Satu Samuel 29:1-11

  • Orang Filistin tidak mempercayai Daud (1-11)

29  Semua askar orang Filistin+ berkumpul di Afek, manakala askar-askar orang Israel sedang berkhemah dekat mata air di Yizreel.+ 2  Para pemimpin orang Filistin mara dengan pasukan tentera mereka yang terdiri daripada 100 dan 1,000 orang. Daud dan anak buahnya pula sedang berkawad di belakang mereka dengan Akhis.+ 3  Para pemimpin orang Filistin berkata, “Mengapakah semua orang Ibrani ini ada di sini?” Akhis menjawab, “Ini Daud, hamba kepada Raja Saul dari Israel. Dia sudah meninggalkan tuannya dan menyertai beta. Sejak dia datang kepada beta lebih daripada setahun yang lalu sehingga hari ini, beta tidak pernah menemui sebarang kesalahan padanya.”+ 4  Tetapi mereka marah dengan Akhis dan berkata kepadanya, “Suruhlah dia pulang ke tempat yang telah tuanku tetapkan baginya.+ Jangan benarkan dia pergi berperang bersama kita. Siapa tahu dia akan mengkhianati kita di medan perang,+ dan membunuh anak buah kita. Bukankah itu peluang keemasannya untuk menyenangkan hati tuannya? 5  Bukankah dia itu Daud yang dimaksudkan semasa mereka menari sambil bernyanyi: ‘Saul membunuh beribu-ribu orang,Dan Daud membunuh berpuluh-puluh ribu orang’?”+ 6  Maka Akhis+ memanggil Daud dan berkata kepadanya, “Demi Yehuwa, Tuhan yang hidup, beta bersumpah bahawa kamu ialah orang yang tulus hati. Beta memang ingin kamu pergi berperang bersama beta,+ kerana sejak kamu datang kepada beta sehingga hari ini, beta tidak pernah menemui sebarang kesalahan padamu.+ Tetapi para pemimpin itu tidak mempercayai kamu.+ 7  Oleh itu, pulanglah dengan sejahtera, dan jangan buat apa-apa yang akan menimbulkan kemarahan mereka.” 8  Daud pun berkata kepada Akhis, “Apa yang telah hamba buat? Sejak hamba datang kepada tuanku sehingga hari ini, pernahkah hamba berbuat salah? Mengapakah hamba tidak dapat menyertai tuanku dan pergi melawan musuh-musuh tuanku?” 9  Akhis menjawab, “Di mata beta, kamu memang baik seperti malaikat Tuhan.+ Tetapi para pemimpin orang Filistin sudah berkata bahawa kamu tidak dibenarkan untuk pergi berperang bersama kami. 10  Maka pada esok pagi, kamu dan anak buahmu haruslah bangun awal lalu berangkatlah sewaktu hari mula terang.” 11  Oleh itu, Daud dan anak buahnya bangun pada awal pagi dan pulang ke negeri orang Filistin. Orang Filistin pula pergi ke Yizreel.+

Nota Kaki