Satu Samuel 11:1-15

  • Saul mengalahkan orang Ammon (1-11)

  • Saul disahkan lagi sebagai raja (12-15)

11  Kemudian Nahas, raja orang Ammon,+ datang lalu mendirikan khemah untuk menyerang kota Yabes+ di Gilead. Semua penduduk Yabes berkata kepada Nahas, “Buatlah perjanjian* dengan hamba sekalian dan hamba sekalian akan berkhidmat kepada tuanku.” 2  Maka Nahas, raja orang Ammon, berkata kepada mereka, “Beta akan membuat perjanjian dengan kamu atas syarat ini: Biji mata kanan kamu semua harus dicungkil. Beta akan melakukan hal ini untuk memalukan seluruh umat Israel.” 3  Para pemimpin Yabes berkata, “Berilah hamba sekalian masa tujuh hari untuk menghantar utusan ke seluruh negeri Israel. Jika tiada sesiapa yang dapat menyelamatkan hamba sekalian, maka hamba sekalian akan menyerah kepada tuanku.” 4  Kemudian para utusan itu sampai di Gibea,+ tempat tinggal Saul, lalu menyampaikan berita itu kepada orang di situ dan mereka pun menangis dengan kuat. 5  Pada masa itu, Saul datang dari padang bersama dengan ternakannya. Dia bertanya, “Apa yang terjadi? Mengapa semua orang menangis?” Maka mereka memberitahunya berita yang disampaikan oleh utusan dari Yabes. 6  Kuasa suci Tuhan dicurahkan ke atas Saul+ apabila dia mendengar berita itu. Dia menjadi sangat marah, 7  lalu mengambil dua ekor lembu jantan dan memotongnya menjadi banyak potongan. Dia menyuruh para utusan untuk membawa potongan-potongan itu ke seluruh negeri Israel dan berkata, “Sesiapa yang tidak ikut Saul dan Samuel, lembu-lembunya akan dipotong-potong seperti ini!” Maka, Yehuwa menyebabkan perasaan takut dan hormat timbul dalam hati semua orang lalu mereka semua mara dengan sehati sejiwa. 8  Kemudian dia menghitung jumlah mereka di Bezek: 300,000 orang Israel dan 30,000 orang Yehuda. 9  Mereka berkata kepada utusan yang datang dari Yabes, “Beritahulah penduduk Yabes di Gilead, ‘Esok, kira-kira pada waktu tengah hari, kamu akan diselamatkan.’” Maka utusan-utusan itu pergi memberitahu penduduk di Yabes lalu mereka sangat bersukacita. 10  Selepas itu, penduduk Yabes berkata kepada orang Ammon, “Esok kami akan menyerah kepada kamu, dan kamu boleh melakukan apa sahaja yang kamu mahu terhadap kami.”+ 11  Pada keesokan hari, Saul membahagikan umat itu kepada tiga kumpulan. Mereka pergi ke tengah-tengah perkhemahan pada waktu subuh,* lalu membunuh orang Ammon+ sehingga kira-kira waktu tengah hari. Orang Ammon yang terselamat tercerai-berai sehingga tidak ada dua orang yang lari bersama-sama. 12  Kemudian umat itu berkata kepada Samuel, “Di manakah orang yang berkata, ‘Mengapa pula Saul harus menjadi raja kita?’+ Serahkanlah mereka kepada kami supaya kami dapat membunuh mereka.” 13  Namun Saul berkata, “Pada hari ini tiada seorang pun yang akan dibunuh+ kerana Yehuwa telah menyelamatkan orang Israel.” 14  Selepas itu, Samuel berkata kepada umat itu, “Marilah kita pergi ke Gilgal+ untuk mengesahkan sekali lagi bahawa Saul ialah raja.”+ 15  Oleh itu, semua orang pergi ke Gilgal dan di situ mereka menabalkan Saul sebagai raja di hadapan Yehuwa. Mereka mempersembahkan korban pendamaian di hadapan Yehuwa.+ Saul dan seluruh umat Israel merayakan peristiwa itu dengan sukacita yang melimpah.+

Nota Kaki

Atau “persetujuan.”
Iaitu, kira-kira pukul 2 pagi sehingga pukul 6 pagi.