Satu Raja-Raja 8:1-66

  • Tabut perjanjian dibawa ke Rumah Tuhan (1-13)

  • Kata-kata Salomo kepada rakyat (14-21)

  • Doa Salomo semasa perasmian Rumah Tuhan (22-53)

  • Salomo memberkati rakyat (54-61)

  • Korban-korban dan upacara perasmian (62-66)

8  Kemudian Salomo mengumpulkan+ para pemimpin, iaitu semua ketua suku dan ketua puak orang Israel.+ Mereka menemui Raja Salomo di Yerusalem untuk membawa tabut perjanjian Yehuwa dari Kota Daud,+ iaitu Sion.+ 2  Semua orang Israel berkumpul menghadap Raja Salomo sempena perayaan* pada bulan Etanim,* iaitu pada bulan ketujuh.+ 3  Apabila semua pemimpin orang Israel tiba, para imam pun mengangkat tabut itu.+ 4  Para imam dan orang Lewi membawa tabut Yehuwa, khemah pertemuan,+ dan semua peralatan suci yang ada di dalam khemah itu. 5  Raja Salomo dan segenap umat Israel yang telah dijemput untuk menghadapnya, berkumpul di hadapan tabut. Ada begitu banyak biri-biri dan lembu yang dikorbankan+ sehingga bilangannya tidak dapat dikira. 6  Kemudian para imam membawa tabut perjanjian Yehuwa ke tempat yang telah ditentukan,+ iaitu ke dalam Bilik Maha Suci. Itulah bilik di bahagian paling belakang Rumah Tuhan, dan mereka meletakkannya di bawah sayap kerub-kerub.+ 7  Sayap kerub-kerub itu terbentang di atas tabut perjanjian dan membayangi tabut itu dan kayu pengusungnya.+ 8  Kayu pengusung itu+ panjang sekali sehingga hujungnya dapat dilihat dari Bilik Suci yang terletak di hadapan Bilik Maha Suci, tetapi tidak dapat dilihat dari luar. Kayu-kayu pengusung itu masih di situ sehingga sekarang. 9  Di dalam tabut itu, tidak ada apa-apa kecuali dua keping batu tulis.+ Batu-batu tulis itu dimasukkan oleh Musa semasa dia berada di Horeb,+ iaitu ketika Yehuwa membuat perjanjian+ dengan orang Israel selepas mereka keluar dari negeri Mesir.+ 10  Semasa para imam keluar dari tempat yang suci itu, Rumah Yehuwa+ mula dipenuhi dengan awan.+ 11  Mereka tidak dapat meneruskan tugas mereka kerana awan itu. Sesungguhnya, kemuliaan Yehuwa telah memenuhi Rumah Yehuwa.+ 12  Pada waktu itu, Salomo berkata, “Ya Yehuwa, Engkau berfirman bahawa Engkau akan tinggal di dalam awan tebal itu.+ 13  Aku telah membina sebuah rumah yang agung untuk-Mu, sebuah tempat yang ditetapkan untuk menjadi kediaman-Mu buat selama-lamanya.”+ 14  Kemudian raja berpaling menghadap segenap umat* Israel yang sedang berdiri dan mula memberkati mereka.+ 15  Dia berkata, “Terpujilah Yehuwa, Tuhan orang Israel. Dia telah berjanji kepada ayahanda beta Daud, dengan mulut-Nya sendiri, dan telah menunaikan janji-Nya dengan tangan-Nya sendiri. Dia pernah berfirman, 16  ‘Sejak Aku membawa umat-Ku Israel keluar dari Mesir, Aku belum pernah memilih kota mana pun di seluruh kawasan suku Israel sebagai tempat pembinaan sebuah rumah supaya nama-Ku tetap berada di situ.+ Tetapi Aku telah memilih Daud untuk memerintah umat-Ku Israel.’ 17  Daud, ayahanda beta, memang berhasrat untuk membina sebuah rumah bagi memuliakan nama Yehuwa, Tuhan orang Israel.+ 18  Tetapi Yehuwa berfirman kepada ayahanda beta, ‘Engkau berhasrat untuk membina sebuah rumah bagi memuliakan nama-Ku, dan hasratmu ini memang baik. 19  Namun engkau tidak akan membinanya. Anakmu, ya anakmu sendirilah yang akan membina rumah untuk memuliakan nama-Ku.’