Roma 11:1-36

  • Bukan semua orang Israel ditolak (1-16)

  • Perumpamaan tentang pokok zaitun (17-32)

  • Alangkah hebatnya kebijaksanaan Tuhan (33-36)

11  Maka, aku bertanya: Adakah Tuhan menolak umat-Nya? Sudah tentu tidak! Aku juga merupakan orang Israel. Aku keturunan* Abraham dan berasal daripada suku Benyamin.  Tuhan tidak menolak umat yang dipilih-Nya dari mula-mula lagi. Tidakkah kamu tahu apa yang dinyatakan dalam ayat suci tentang Elia semasa dia mengadu kepada Tuhan mengenai orang Israel?  “Yehuwa, mereka sudah membunuh nabi-nabi-Mu dan memusnahkan mazbah-mazbah-Mu. Hanya aku seorang yang tertinggal, dan sekarang mereka berusaha untuk mengambil nyawaku.”  Namun, apakah jawapan Tuhan kepada Elia? “Masih ada 7,000 orang umat-Ku yang tidak melutut untuk menyembah Baal.”  Demikian juga halnya sekarang: Ada saki-baki orang Israel yang sudah dipilih oleh Tuhan kerana kebaikan hati-Nya yang unggul.  Maka, pilihan Tuhan itu bukan berdasarkan perbuatan mereka, tetapi berdasarkan kebaikan hati yang unggul. Jika pilihan Tuhan itu berdasarkan perbuatan manusia, maka pilihan itu bukanlah berdasarkan kebaikan hati yang unggul.  Kalau begitu, apakah yang harus kita katakan? Bukan semua orang Israel mendapat apa yang didambakan oleh mereka. Hanya mereka yang dipilih oleh Tuhan yang mendapatnya. Yang lain sudah membiarkan hati sendiri menjadi tidak peka,  sebagaimana yang tertulis, “Tuhan telah membuat mereka tidur nyenyak secara rohani. Sampai hari ini, mata mereka tidak dapat melihat dan telinga mereka tidak dapat mendengar.”  Daud juga berkata, “Biarlah pesta jamuan mereka menjadi jerat, perangkap, batu sandungan, dan hukuman untuk mereka. 10  Biarlah mata mereka diselubungi kegelapan agar mereka tidak dapat melihat, dan biarlah mereka selalu membongkok.” 11  Maka, aku bertanya: Adakah mereka tersandung dan jatuh sehingga tidak dapat bangun? Sudah tentu tidak! Oleh sebab orang Yahudi melanggar hukum, orang daripada bangsa-bangsa lain menerima penyelamatan supaya orang Yahudi berasa cemburu. 12  Jika dunia menjadi kaya kerana mereka melanggar hukum, dan jika bangsa-bangsa lain menjadi kaya kerana jumlah mereka berkurangan, fikirkanlah betapa banyaknya kekayaan yang terhasil apabila jumlah mereka menjadi lengkap! 13  Sekarang, aku mahu bercakap kepada kamu yang berasal daripada bangsa-bangsa lain. Oleh sebab aku merupakan rasul yang diutus kepada bangsa-bangsa lain, aku menganggap tugasku sebagai tugas yang mulia. 14  Aku mencuba membuat bangsaku sendiri cemburu agar dapat menyelamatkan beberapa orang daripada mereka. 15  Hal ini demikian kerana jika mereka ditolak oleh Tuhan, dunia berbaik semula dengan Tuhan. Jadi, jika mereka diterima oleh Tuhan, apakah yang akan berlaku? Keadaannya tentu seperti orang mati yang hidup semula! 16  Lagipun, jika sebahagian adunan tepung yang dianggap sebagai hasil pertama adalah suci, seluruh adunan itu juga suci. Jika akar sebatang pokok adalah suci, cabang-cabangnya juga suci. 17  Tuhan telah mengerat beberapa cabang pokok zaitun dan di situ Tuhan mencantumkan cabang pokok zaitun yang liar, iaitu kamu, supaya kamu juga menikmati segala yang baik daripada akar pokok zaitun itu. 18  Namun begitu, janganlah bersikap angkuh terhadap cabang-cabang pokok itu. Kamu harus ingat bahawa bukan kamu yang menyokong akar itu, tetapi akar pokok itu yang menyokong kamu. 19  Tetapi kamu mungkin berkata, “Cabang-cabang pokok itu dikerat supaya aku dapat dicantumkan.” 