Satu Tawarikh 20:1-8

  • Raba ditawan (1-3)

  • Gergasi dari Filistin dibunuh (4-8)

20  Pada awal tahun,* iaitu pada masa raja-raja biasanya pergi berperang, Yoab+ memimpin tentera Israel ke negeri orang Ammon untuk menghancurkannya. Dia mengepung Raba+ sementara Daud tinggal di Yerusalem.+ Yoab menyerang Raba dan memusnahkannya.+ 2  Kemudian Daud mengambil mahkota Malkam* dari kepalanya lalu memakainya. Daud mendapat tahu bahawa mahkota itu diperbuat daripada kira-kira 34 kilogram* emas, dan dihiasi dengan batu-batu berharga. Selain itu, Daud mengambil banyak barang jarahan dari kota itu.+ 3  Dia juga membawa semua penduduk kota itu keluar dan menyuruh mereka bekerja.+ Ada yang disuruh memotong batu, dan ada yang disuruh bekerja dengan menggunakan kapak dan alat-alat besi yang tajam. Itulah yang dilakukan oleh Daud kepada penduduk di semua kota orang Ammon. Kemudian Daud dan seluruh tenteranya kembali ke Yerusalem. 4  Selepas itu, orang Israel berperang dengan orang Filistin di Gezer. Sibekai,+ orang Husa itu, membunuh Sipai, iaitu seorang lelaki daripada keturunan Refaim.+ Demikianlah mereka mengalahkan orang Filistin. 5  Dalam satu lagi pertempuran dengan orang Filistin, Elhanan anak Yair membunuh Lahmi, iaitu saudara lelaki Goliat,+ orang Gat. Batang tombak Lahmi sebesar kayu pada alat tenun.+ 6  Selepas itu, peperangan tercetus lagi di Gat.+ Di sana, ada seorang lelaki daripada keturunan Refaim yang sangat besar.+ Dia mempunyai 24 batang jari kaki dan jari tangan; 6 batang jari pada setiap tangan dan kakinya.+ 7  Dia asyik menghina+ orang Israel. Maka Yonatan anak kepada Simea,+ iaitu abang Daud, membunuhnya. 8  Mereka semua ialah keturunan Refaim+ dari Gat,+ dan mereka telah mati dibunuh oleh Daud dan anak buahnya.

Nota Kaki

Iaitu, pada musim bunga.
Lihat Kamus.
Harfiah, “1 talenta.” Lihat Lampiran B14.