+ 20  Yehuwa telah menunaikan janji-Nya. Beta telah duduk di atas takhta Israel dan menggantikan ayahanda beta sebagai raja, seperti yang telah dijanjikan oleh Yehuwa. Beta juga telah membina sebuah rumah untuk memuliakan nama Yehuwa, Tuhan orang Israel.+ 21  Di sana, beta telah menyediakan tempat untuk tabut yang mengandungi batu-batu tulis yang mencatatkan perjanjian+ antara Yehuwa dengan nenek moyang kita, semasa Dia membawa mereka keluar dari negeri Mesir.” 22  Kemudian Salomo berdiri di hadapan mazbah Yehuwa, di hadapan semua orang* Israel. Dia mengangkat kedua-dua tangannya ke langit+ 23  lalu berdoa, “Ya Yehuwa, Tuhan orang Israel, tidak ada Tuhan lain seperti Engkau,+ baik di syurga mahupun di bumi. Engkau menepati perjanjian-Mu dan memperlihatkan kasih yang setia+ kepada hamba-hamba-Mu yang menyembah-Mu dengan sepenuh hati.+ 24  Engkau menepati janji-Mu kepada bapaku Daud. Engkau telah berjanji dengan mulut-Mu sendiri, dan Engkau telah menunaikannya dengan tangan-Mu sendiri pada hari ini.+ 25  Ya Yehuwa, Tuhan orang Israel, tunaikanlah juga janji ini, iaitu janji yang telah Engkau ucapkan kepada bapaku Daud semasa Engkau berfirman, ‘Jika keturunanmu memperhatikan jalan hidup mereka dan menyembah Aku, seperti yang engkau lakukan, salah seorang daripada mereka akan sentiasa berada di hadirat-Ku dan duduk di atas takhta Israel.’+ 26  Ya Tuhan orang Israel, semoga janji-Mu kepada hamba-Mu Daud, bapaku, menjadi kenyataan. 27  “Tetapi adakah Tuhan akan betul-betul tinggal di bumi?+ Bahkan langit, ya seluruh langit pun tidak cukup luas bagi-Mu,+ apalagi rumah yang telah aku bina ini!+ 28  Ya Yehuwa, Tuhanku, dengarlah doa hamba-Mu, dan kabulkanlah permohonannya. Dengarlah hamba-Mu apabila hamba-Mu berdoa dan berseru meminta tolong di hadapan-Mu hari ini. 29  Semoga mata-Mu memerhatikan rumah ini siang dan malam, dan dengarlah hamba-Mu apabila dia berdoa menghadap ke tempat ini, kerana Engkau telah berfirman tentang tempat ini, ‘Nama-Ku akan ada di sini.’+ 30  Dengarlah permohonan hamba-Mu dan umat-Mu Israel semasa mereka berdoa menghadap ke tempat ini. Semoga Engkau mendengar dari tempat kediaman-Mu di syurga,+ ya semoga Engkau mendengar dan mengampuni mereka.+ 31  “Jika seorang daripada hamba-Mu dituduh bersalah dan disuruh mengangkat sumpah,* lalu dia datang menghadap-Mu di depan mazbah di rumah ini selepas mengangkat sumpah itu,+ 32  dengarlah dari syurga dan hakimilah hamba-Mu itu. Ambillah tindakan dan nyatakanlah siapa yang bersalah lalu jatuhkanlah hukuman yang setimpal dengan perbuatannya, dan nyatakanlah siapa yang tidak bersalah dan berikanlah berkat yang sesuai dengan perbuatan baiknya.+ 33  “Apabila umat-Mu Israel dikalahkan oleh musuh kerana mereka terus berdosa terhadap-Mu,+ tetapi kemudian mereka kembali kepada-Mu, memuliakan nama-Mu,+ dan berdoa serta membuat permohonan kepada-Mu di rumah ini,+ 34  semoga Engkau mendengar dari syurga dan mengampunkan dosa umat-Mu Israel. Bawalah mereka pulang ke tanah yang telah Engkau berikan kepada nenek moyang mereka.