2 Timotius 1:1-18
1 Paulus, yang menjadi rasul Kristus Yesus menurut kehendak Tuhan dan menurut janji-Nya tentang kehidupan yang diperoleh melalui Kristus Yesus,
2 menulis surat ini kepada Timotius, anakku yang dikasihi:
Semoga kamu dikurniai kebaikan hati yang unggul, belas kasihan, dan kedamaian daripada Tuhan, Bapa kita, dan Tuan kita, Kristus Yesus.
3 Aku menyembah Tuhan seperti yang dilakukan oleh nenek moyangku dan aku berbuat demikian dengan hati nurani yang bersih. Aku bersyukur kepada Tuhan dan aku tidak pernah melupakanmu semasa aku berdoa dengan bersungguh-sungguh siang dan malam.
4 Apabila aku teringat akan tangisanmu, aku ingin sekali berjumpa dengan kamu supaya aku dipenuhi dengan sukacita.
5 Hal ini demikian kerana aku teringat akan imanmu yang tulus. Mula-mula, nenekmu Lois dan ibumu Eunike menunjukkan iman sedemikian, dan aku yakin bahawa kamu juga memiliki iman yang sama.
6 Atas sebab inilah aku mengingatkan kamu supaya kamu terus menunjukkan semangat yang berkobar-kobar seperti api apabila kamu menggunakan kurniaan Tuhan yang kamu terima sewaktu aku meletakkan tanganku ke atasmu.
7 Hal ini demikian kerana daya aktif* yang diberikan oleh Tuhan tidak menjadikan kita penakut, tetapi memberi kita kuasa, kasih, dan fikiran yang sihat.
8 Oleh itu, janganlah malu memberikan kesaksian tentang Tuan kita, dan janganlah malu akan aku yang dipenjarakan kerananya. Sebaliknya, bersedialah untuk menanggung kesusahan demi berita baik dengan bergantung pada kuasa Tuhan.
9 Dia telah menyelamatkan kita dan memanggil kita untuk menjadi umat yang suci, bukan kerana perbuatan kita, tetapi kerana tujuan-Nya dan kebaikan hati-Nya yang unggul. Sejak dahulu lagi, Dia mengurniai kita kebaikan hati ini melalui Kristus Yesus.
10 Tetapi sekarang kebaikan hati-Nya yang unggul sudah jelas kelihatan apabila Penyelamat kita, Kristus Yesus, menampakkan diri. Kristus telah menghapuskan kematian dan melalui berita baik, dia telah menyingkapkan bagaimana kita dapat memiliki kehidupan yang tidak dapat musnah.
11 Aku telah dilantik sebagai penyebar, rasul, dan guru untuk mengisytiharkan berita baik ini.
12 Itulah sebabnya aku sedang menderita hal-hal ini. Namun aku tidak berasa malu kerana aku mengenal Dia yang aku percayai, dan aku yakin bahawa Dia dapat menjaga segala-gala yang telah aku percayakan kepada-Nya sampai hari penghakiman.
13 Teruslah berpegang pada piawaian* kata-kata sihat* yang kamu dengar daripadaku, dan teruslah menunjukkan iman dan kasih yang kamu miliki kerana kamu hidup bersatu dengan Kristus Yesus.
14 Dengan bantuan daya aktif Tuhan yang ada di dalam diri kita, jagalah harta berharga ini yang diamanahkan kepadamu.
15 Kamu tahu bahawa semua orang di daerah Asia sudah berpaling daripadaku, termasuk Figelus dan Hermogenes.
16 Semoga Tuan kita berbelas kasihan terhadap rumah tangga Onesiforus, kerana dia sering menyegarkan aku, dan dia tidak malu akan aku yang dibelenggu dalam penjara.
17 Sebaliknya, semasa dia berada di Roma, dia mencari aku dengan bersungguh-sungguh dan telah menemui aku.
18 Semoga Tuan kita membolehkannya dikurniai belas kasihan daripada Yehuwa pada hari penghakiman. Kamu juga tahu benar tentang semua khidmat yang telah diberikannya di Efesus.
Nota Kaki
^ Atau “kecenderungan mental.” Lihat Daftar Kata, “Roh.”
^ Atau “rangka.”
^ Atau “berfaedah.”