Dua Raja-Raja 4:1-44
4 Pada suatu hari, seorang daripada sekumpulan nabi*+ telah meninggal. Maka, balunya datang kepada Elisa dan berkata, “Hambamu, iaitu suamiku, telah meninggal. Tuan tahu bahawa hambamu itu sentiasa takut akan Yehuwa.+ Sekarang, pemberi pinjaman sudah datang hendak mengambil kedua-dua orang anakku untuk dijadikan hamba.”
2 Lalu Elisa bertanya, “Apa yang dapat aku lakukan untukmu? Beritahulah aku, apa yang ada di dalam rumahmu?” Balu itu menjawab, “Hambamu tidak mempunyai apa-apa pun kecuali sebuah botol yang berisi minyak.”+
3 Kemudian Elisa berkata, “Pergilah dan mintalah bekas-bekas kosong daripada semua jiranmu. Dapatkan seberapa banyak bekas yang mungkin.
4 Selepas itu, kamu dan anak-anak lelakimu harus masuk ke dalam rumah dan menutup pintu. Isikan semua bekas kosong itu dengan minyak dan asingkan bekas-bekas yang sudah penuh.”
5 Balu itu pun beredar dari situ.
Kemudian dia dan anak-anak lelakinya masuk ke dalam rumah lalu menutup pintu. Anak-anaknya memberikan bekas-bekas kosong itu kepadanya dan dia mengisi semua bekas itu.+
6 Apabila bekas-bekas itu penuh, dia berkata kepada salah seorang anak lelakinya, “Berilah aku bekas yang lain.”+ Tetapi anaknya menjawab, “Tidak ada bekas kosong lagi.” Ketika itu juga minyak berhenti mengalir.+
7 Maka balu itu kembali kepada Nabi Elisa dan memberitahunya apa yang telah berlaku. Elisa berkata, “Pergilah dan juallah minyak itu supaya kamu dapat membayar hutangmu. Gunakanlah wang yang selebihnya untuk menyara hidupmu dan anak-anak lelakimu.”
8 Pada suatu hari, Elisa pergi ke Sunem.+ Di sana terdapat seorang wanita yang kaya dan disegani. Wanita itu menggesa Elisa makan di rumahnya.+ Maka setiap kali Elisa lalu di sana, dia akan makan di rumah wanita itu.
9 Wanita itu berkata kepada suaminya, “Saya tahu bahawa lelaki yang selalu datang ke rumah kita ialah hamba Tuhan yang suci.
10 Marilah kita membina sebuah bilik kecil di bumbung rumah,+ dan melengkapinya dengan katil, meja, kerusi, dan kaki pelita agar dia dapat menginap di bilik itu setiap kali dia datang ke sini.”+
11 Pada suatu hari, Elisa pergi ke Sunem dan masuk ke bilik itu lalu berbaring di situ.
12 Dia berkata kepada pembantunya Gehazi,+ “Panggillah wanita Sunem+ itu.” Maka Gehazi memanggilnya dan wanita itu datang kepada Gehazi.
13 Elisa berkata kepada Gehazi, “Beritahulah wanita itu, ‘Kamu bersusah payah kerana kami.+ Apakah yang dapat aku lakukan untuk kamu?+ Perlukah aku bercakap dengan raja atau ketua tentera bagi pihak kamu?’”+ Wanita itu menjawab, “Tidak perlu kerana aku hidup aman dalam kalangan bangsaku sendiri.”
14 Maka Elisa bertanya, “Jika demikian, apakah yang dapat aku lakukan untuknya?” Gehazi menjawab, “Dia tidak mempunyai anak lelaki+ dan suaminya sudah tua.”
15 Elisa segera berkata, “Panggillah wanita itu.” Maka Gehazi memanggilnya dan wanita itu datang lalu berdiri di pintu.
16 Elisa berkata, “Pada masa yang sama tahun depan, kamu akan melahirkan seorang anak lelaki.”+ Wanita itu menjawab, “Tuan, janganlah tipu aku. Tuan ialah utusan daripada Tuhan yang benar!”
17 Sebagaimana yang dikatakan oleh Elisa, wanita itu mengandung dan melahirkan seorang anak lelaki pada masa yang sama tahun berikutnya.
18 Hari demi hari, anak itu kian membesar. Pada suatu hari, dia pergi mencari bapanya yang ada bersama para penuai.
19 Dia asyik berkata kepada bapanya, “Aduh, sakitnya kepala saya!” Maka bapanya berkata kepada hambanya, “Angkatlah dia dan bawalah dia kepada ibunya.”
20 Hamba itu pun membawa anak itu kepada ibunya. Anak itu terus duduk di pangkuan ibunya sehingga tengah hari, dan akhirnya dia meninggal.+
21 Kemudian ibunya membawanya ke dalam bilik Elisa+ lalu membaringkannya di atas katil. Dia menutup pintu lalu beredar.
22 Dia memanggil suaminya dan berkata, “Suruhlah seorang hamba membawa seekor keldai ke mari dengan cepat. Saya hendak bertemu dengan Nabi Elisa. Selepas itu, saya akan kembali.”
23 Suaminya bertanya, “Mengapakah kamu hendak pergi berjumpa dengannya pada hari ini? Hari ini bukanlah bulan baharu+ ataupun hari Sabat.” Dia menjawab, “Jangan risau, tiada masalah.”
24 Kemudian dia memasang pelana pada keldai itu dan berkata kepada hambanya, “Cepat! Jangan kurangkan kepantasannya kecuali aku suruh.”