+ 35  “Apabila langit tertutup dan tidak ada hujan yang turun+ kerana mereka terus berdosa terhadap Engkau,+ tetapi kemudian mereka berdoa menghadap ke tempat ini dan memuliakan nama-Mu serta bertaubat daripada dosa mereka kerana Engkau mengizinkan mereka menderita,*+ 36  semoga Engkau mendengar dari syurga dan mengampunkan dosa hamba-hamba-Mu, umat Israel. Ajarlah mereka+ haluan benar yang harus diikuti, dan turunkanlah hujan ke atas tanah+ yang telah Engkau berikan kepada mereka sebagai warisan. 37  “Jika negeri ini ditimpa kebuluran+ atau wabak penyakit, jika tanaman diserang penyakit,*+ angin panas, atau kawanan belalang juta yang lahap, jika mana-mana kota umat-Mu dikepung oleh musuh, jika umat-Mu ditimpa tulah atau penyakit,+ 38  lalu seseorang atau segenap umat-Mu mengangkat tangan ke arah rumah ini untuk berdoa atau membuat permohonan+ (kerana masing-masing tahu akan penderitaan dalam hati sendiri),+ 39  semoga Engkau mendengar dari tempat kediaman-Mu di syurga,+ dan semoga Engkau mengambil tindakan dan mengampuni mereka.+ Berkatilah setiap orang sesuai dengan perbuatannya+ kerana Engkau tahu apa yang ada dalam hatinya. Ya, Engkau sahajalah yang benar-benar tahu isi hati setiap manusia.+ 40  Dengan demikian, mereka akan takut kepada-Mu selama mereka hidup di tanah yang Engkau berikan kepada nenek moyang kami. 41  “Selain itu, berkenaan orang asing yang bukan sebahagian daripada umat-Mu Israel, yang telah datang ke sini dari negeri yang jauh kerana nama-Mu+ 42  (kerana mereka mendengar tentang nama-Mu yang agung,+ tangan-Mu yang perkasa, dan lengan-Mu yang terentang untuk bertindak), lalu dia datang dan berdoa menghadap ke arah rumah ini, 43  semoga Engkau mendengar dari tempat kediaman-Mu di syurga.+ Kabulkanlah segala permintaan orang asing itu agar semua orang di bumi menjadi seperti umat-Mu Israel yang mengenal nama-Mu dan takut kepada-Mu+ serta mengetahui bahawa nama-Mu ada pada rumah yang telah aku bina ini. 44  “Jika Engkau mengutus umat-Mu untuk berperang melawan musuh mereka,+ dan mereka berdoa+ kepada Yehuwa di mana sahaja mereka berada, sambil menghadap kota yang telah Engkau pilih+ dan rumah yang telah aku bina untuk nama-Mu ini,+ 45  dengarlah doa dan permohonan mereka dari syurga, lalu pastikanlah bahawa mereka diperlakukan dengan adil. 46  “Jika mereka berdosa terhadap-Mu (kerana tiada sesiapa pun yang tidak berdosa),+ dan Engkau murka lalu membiarkan mereka dikalahkan, ditawan oleh musuh, dan dibawa ke negeri yang jauh ataupun dekat,+ 47  tetapi jika mereka sedar dan berpaling kepada-Mu+ semasa menjadi tawanan di negeri musuh,+ lalu mereka merayu kepada-Mu dan berkata, ‘Kami telah berdosa dan berbuat salah. Kami telah berbuat jahat,’+ 48  dan mereka kembali kepada-Mu dengan sepenuh hati+ dan jiwa, serta berdoa sambil menghadap tanah yang Engkau berikan kepada nenek moyang mereka, kota yang telah Engkau pilih, dan rumah yang telah aku bina untuk nama-Mu,+ 49  dengarlah doa dan permohonan mereka dari tempat kediaman-Mu di syurga.+ Pastikanlah mereka diperlakukan dengan adil 50  dan ampunilah umat-Mu yang telah berdosa terhadap-Mu. Maafkanlah segala kesalahan yang telah dilakukan oleh mereka terhadap-Mu. Buatlah musuh mereka mengasihani mereka. Ya, umat-Mu akan mendapat belas kasihan+ 51  kerana mereka ialah umat milik-Mu+ yang telah Engkau selamatkan dari Mesir,+ iaitu daripada relau besi* itu.+ 52  Semoga Engkau mendengar permohonan hamba-Mu+ dan permohonan umat-Mu Israel setiap kali mereka berdoa kepada-Mu.