Roma 12:1-21

  • Mempersembahkan tubuh sebagai korban yang hidup (1, 2)

  • Kurnia berlainan tetapi satu tubuh (3-8)

  • Nasihat tentang cara hidup Kristian sejati (9-21)

12  Oleh itu saudara-saudara, atas dasar belas kasihan Tuhan, aku merayu kamu supaya mempersembahkan tubuh kamu sebagai korban yang hidup, suci, dan yang diperkenankan Tuhan. Dengan ini, kamu menjalankan khidmat suci dengan menggunakan daya pemikiran kamu.  Jangan lagi dibentuk mengikut sistem dunia ini,* tetapi ubahlah fikiran kamu agar kamu dapat mengetahui* kehendak Tuhan yang baik, yang menyenangkan hati-Nya, dan yang sempurna.  Melalui kebaikan hati yang unggul yang diberikan kepada aku, aku memberitahu kamu semua agar tidak menganggap diri kamu lebih daripada yang sepatutnya. Kamu haruslah berfikiran sihat, sesuai dengan iman yang diberikan oleh Tuhan kepada kamu masing-masing.  Tubuh kita mempunyai banyak anggota, dan setiap anggota tubuh mempunyai tugas yang berlainan.  Begitu juga, walaupun kita ramai, kita semua merupakan satu tubuh yang bersatu dengan Kristus, dan kita masing-masing merupakan anggota yang dihubungkan kepada satu sama lain.  Disebabkan kebaikan hati Tuhan yang unggul, kita diberikan kurnia yang berlainan. Oleh itu, jika kita diberikan kurnia untuk bernubuat, kita harus bernubuat menurut iman yang diberikan kepada kita.  Jika kita diberikan kurnia untuk berkhidmat kepada orang lain, kita harus terus berkhidmat kepada orang lain; jika seseorang diberikan kurnia untuk mengajar, dia haruslah terus mengajar.  Jika seseorang diberikan kurnia untuk memberikan galakan, dia haruslah terus memberikan galakan; jika seseorang memberikan sumbangan, dia haruslah melakukannya dengan murah hati; jika seseorang memimpin, dia haruslah memimpin dengan tekun; jika seseorang menunjukkan belas kasihan, dia haruslah melakukannya dengan gembira.  Kamu harus menunjukkan kasih dengan ikhlas. Bencilah apa yang jahat, dan berpautlah pada apa yang baik. 10  Sepertimana adik-beradik kandung mengasihi satu sama lain, kamu juga harus saling mengasihi. Hendaklah kamu saling mendahului* untuk memberikan hormat. 11  Janganlah malas, sebaliknya hendaklah kamu rajin.* Izinkanlah daya aktif Tuhan untuk menyemarakkan semangat kamu. Abdikanlah diri kepada Yehuwa. 12  Bersukacitalah kerana harapan kamu. Tabahkanlah hati kamu semasa ditimpa kesengsaraan. Teruslah berdoa dengan tekun. 13  Hendaklah kamu berkongsi milik dengan umat suci Tuhan menurut keperluan mereka. Sambutlah orang dengan ramah. 14  Teruslah memberkati orang yang menganiaya kamu. Janganlah mengutuk mereka, sebaliknya mintalah Tuhan untuk memberkati mereka. 15  Bersukacitalah bersama orang yang bersukacita, dan menangislah bersama orang yang menangis. 16  Pandanglah orang lain sepertimana kamu memandang diri kamu sendiri. Janganlah bersikap sombong, sebaliknya hendaklah kamu sentiasa bersikap rendah hati. Janganlah menganggap diri kamu bijaksana. 17  Janganlah membalas kejahatan dengan kejahatan. Pertimbangkanlah apa yang dianggap baik oleh semua orang. 18  Selagi kamu dapat melakukannya, berusahalah sedaya upaya untuk berdamai dengan semua orang. 19  Hai saudara-saudara yang dikasihi, janganlah membalas dendam. Tetapi biarlah Tuhan memperlihatkan kemurkaan-Nya terhadap kejahatan yang dilakukan, kerana ada tertulis, “Yehuwa berfirman, ‘Akulah yang akan membalas dendam, dan Akulah yang akan membalas kejahatan.’” 20  Sebaliknya, “jika musuh kamu lapar, berilah dia makanan; jika dia dahaga, berilah dia minuman. Dengan berbuat demikian, kamu seolah-olah melonggokkan bara yang bernyala di atas kepalanya.”* 21  Janganlah biarkan diri kamu dikalahkan oleh kejahatan, tetapi teruslah kalahkan kejahatan dengan kebaikan.

Nota Kaki

Atau “zaman ini.” Lihat Daftar Kata, “Sistem dunia.”
Atau “membuktikan kepada diri sendiri.”
Atau “mengambil inisiatif.”
Atau “tekun; mempunyai semangat yang berkobar-kobar.”
Iaitu, untuk melembutkan hati seseorang dan meredakan kemarahannya.