Dua Timotius 3:1-17
3 Tetapi ketahuilah hal ini: Pada hari-hari terakhir,+ akan tiba masa genting yang sukar dihadapi.
2 Manusia akan mencintai diri sendiri, mencintai wang, bercakap besar, bersikap angkuh, dan menghina Tuhan. Mereka tidak mematuhi ibu bapa, tidak tahu berterima kasih, tidak setia,
3 tidak memiliki kasih sayang, tidak mahu dibawa berbincang, suka memfitnah, tidak tahu mengawal diri, garang, dan tidak mencintai kebaikan.
4 Mereka juga suka berkhianat, keras kepala, sombong, dan mencintai kesenangan tetapi tidak mencintai Tuhan.
5 Di depan orang lain mereka nampaknya beribadat kepada Tuhan, tetapi mereka tidak hidup sesuai dengan ibadat mereka.+ Jauhkanlah dirimu daripada mereka semua.
6 Daripada kalangan mereka, muncullah orang yang masuk ke dalam rumah tangga orang lain dengan licik lalu menawan wanita-wanita yang lemah, yang sarat dengan dosa, dan yang dikuasai oleh pelbagai keinginan.
7 Wanita-wanita ini selalu belajar tetapi tidak pernah mendapat pengetahuan yang tepat tentang kebenaran.
8 Sepertimana Yanes dan Yambres menentang Musa, orang sebegini juga terus menentang kebenaran. Fikiran mereka rosak sepenuhnya, dan mereka tidak diperkenankan Tuhan kerana mereka tidak hidup berdasarkan kepercayaan.
9 Namun begitu, mereka tidak akan berjaya kerana kebodohan mereka akan dilihat dengan jelas oleh semua orang, seperti yang berlaku kepada dua orang itu.+
10 Tetapi dengan cermat kamu sudah mengikut ajaranku, haluan hidupku,+ tujuanku, imanku, kesabaranku, kasihku, dan ketabahanku.
11 Kamu juga tahu tentang penganiayaan dan penderitaan yang telah aku alami di Antiokhia,+ di Ikonium,+ dan di Listra.+ Aku tabah menghadapi penganiayaan itu, dan Tuan telah menyelamatkan aku daripada semuanya.+
12 Sebenarnya, semua orang yang mahu mengabdikan diri kepada Tuhan dan hidup bersatu dengan Kristus Yesus juga akan dianiaya.+
13 Tetapi orang jahat dan penyamar akan menjadi semakin jahat. Mereka akan menyesatkan orang dan mereka sendiri juga akan disesatkan.+
14 Namun, hendaklah kamu terus berpegang pada apa yang telah kamu pelajari dan apa yang telah kamu percayai selepas diyakinkan.+ Kamu tahu siapa yang mengajarkannya kepada kamu
15 dan sejak bayi lagi,+ kamu telah mengenal tulisan-tulisan suci+ yang dapat membantu kamu menjadi bijaksana, dan yang membawa penyelamatan kerana kamu beriman kepada Kristus Yesus.+
16 Segenap Ayat-Ayat Suci diilhami oleh Tuhan+ dan berguna untuk mengajar,+ menegur, membetulkan* segala sesuatu, dan mendidik orang untuk melakukan apa yang benar,*+
17 agar hamba Tuhan menjadi cekap dan dilengkapi dengan sepenuhnya untuk melakukan setiap perbuatan yang baik.
Nota Kaki
^ Atau “meluruskan.”
^ Atau “dan mendisiplinkan orang menurut piawaian Tuhan yang adil dan benar.”