25 Demikianlah wanita itu berangkat untuk berjumpa dengan nabi itu di Gunung Karmel. Sebaik sahaja Nabi Elisa nampak wanita itu dari jauh, dia berkata kepada Gehazi, pembantunya, “Lihatlah! Wanita dari Sunem itu sudah datang.
26 Cepatlah pergi menemuinya dan tanyalah tentang keadaannya, suaminya, dan anaknya.” Wanita itu memberitahu Gehazi bahawa semuanya baik.
27 Apabila dia berjumpa dengan Nabi Elisa di gunung, dia segera memegang kaki Nabi Elisa.+ Maka Gehazi mendekati wanita itu untuk menolaknya, tetapi Elisa berkata, “Biarkanlah dia. Dia kelihatan sangat sedih, tetapi aku tidak tahu sebabnya kerana Yehuwa belum memberitahuku apa-apa.”
28 Wanita itu berkata, “Aku tidak pernah meminta seorang anak lelaki daripada tuan. Bukankah aku sudah berkata, ‘Janganlah beri aku harapan palsu’?”+
29 Elisa segera berkata kepada Gehazi, “Ikatlah jubahmu pada pinggangmu*+ dan ambillah tongkatku. Pergilah dan jika kamu terjumpa dengan seseorang, janganlah menyapanya, dan jika seseorang memberikan salam kepadamu, janganlah membalas salamnya.* Pergilah dan letakkanlah tongkatku pada muka budak itu.”
30 Namun, wanita itu berkata, “Aku bersumpah demi Yehuwa yang hidup dan demi tuan, bahawa aku tidak akan meninggalkan tuan.”+ Oleh itu, Elisa berangkat bersama-samanya.
31 Gehazi mendahului mereka lalu meletakkan tongkat Elisa pada muka budak itu, tetapi tiada tanda-tanda bahawa budak itu hidup.+ Dia kembali untuk menemui Elisa dan berkata, “Budak itu tidak bangun.”
32 Apabila Elisa tiba di rumah wanita itu, dia nampak budak yang mati itu terbaring di atas katil.+
33 Dia masuk lalu menutup pintu bilik. Hanya mereka berdua di dalam bilik itu. Kemudian Elisa mula berdoa kepada Yehuwa.+
34 Dia meniarap pada tubuh budak yang berada di atas katil itu. Dia merapatkan mulutnya pada mulut budak itu, matanya pada mata budak itu, dan tapak tangannya pada tapak tangan budak itu. Dia berbuat demikian sehingga badan budak itu menjadi hangat.+
35 Kemudian, dia berjalan mundar-mandir di dalam rumah itu. Sekali lagi, dia meniarap pada tubuh budak itu. Budak itu bersin sebanyak tujuh kali lalu membuka matanya.+
36 Elisa memanggil Gehazi dan berkata, “Panggillah wanita dari Sunem itu.” Maka Gehazi pun memanggil wanita itu. Apabila wanita itu masuk, Elisa berkata, “Ambillah anakmu ini.”+
37 Wanita itu bersujud di depan kaki Elisa lalu membawa anaknya keluar.
38 Semasa Elisa kembali ke Gilgal, ada kebuluran berlaku di situ.+ Sekumpulan nabi+ sedang duduk di hadapannya dan Elisa berkata kepada pembantunya,+ “Letakkanlah periuk besar di atas api, dan masaklah sup untuk nabi-nabi ini.”
39 Maka salah seorang nabi pergi ke ladang untuk mencari sayur, dan dia menjumpai labu pada sejenis tanaman liar. Tanpa mengetahui apa sebenarnya tanaman itu, dia mula memetik labu itu dan memasukkannya ke dalam jubahnya. Apabila jubahnya sudah penuh, dia kembali dan memotong labu-labu itu lalu memasukkannya ke dalam periuk.
40 Kemudian sup itu dihidangkan. Tetapi sebaik sahaja mereka memakannya, mereka berkata, “Hai nabi Tuhan, sup ini beracun!” Maka mereka tidak memakannya lagi.
41 Oleh itu, Elisa berkata, “Bawakanlah sedikit tepung kepadaku.” Dia mengambil tepung itu dan memasukkannya ke dalam periuk. Setelah itu, dia berkata, “Hidangkan lagi sup ini kepada semua orang.” Ternyata sup itu tidak lagi beracun.+
42 Seorang lelaki datang dari Baal-salisa+ dan dia membawa sebuah kantung yang berisi bijirin yang baharu.+ Selain itu, dia juga membawa 20 buku roti yang diperbuat daripada barli.+ (Barli itu merupakan hasil tuaian yang pertama.) Maka Elisa berkata, “Agihkan makanan ini kepada semua orang supaya mereka boleh memakannya.”
43 Tetapi hambanya berkata, “Makanan ini tidak mungkin cukup untuk 100 orang.”+ Elisa berkata, “Yehuwa telah berfirman, ‘Mereka akan makan, dan setelah makan, akan ada lebihan makanan.’+ Jadi agihkanlah makanan ini kepada semua orang supaya mereka boleh memakannya.”
44 Maka hamba itu mengagihkan makanan itu kepada semua orang lalu mereka memakannya. Setelah mereka selesai makan, masih ada lebihan makanan+ seperti yang difirmankan Yehuwa.
Nota Kaki
^ Perbuatan ini menggambarkan seseorang yang bersedia untuk melakukan kerja.
^ Perbuatan memberikan salam ini mungkin melibatkan ciuman, pelukan, dan perbualan yang panjang.