Kisah 11:1-30

  • Laporan Petrus kepada para rasul (1-18)

  • Barnabas dan Saulus di Antiokhia, Siria (19-26)

    • Murid-murid disebut orang Kristian (26)

  • Agabus menubuatkan kebuluran (27-30)

11  Para rasul dan saudara-saudara yang berada di Yudea mendengar bahawa orang daripada bangsa-bangsa lain pun menerima firman Tuhan.  Jadi semasa Petrus pergi ke Yerusalem, orang yang berpegang pada hukum bersunat mula mencela Petrus.  Mereka berkata, “Kamu telah masuk ke dalam rumah orang yang tidak bersunat dan makan bersama mereka.”  Oleh itu, Petrus memberitahu mereka secara terperinci tentang apa yang telah berlaku. Dia berkata,  “Aku menerima suatu penglihatan semasa aku sedang berdoa di kota Yope. Aku nampak sesuatu seperti sehelai kain linen yang besar turun dari langit. Kain itu diturunkan pada keempat-empat penjurunya sehingga sampai ke depan mataku.  Semasa aku menatap ke dalamnya, aku nampak binatang-binatang berkaki empat, binatang buas, dan reptilia* di bumi, serta burung-burung di langit.  Aku juga mendengar suara yang berkata kepadaku, ‘Bangunlah Petrus! Sembelihlah dan makanlah binatang-binatang itu!’  Tetapi aku berkata, ‘Sama sekali tidak, Tuan! Aku tidak pernah makan apa-apa yang kotor atau najis.’  Suara dari langit itu berkata buat kali kedua, ‘Jangan lagi menganggap najis apa yang sudah disucikan oleh Tuhan.’ 10  Suara tersebut kedengaran buat kali ketiga. Selepas itu, semuanya terangkat kembali ke langit. 11  Pada masa itu juga, tiga orang lelaki dari Kaisarea yang diutus kepadaku sampai di rumah kami. 12  Daya aktif Tuhan menyuruh aku mengikut mereka tanpa sebarang keraguan. Enam orang saudara ini juga pergi bersamaku, dan kami semua masuk ke dalam rumah orang itu. 13  “Dia memberitahu kami bagaimana dia nampak malaikat berdiri di rumahnya dan berkata kepadanya, ‘Utuslah orang ke Yope, dan panggillah Simon yang juga digelar Petrus. 14  Dia akan memberitahu kamu bagaimana kamu dan seluruh rumah tanggamu boleh diselamatkan.’ 15  Tetapi semasa aku mula bercakap, daya aktif Tuhan dicurahkan ke atas mereka, sama seperti yang telah berlaku kepada kita pada mulanya. 16  Barulah aku teringat bahawa Tuan Yesus pernah berkata, ‘Yohanes membaptis dengan air, tetapi kamu akan dibaptis dengan daya aktif Tuhan.’ 17  Oleh sebab Tuhan memberikan kurniaan-Nya yang percuma kepada mereka sama seperti yang diberikan-Nya kepada kita yang percaya kepada Tuan Yesus Kristus, siapakah aku sehingga aku boleh menghalang Tuhan?” 18  Selepas mendengar hal-hal itu, mereka tidak membantah lagi. Mereka memuliakan Tuhan dengan berkata, “Jelaslah bahawa Tuhan juga memberikan peluang kepada orang daripada bangsa-bangsa lain untuk bertaubat dan memperoleh hidup.” 19  Selepas kematian Stefanus, penganiayaan yang menimpa murid-murid Yesus menyebabkan mereka tercerai-berai. Ada dalam kalangan mereka yang melarikan diri sejauh Fenisia, Siprus, dan Antiokhia, tetapi mereka hanya mengkhabarkan firman Tuhan kepada orang Yahudi. 20  Namun beberapa orang dalam kalangan mereka yang berasal dari Siprus dan Kirene datang ke Antiokhia. Mereka mengkhabarkan berita baik tentang Tuan Yesus kepada orang yang bertutur dalam bahasa Yunani. 21  Yehuwa menyertai mereka dan banyak orang percaya lalu menjadi murid Tuan Yesus. 22  Selepas sidang di Yerusalem mendapat berita tentang mereka, Barnabas diutus ke Antiokhia. 23  Apabila dia tiba di sana, dia nampak bahawa Tuhan telah memberikan kebaikan hati-Nya yang unggul kepada mereka. Dia berasa gembira dan menggalakkan mereka semua agar bertekad untuk tetap setia kepada Tuan Yesus. 24  Barnabas ialah seorang lelaki yang baik, beriman, dan penuh dengan daya aktif Tuhan, dan banyak orang percaya kepada Tuan Yesus. 25  Kemudian dia pergi ke Tarsus, dan dia berusaha sedaya upaya untuk mencari Saulus. 26  Apabila Barnabas menjumpai Saulus, dia membawa Saulus ke Antiokhia. Selama setahun mereka menyertai sidang di situ dan mengajar banyak orang. Di Antiokhia, untuk kali pertama murid-murid Yesus disebut orang Kristian seperti yang dikehendaki oleh Tuhan. 27  Pada masa itu, beberapa orang nabi dari Yerusalem datang ke Antiokhia. 28  Salah seorang daripada mereka bernama Agabus. Dia berdiri dan bernubuat di bawah bimbingan daya aktif Tuhan bahawa kebuluran yang teruk bakal melanda seluruh bumi. (Kebuluran ini benar-benar berlaku pada zaman Klaudius.) 29  Maka murid-murid Yesus membuat keputusan untuk mengirim bantuan kepada saudara-saudara yang tinggal di Yudea. Mereka memberikan bantuan menurut kemampuan masing-masing, 30  dan mengirimkan bantuan itu kepada para penatua di sana melalui Barnabas dan Saulus.

Nota Kaki

Atau “binatang menjalar.”