20  Hal itu memang benar! Disebabkan mereka tidak beriman, mereka dikerat. Tetapi kamu tetap berada di situ kerana kamu beriman. Janganlah bersikap angkuh, tetapi berwaspadalah. 21  Memandangkan Tuhan tidak membenarkan cabang-cabang yang asal terus bertumbuh pada pokok itu, Tuhan juga tidak akan membenarkan kamu terus bertumbuh pada pokok itu jika kamu berkelakuan seperti mereka. 22  Lihatlah bagaimana Tuhan menunjukkan kebaikan hati dan ketegasan-Nya. Tuhan tegas terhadap mereka yang sudah dikerat, tetapi Dia baik terhadap kamu asalkan kamu terus memenuhi syarat untuk menerima kebaikan-Nya. Jika tidak, kamu juga akan dikerat. 23  Meskipun begitu, mereka yang sudah dikerat boleh dicantumkan semula jika mereka beriman, kerana Tuhan berkuasa untuk berbuat demikian. 24  Kamu dikerat daripada pokok zaitun liar dan dicantumkan pada pokok zaitun yang dipelihara, walaupun hal itu bertentangan dengan apa yang lazim dilakukan. Jika demikian, bukankah lebih mudah bagi Tuhan untuk mencantumkan semula cabang-cabang yang sudah dikerat pada pokok zaitun yang asal? 25  Saudara-saudara, aku mahu kamu tahu rahsia suci ini, supaya kamu tidak berfikir bahawa kamu tahu segala-galanya: Bagi sebahagian orang Israel, hati mereka akan menjadi tidak peka sehingga semua orang daripada bangsa-bangsa lain yang dipilih oleh Tuhan dikumpulkan. 26  Dengan cara ini, semua orang Israel akan diselamatkan. Seperti yang tertulis, “Penyelamat akan datang dari Sion dan akan membuat keturunan Yakub meninggalkan tabiat berdosa mereka. 27  Inilah perjanjian yang Aku buat dengan mereka semasa Aku menyingkirkan dosa mereka.” 28  Memang, orang Yahudi menjadi musuh Tuhan kerana mereka menolak berita baik, dan hal itu baik untuk kamu. Namun, disebabkan janji yang dibuat oleh Tuhan dengan nenek moyang mereka, Dia telah memilih beberapa orang antara mereka untuk menjadi sahabat-Nya. 29  Hal itu demikian kerana Tuhan tidak mengubah fikiran-Nya tentang orang yang dipanggil-Nya dan kurniaan yang diberikan-Nya. 30  Sebelum ini, kamu tidak mematuhi Tuhan. Tetapi sekarang Dia berbelas kasihan terhadap kamu kerana orang Yahudi mengingkari-Nya. 31  Sekarang Tuhan berbelas kasihan terhadap kamu kerana mereka ingkar. Dia berbuat demikian supaya Dia juga dapat berbelas kasihan terhadap mereka. 32  Tuhan sudah membiarkan semua orang menjadi seperti tahanan kerana mereka mengingkari-Nya. Dengan demikian Dia dapat menunjukkan belas kasihan-Nya kepada mereka semua. 33  Alangkah hebatnya kekayaan, kebijaksanaan, dan pengetahuan Tuhan! Tiada sesiapa pun yang dapat memahami penghakiman dan jalan-jalan Tuhan! 34  “Siapakah yang mengetahui fikiran Yehuwa, atau siapakah yang boleh menjadi penasihat-Nya?” 35  Atau, “siapakah yang pernah memberi Tuhan sesuatu terlebih dahulu, sehingga Tuhan mesti membalasnya?” 36  Segala-galanya wujud kerana Dia, melalui Dia, dan untuk Dia. Semoga Tuhan dimuliakan buat selama-lamanya! Amin.

Nota Kaki

Harfiah, “benih.”