidak minum banyak wain, tidak tamak akan keuntungan yang diperoleh secara tidak jujur,
9 dan berpegang pada rahsia suci Tuhan, yang merangkumi kepercayaan kita, dengan hati nurani yang bersih.
10 Selain itu, hendaklah mereka diuji terlebih dahulu untuk mengetahui sama ada mereka layak atau tidak. Jika mereka bebas daripada tuduhan, barulah mereka boleh berkhidmat sebagai pembantu sidang.
11 Dalam cara yang sama, wanita haruslah berfikiran matang,* tidak memfitnah, bersikap sederhana dalam segala hal, dan setia dalam segala sesuatu.
12 Hendaklah pembantu sidang mempunyai seorang isteri sahaja, dan mereka harus mengurus anak-anak dan rumah tangga sendiri dengan baik.
13 Lelaki yang berkhidmat dengan baik dapat memperoleh nama yang baik dan dapat bercakap dengan penuh keberanian* sehubungan dengan kepercayaan mereka kepada Kristus Yesus.
14 Aku berharap dapat datang kepada kamu tidak lama lagi. Namun, aku menulis hal-hal ini kepada kamu
15 supaya jika aku terlambat, kamu akan tahu bagaimana kamu harus hidup dalam rumah tangga Tuhan, iaitu sidang milik Tuhan yang hidup, yang merupakan tiang dan penunjang kebenaran.
16 Sesungguhnya, tidak dapat dinafikan betapa agungnya rahsia suci tentang pengabdian kepada Tuhan: ‘Yesus menampakkan diri sebagai seorang manusia, mendapat perkenan Tuhan semasa dia dijadikan makhluk roh, muncul kepada para malaikat, disebarkan dalam kalangan bangsa-bangsa, dipercayai di dunia, dan diangkat ke syurga dalam cara yang mulia.’
Nota Kaki
^ Atau “dapat membuat pertimbangan yang baik.”
^ Atau “serius.”
^ Atau “dimalukan.”
^ Atau “serius.”
^ Harfiah, “tidak mempunyai lidah bercabang.”
^ Atau “serius.”
^ Lihat Daftar Kata, “Bercakap dengan berani.”