Dua Samuel 2:1-32

  • Daud, raja Yehuda (1-7)

  • Ish-boset, raja Israel (8-11)

  • Perang antara anak buah Daud dan anak buah Saul (12-32)

2  Selepas itu, Daud bertanya kepada Yehuwa,+ “Haruskah aku pergi ke salah sebuah kota di Yehuda?” Yehuwa menjawab, “Ya, pergilah.” Daud bertanya lagi, “Ke manakah aku harus pergi?” Tuhan menjawab, “Hebron.”+ 2  Maka Daud pergi ke kota itu bersama dua orang isterinya, iaitu Ahinoam+ dari Yizreel, dan Abigail,+ balu Nabal dari Karmel. 3  Daud juga membawa anak buahnya+ dan keluarga mereka masing-masing. Mereka semua tinggal di kota-kota di sekitar Hebron. 4  Kemudian orang Yehuda pergi kepada Daud. Mereka mengurapinya dan menjadikannya raja orang Yehuda.+ Mereka berkata kepada Daud, “Orang Yabes-gilead telah mengebumikan Saul.” 5  Daud pun menghantar utusan kepada orang Yabes-gilead dengan pesanan berikut: “Semoga Yehuwa memberkati kamu, kerana kamu telah menunjukkan kasih dan kesetiaan kepada tuanmu, Saul, dengan mengebumikan mayatnya.+ 6  Semoga Yehuwa menunjukkan kasih* dan kesetiaan kepada kamu. Beta juga akan memperlakukan kamu dengan baik kerana perbuatan kamu itu.+ 7  Hendaklah kamu kuat dan berani! Tuanmu Saul telah meninggal, tetapi orang Yehuda telah mengurapi beta dan menjadikan beta raja.” 8  Abner+ anak Ner, iaitu ketua tentera Saul, telah membawa anak Saul, Ish-boset,+ ke Mahanaim,+ yang terletak di seberang sungai. 9  Dia telah menjadikan Ish-boset raja atas Gilead,+ Yizreel,+ Efraim,+ Benyamin, orang Ashuri, dan seluruh negeri Israel. 10  Ish-boset berumur 40 tahun semasa dia menjadi raja Israel, dan dia memerintah selama dua tahun. Meskipun demikian, orang Yehuda tetap berpihak kepada Daud.+ 11  Daud memerintah di Hebron sebagai raja orang Yehuda selama tujuh tahun setengah.+ 12  Pada suatu hari, Abner anak Ner dan askar-askar Ish-boset bertolak dari Mahanaim+ dan pergi ke Gibeon.+ 13  Yoab+ anak Zeruya+ dan askar-askar Daud juga pergi ke Gibeon. Mereka semua bertemu di tepi kolam. Abner dan pasukannya duduk di satu sisi kolam, sedangkan Yoab dan pasukannya duduk di sisi yang lain. 14  Akhirnya, Abner berkata kepada Yoab, “Marilah kita suruh pemuda-pemuda kita bertarung* di hadapan kita.” Yoab menjawab, “Ya, baiklah.” 15  Maka kedua-dua pasukan memilih beberapa orang pemuda: 12 orang daripada suku Benyamin dan Ish-boset, dan 12 orang daripada askar-askar Daud. Para pemuda itu pun bangun dan pergi bertarung. 16  Mereka saling mencengkam kepala dan menikam satu sama lain dengan pedang, sehingga mereka semua jatuh ke tanah. Itulah sebabnya tempat di Gibeon itu dinamakan Helkat-hazurim. 17  Pertempuran berlangsung dengan sangat sengit pada hari itu. Akhirnya, Abner dan askar-askar Israel dikalahkan oleh askar-askar Daud. 18  Tiga orang anak lelaki Zeruya,+ iaitu Yoab,+ Abisai,+ dan Asael,+ juga berada di sana. Asael dapat berlari sepantas kijang liar. 19  Asael terus mengejar Abner tanpa henti. 20  Abner menoleh ke belakang dan bertanya, “Kamukah itu Asael?” “Ya,” jawabnya. 21  Kemudian Abner berkata, “Jangan kejar aku! Pergilah tangkap salah seorang pemuda, dan ambillah apa-apa saja daripadanya untuk dirimu.” Tetapi Asael terus mengejar dia. 22  Sekali lagi, Abner berkata kepada Asael, “Jangan kejar aku lagi! Jangan paksa aku bunuh kamu! Bagaimana aku dapat berhadapan muka dengan abangmu Yoab nanti?” 23  Tetapi Asael enggan berhenti. Oleh itu, Abner menusuk perut Asael dengan hujung tombaknya+ sehingga tombak itu tembus ke belakang Asael. Asael pun jatuh ke tanah dan mati dengan serta-merta. Semua orang yang sampai ke tempat dia terlentang itu berhenti dan berdiri di situ. 24  Kemudian Yoab dan Abisai pergi mengejar Abner. Sewaktu matahari terbenam, mereka tiba di Bukit Ama, yang berhadapan dengan Giah, di jalan yang menuju ke padang belantara Gibeon. 25  Orang Benyamin berkumpul dan mengikuti Abner. Mereka membentuk sebuah pasukan dan mengambil kedudukan di atas puncak sebuah bukit. 26  Abner berseru kepada Yoab, “Haruskah pedang kita terus mendahagakan darah? Tidakkah kamu tahu bahawa semua ini hanya akan membawa kepahitan? Berapa lama lagi kamu akan menunggu sebelum mengarahkan anak buahmu berhenti memburu saudara-saudara mereka?” 27  Oleh itu, Yoab menjawab, “Demi Tuhan benar yang hidup, aku bersumpah bahawa jika kamu tidak berkata demikian, tentu anak buahku akan terus mengejar saudara-saudara mereka sehingga esok pagi.” 28  Maka Yoab meniup trompet, lalu anak buahnya berhenti mengejar orang Israel dan mereka tidak berperang lagi. 29  Sepanjang malam, Abner dan anak buahnya berjalan melalui Araba,+ dan menyeberangi Sungai Yordan. Lalu mereka merentasi sebuah lembah* sehingga mereka tiba di Mahanaim.+ 30  Apabila Yoab berhenti mengejar Abner, dia mengumpulkan semua anak buahnya. Dia mendapati bahawa selain Asael, sebanyak 19 orang askar Daud terkorban. 31  Tetapi askar-askar Daud berjaya mengalahkan orang Benyamin dan anak buah Abner, dan membunuh 360 orang dalam kalangan mereka. 32  Mayat Asael+ dikebumikan di kuburan bapanya di Betlehem.+ Kemudian Yoab dan anak buahnya meneruskan perjalanan mereka pada waktu malam. Mereka tiba di Hebron+ semasa matahari terbit.

Nota Kaki

Atau “kasih setia.”
Atau “bertanding.”
Atau mungkin, “merentasi seluruh Bithron.”