Kolose 3:1-25
3 Jika kamu dibangkitkan bersama Kristus, teruslah mencari perkara-perkara yang di syurga, di mana Kristus sedang duduk di sebelah kanan Tuhan.
2 Teruslah memusatkan fikiran kamu pada perkara-perkara di syurga, dan bukannya pada perkara-perkara di bumi.
3 Hal ini demikian kerana kamu sudah mati, dan selaras dengan kehendak Tuhan, kehidupan kamu sudah tersembunyi bersama Kristus.
4 Apabila Kristus yang membawa kehidupan menjadi nyata, kamu juga akan menjadi nyata bersamanya dan menikmati kemuliaan dengannya.
5 Oleh itu, matikanlah keinginan dalam anggota tubuh kamu* sehubungan dengan perbuatan seks yang tidak bermoral,* kenajisan, hawa nafsu yang tidak terkawal, keinginan yang jahat, dan ketamakan, yang merupakan penyembahan berhala.
6 Kemurkaan Tuhan akan datang ke atas mereka yang melakukan perkara-perkara sedemikian.
7 Kamu juga pernah mengamalkan perkara-perkara sedemikian dalam kehidupan kamu dahulu.
8 Tetapi sekarang kamu mesti menyingkirkan hal-hal ini daripada diri kamu: Perasaan berang, kemarahan, kejahatan, kata-kata hinaan, dan kata-kata lucah daripada mulut kamu.
9 Janganlah saling berdusta. Tanggalkanlah keperibadian* lama dengan amalan-amalannya,
10 dan hendaklah kamu mengenakan keperibadian baru, yang diperbaharui melalui pengetahuan yang tepat dan menurut gambaran Dia yang menciptakannya.
11 Menurut keperibadian baru ini, tidaklah penting sama ada seseorang itu orang Yunani, orang Yahudi, orang yang bersunat, orang yang tidak bersunat, orang asing, orang Skithia,* hamba, ataupun orang bebas. Kristuslah segala-galanya, dan kita semua bersatu dengannya.
12 Selaras dengan hal itu, sebagai umat Tuhan yang terpilih, yang suci, dan yang dikasihi, hendaklah kamu mengenakan kasih, belas kasihan, kebaikan hati, kerendahan hati, kelemahlembutan, dan kesabaran.
13 Teruslah bersabar terhadap satu sama lain dan hendaklah kamu saling mengampuni dengan rela hati, biarpun orang lain menyinggung perasaan kamu. Sepertimana Yehuwa mengampuni kamu dengan rela hati, kamu juga mesti berbuat demikian.
14 Selain daripada hal-hal ini, hendaklah kamu mengenakan kasih, kerana kasih ialah ikatan yang menyatupadukan orang dengan sempurna.
15 Semoga kedamaian daripada Kristus berkuasa dalam hati kamu, kerana kamu sebenarnya dipanggil untuk menikmati kedamaian itu sebagai anggota dalam satu tubuh. Jadi, tunjukkanlah kesyukuran kamu.
16 Semoga perkhabaran Kristus yang membawa segala kebijaksanaan melimpah dalam diri kamu. Teruslah mengajar dan menggalakkan satu sama lain dengan mazmur, puji-pujian kepada Tuhan, dan lagu rohani yang dinyanyikan dengan perasaan syukur. Bernyanyilah kepada Yehuwa dari lubuk hati kamu.
17 Apa sahaja yang kamu lakukan dan katakan, lakukanlah semuanya atas nama Tuan Yesus, dan melaluinya, ucapkanlah syukur kepada Tuhan, Bapa kita.
18 Hai para isteri, taatilah suami kamu kerana hal ini wajar di mata Tuan kita.
19 Hai para suami, teruslah mengasihi isteri kamu dan janganlah berlaku kasar terhadap mereka.
20 Hai anak-anak, patuhilah ibu bapa kamu dalam segala perkara kerana hal ini menyenangkan hati Tuan kita.
21 Hai bapa-bapa, janganlah menyakiti hati anak-anak kamu, supaya mereka tidak menjadi tawar hati.
22 Hai hamba-hamba, patuhilah tuan kamu di bumi dalam segala perkara. Jangan berbuat demikian hanya semasa mereka mengawasi kamu, semata-mata untuk menyenangkan hati manusia. Tetapi lakukannya dengan tulus hati dan dengan rasa takut akan Yehuwa.
23 Apa sahaja yang kamu lakukan, lakukannya dengan sepenuh jiwa, seolah-olah kamu melakukannya untuk Yehuwa dan bukannya untuk manusia,
24 kerana kamu tahu bahawa kamu akan menerima warisan daripada Yehuwa sebagai ganjaran. Abdikanlah diri kepada Tuan kita, Kristus.
25 Orang yang berbuat salah pasti akan mendapat balasan untuk perbuatannya yang salah, kerana Tuhan tidak berat sebelah.
Nota Kaki
^ Harfiah, “anggota tubuh kamu yang ada di bumi.”
^ Yunani, por·neiʹa. Lihat Daftar Kata.
^ Harfiah, “orang.”
^ “Orang Skithia” merujuk kepada orang yang tidak bertamadun.