+ 53  Ya Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, Engkau telah memilih mereka antara semua bangsa di bumi untuk menjadi umat-Mu,+ seperti yang telah Engkau isytiharkan menerusi hamba-Mu Musa ketika Engkau membawa nenek moyang kami keluar dari Mesir.” 54  Sebaik sahaja Salomo selesai berdoa dan membuat permohonan kepada Yehuwa sambil berlutut dan mengangkat tangannya ke langit, dia bangun dari hadapan mazbah Yehuwa.+ 55  Sambil berdiri, dia memberkati seluruh umat Israel dengan suara yang lantang, 56  “Terpujilah Yehuwa yang telah memberikan tempat naungan kepada umat-Nya Israel, seperti yang telah dijanjikan-Nya.+ Antara semua perkara baik yang dijanjikan-Nya menerusi hamba-Nya Musa, tiada satu pun yang gagal ditunaikan.+ 57  Semoga Yehuwa, Tuhan kita, sentiasa menyertai kita sebagaimana Dia telah menyertai nenek moyang kita.+ Semoga Dia tidak meninggalkan kita ataupun mengabaikan kita.+ 58  Semoga Dia menggerakkan hati kita untuk hidup menurut kehendak-Nya+ dan mematuhi hukum, peraturan, dan perintah yang diberikan-Nya kepada nenek moyang kita. 59  Semoga rayuan yang beta sampaikan kepada Yehuwa, Tuhan kita, diingati oleh Yehuwa siang dan malam. Semoga Dia memastikan bahawa hamba-Nya dan umat-Nya diperlakukan dengan adil sesuai dengan keperluan mereka setiap hari. 60  Dengan demikian, semua orang di bumi akan tahu bahawa Yehuwa ialah Tuhan yang benar.+ Tiada Tuhan lain, selain Dia!+ 61  Oleh itu, hendaklah kamu menyembah Yehuwa, Tuhan kita, dengan hati yang tidak berbelah bahagi,+ dan hidup menurut peraturan serta hukum-Nya, seperti yang kamu lakukan pada hari ini.” 62  Selepas itu, Raja Salomo dan seluruh umat Israel mempersembahkan banyak korban kepada Yehuwa.+ 63  Salomo mempersembahkan 22,000 ekor lembu dan 120,000 ekor bebiri sebagai korban pendamaian+ kepada Yehuwa. Demikianlah raja dan seluruh bangsa Israel mengadakan upacara perasmian bagi Rumah Yehuwa.+ 64  Pada hari itu, raja perlu menyucikan bahagian tengah halaman yang ada di depan Rumah Yehuwa. Di situ, dia mempersembahkan korban-korban bakar, korban bijirin, dan lemak binatang+ daripada korban pendamaian. Hal ini demikian kerana mazbah tembaga+ di hadapan Yehuwa terlalu kecil untuk semua korban itu. 65  Pada masa itu, Salomo dan seluruh bangsa Israel mengadakan perayaan+ di hadapan Yehuwa. Banyak orang* datang dari kawasan sejauh Lebo-hamat* sampai ke Wadi* Mesir untuk merayakan perayaan itu.+ Perayaan itu berlangsung selama 14 hari, iaitu 7 hari dan 7 hari lagi. 66  Pada hari berikutnya,* raja menyuruh semua orang pulang. Mereka memberkati raja dan pulang ke rumah dengan sukacita dan dengan hati yang gembira kerana mereka telah melihat segala berkat+ yang dicurahkan oleh Yehuwa kepada hamba-Nya Daud dan umat-Nya Israel.

Nota Kaki

Iaitu, Perayaan Pondok Daun.
Atau “seluruh sidang.” Lihat Kamus.
Atau “seluruh sidang.” Lihat Kamus.
Iaitu, sumpah yang membawa hukuman jika seseorang menipu atau tidak dapat memenuhinya.
Atau “membuat mereka rendah hati.”
Atau “kulapuk.”
“Relau besi” melambangkan penindasan yang teruk.
Atau “Sidang yang besar.” Lihat Kamus.
Atau “pintu masuk kota Hamat.”
Lihat Kamus.
Harfiah, “ke-8,” iaitu hari selepas tempoh 7 hari yang kedua.