Ibrani 1:1-14
1 Pada masa lampau, banyak kali Tuhan berfirman kepada nenek moyang kita melalui nabi-nabi dengan berbagai-bagai cara.
2 Tetapi pada akhir zaman ini, Dia berfirman kepada kita melalui Anak-Nya. Dia telah melantik Anak-Nya sebagai pewaris segala sesuatu, dan perkara-perkara di langit dan di bumi* dijadikan menerusinya.
3 Anak ini mencerminkan kemuliaan Tuhan dan merupakan gambaran tepat bagi Tuhan. Dia memelihara segala sesuatu melalui firman Tuhan yang berkuasa. Selepas dia menyucikan kita daripada dosa, dia duduk di syurga di sebelah kanan Tuhan Yang Agung.
4 Memandangkan dia telah mewarisi nama yang lebih unggul daripada para malaikat, dia menjadi lebih penting daripada mereka.
5 Sebagai contoh, tidak pernah Tuhan berfirman kepada mana-mana malaikat, “Engkaulah anak-Ku. Hari ini, Aku menjadi bapamu,” atau, “Aku akan menjadi bapanya, dan dia akan menjadi anak-Ku.”
6 Tetapi semasa Tuhan mengutus Anak Sulung-Nya ke dunia sekali lagi, Dia berfirman, “Hendaklah semua malaikat Tuhan bersujud kepadanya.”
7 Dia juga berfirman tentang para malaikat, “Dia menjadikan malaikat-Nya makhluk roh, dan menjadikan hamba-hamba-Nya api yang berkobar-kobar.”
8 Tetapi tentang Anak-Nya, Dia berfirman, “Tuhan ialah takhtamu untuk selama-lamanya. Pemerintahan Kerajaanmu adil.
9 Engkau mencintai keadilan, dan engkau membenci kejahatan. Itulah sebabnya Tuhanmu telah mengurapi engkau dengan minyak, dan memberi engkau sukacita yang lebih besar daripada sahabat-sahabatmu.”
10 Ada tertulis juga, “Ya Tuan, pada mulanya engkau meletakkan asas bumi, dan dengan tanganmu sendiri engkau menjadikan langit.
11 Bumi dan langit akan lenyap, tetapi engkau akan kekal selama-lamanya. Bumi dan langit akan menjadi usang seperti pakaian,
12 dan engkau akan menggulung bumi dan langit seperti menggulung jubah atau pakaian. Bumi dan langit akan berubah, tetapi engkau tetap sama, dan hayatmu tidak akan berakhir.”
13 Namun, tidak pernah Dia berfirman kepada mana-mana malaikat, “Duduklah di sebelah kanan-Ku sehingga Aku menjadikan musuh-musuhmu sebagai alas kakimu.”
14 Bukankah semua malaikat itu makhluk roh yang menjalankan khidmat suci, dan yang diutus untuk berkhidmat kepada orang yang akan menerima penyelamatan?
Nota Kaki
^ Atau “zaman-zaman.” Lihat Daftar Kata, “Sistem dunia.”