Kolose 2:1-23

  • Rahsia suci Tuhan, Kristus (1-5)

  • Berwaspada terhadap penipu (6-15)

  • Perkara sebenar ialah Kristus (16-23)

2  Aku ingin kamu sedar betapa besarnya pergelutan yang aku lalui demi kamu dan demi mereka yang berada di Laodikia, serta demi semua orang yang belum pernah berjumpa dengan aku.  Aku berhasrat supaya mereka mendapat kelegaan hati dan disatupadukan oleh kasih. Dengan demikian, mereka akan memperoleh semua kekayaan yang datang daripada pemahaman yang jelas dan yang pasti, dan memperoleh pengetahuan yang tepat tentang Kristus, iaitu rahsia suci Tuhan.  Di dalam Kristus, semua kebijaksanaan dan pengetahuan, yang bagaikan harta karun, tersembunyi dengan cermat.  Aku berkata demikian supaya tidak ada seorang pun yang akan memperdayakan kamu dengan kata-kata yang licik.  Biarpun aku tidak ada bersama kamu, tetapi hati aku ada bersama kamu. Aku berasa gembira untuk melihat ketertiban kamu dan keteguhan iman kamu kepada Kristus.  Kamu sudah menerima Kristus Yesus, Tuan kita. Oleh itu, teruslah hidup bersatu dengannya.  Hendaklah kamu berakar umbi dan dibina di dalamnya. Hendaklah kamu memantapkan iman kamu, seperti yang sudah diajarkan kepada kamu, dan hendaklah kamu berlimpah-limpah dengan rasa syukur.  Berwaspadalah agar tidak ada sesiapa pun yang memperhamba kamu* dengan falsafah dan tipu daya kosong yang berdasarkan adat istiadat manusia, yang berdasarkan perkara-perkara asas dalam dunia, dan yang tidak berdasarkan ajaran Kristus.  Hal ini demikian kerana Kristus dipenuhi dengan sifat-sifat Tuhan. 10  Dengan demikian, melalui dia, iaitu kepala semua kerajaan dan pihak berkuasa, kamu tidak kekurangan apa-apa pun. 11  Melalui dia, kamu sudah disunat, bukan dengan sunat yang dilakukan oleh manusia, tetapi dengan sunat milik Kristus, iaitu dengan membuang keinginan tubuh yang berdosa. 12  Hal itu demikian kerana kamu dikuburkan bersamanya dalam pembaptisannya. Sebagai pengikutnya, kamu juga dibangkitkan bersamanya kerana kamu beriman kepada perbuatan berkuasa yang dilakukan oleh Tuhan, iaitu Dia yang membangkitkan Kristus daripada kematian. 13  Tambahan lagi, walaupun kamu sudah mati kerana dosa kamu dan kerana kamu tidak bersunat, Tuhan telah menjadikan kamu hidup bersama-sama Kristus. Dia dengan baik hati telah mengampunkan segala dosa kita. 14  Dia memadamkan Hukum yang mengandungi perintah-perintah, dan yang mendedahkan kesalahan kita. Dia telah menyingkirkannya dengan memakukannya pada tiang seksaan.* 15  Melalui tiang seksaan, Dia mengalahkan kerajaan dan pihak berkuasa lalu menunjukkan bahawa mereka sudah ditakluki, dengan mempamerkan mereka di hadapan umum dalam perarakan kemenangan-Nya. 16  Oleh itu, janganlah biarkan sesiapa pun memberitahu kamu apa yang mesti kamu makan atau minum, atau memberitahu kamu bahawa kamu mesti menyambut suatu perayaan, bulan baru, atau hari Sabat. 17  Semua itu cumalah bayangan kepada hal-hal yang akan datang, tetapi perkara yang sebenar ialah Kristus. 18  Janganlah biarkan sesiapa pun menyebabkan kamu tidak dapat menerima hadiah kamu. Orang sebegini suka berpura-pura rendah hati dan suka menyembah para malaikat.* Mereka “berpegang teguh” pada perkara-perkara yang sudah dilihat dan menjadi sombong tanpa alasan yang baik kerana cara fikiran mereka seperti fikiran manusia yang berdosa. 19  Mereka tidak mengikut Kepala kita. Melalui Kepala itu, seluruh tubuh mendapat apa yang diperlukan dan seluruh tubuh tersusun rapi melalui setiap sendi dan otot. Kepala itu membantu pertumbuhan tubuh, dan Tuhanlah yang menyebabkan pertumbuhannya. 20  Jikalau kamu sudah mati bersama Kristus dan menolak hal-hal asas di dunia, mengapakah kamu masih hidup seolah-olah kamu sebahagian daripada dunia? Mengapakah kamu terus taat kepada perintah-perintah berikut: 21  “Jangan pegang, atau jangan rasa, atau jangan sentuh”? 22  Semua perintah itu hanyalah peraturan dan ajaran manusia, yang berkaitan dengan hal-hal yang akan binasa sesudah diguna pakai. 23  Perintah-perintah itu kelihatannya bijaksana tetapi tidak dapat membantu orang melawan keinginan yang berdosa. Hal ini demikian kerana mereka menentukan cara ibadat sendiri, berpura-pura rendah hati, dan menyeksa tubuh dengan teruk.

Nota Kaki

Atau “membawa kamu pergi sebagai mangsanya.”
Lihat Daftar Kata.
Atau “menyembah seperti cara para malaikat menyembah.”