Dua Tawarikh 3:1-17
3 Salomo mula membina Rumah Yehuwa+ di atas Gunung Moria di Yerusalem,+ iaitu di tempat yang telah disediakan oleh bapanya Daud.+ Yehuwa juga pernah menampakkan diri kepada Daud di situ. Itulah tempat mengirik* tuaian milik Ornan,+ seorang lelaki Yebus.
2 Salomo memulakan pembinaan rumah itu pada hari kedua, bulan kedua, tahun keempat pemerintahannya.
3 Dia membina asas rumah Tuhan yang benar mengikut ukuran hasta yang lama.* Asas itu berukuran 60 hasta panjang dan 20 hasta lebar.+
4 Di depan rumah itu, ada sebuah anjung yang tingginya berukuran 20 hasta* dan lebarnya berukuran 20 hasta, iaitu sama seperti lebar rumah itu; Salomo melapisi bahagian dalamnya dengan emas tulen.+
5 Dia melapisi bilik utama dengan kayu juniper lalu melapisinya lagi dengan emas yang bermutu tinggi.+ Kemudian dia menghiasinya dengan ukiran pokok palma+ dan untaian rantai.+
6 Dia juga menghiasi rumah itu dengan batu-batu permata yang cantik;+ emas+ yang digunakannya diambil dari Parwaim.
7 Selain itu, dia melapisi rumah itu, iaitu kasau-kasaunya,* dindingnya, ambang pintunya, dan pintu-pintunya, dengan emas.+ Dia juga menghiasi dinding rumah itu dengan ukiran kerub.*+
8 Selepas itu, Salomo membina Bilik Maha Suci+ yang berukuran 20 hasta panjang dan 20 hasta lebar, iaitu sama seperti lebar Rumah Tuhan. Dia melapisi bilik itu dengan 600 talenta* emas yang bermutu tinggi.+
9 Sebanyak 50 syekel* emas digunakan untuk membuat paku-paku. Dia juga melapisi bilik-bilik di bumbung dengan emas.
10 Kemudian Salomo membuat dua buah patung kerub di dalam Bilik Maha Suci, dan menyaluti patung-patung itu dengan emas.+
11 Jumlah panjang sayap-sayap kerub itu+ ialah 20 hasta. Sebelah sayap kerub yang pertama berukuran lima hasta panjang dan menyentuh dinding bilik. Sayap lainnya juga berukuran lima hasta panjang dan menyentuh sayap kerub yang kedua.
12 Sebelah sayap kerub yang kedua berukuran lima hasta panjang dan menyentuh dinding bilik. Sayap lainnya juga berukuran lima hasta panjang dan menyentuh sayap kerub yang pertama.
13 Sayap-sayap kerub itu terbentang luas dan berukuran 20 hasta panjang. Kedua-dua patung kerub itu berdiri dan menghadap ke dalam.*
14 Salomo juga membuat tirai+ daripada kain bermutu tinggi dan benang berwarna biru, ungu, dan merah. Tirai itu mempunyai gambar kerub.+
15 Di hadapan rumah itu, dia membuat dua buah tiang+ yang berukuran 35 hasta tinggi, dan kepala tiang yang berukuran lima hasta tinggi.+
16 Dia membuat rantai-rantai dan meletakkannya pada kepala tiang itu. Dia juga membuat 100 hiasan berbentuk buah delima untuk digantungkan pada rantai-rantai itu.
17 Dia meletakkan tiang-tiang itu di hadapan Rumah Tuhan; satu di sebelah kanan,* dan satu lagi di sebelah kiri.* Tiang di sebelah kanan dinamakan Yakhin,* dan tiang di sebelah kiri dinamakan Boaz.*
Nota Kaki
^ Proses memisahkan buah daripada tangkai.
^ 1 hasta berukuran 44.5 cm, tetapi “ukuran hasta yang lama” di ayat ini mungkin merujuk kepada hasta yang panjang yang berukuran 51.8 cm. Lihat Lampiran B14.
^ Sesetengah naskhah kuno mencatatkan angka “120,” manakala naskhah lain dan sesetengah terjemahan mencatatkan angka “20 hasta.”
^ Kerub ialah malaikat yang berpangkat tinggi.
^ Iaitu, kayu yang melintang pada bumbung rumah.
^ Lihat Lampiran B14.
^ Lihat Lampiran B14.
^ Iaitu, menghadap ke arah Bilik Suci.
^ Atau “selatan.”
^ Atau “utara.”
^ Maksudnya “Semoga Dia [iaitu, Yehuwa] Menetapkan.”
^ Mungkin bermaksud “Dengan Kekuatan.”