Ayub 20:1-29
20 Kemudian, Zofar+ orang Naama itu berkata,
2 “Fikiranku sangat terganggu dan aku berasa amat resah.Itulah sebabnya aku mahu bercakap.
3 Kata-katamu telah menyinggung perasaanku.Namun aku berpengertian, maka aku akan menjawab kata-katamu.
4 Tentu kamu tahu bahawa sejak dahulu lagi,Sejak manusia mula-mula ditempatkan di bumi,+
5 Seruan sukacita orang jahat hanyalah sementara,Dan kegembiraan orang murtad hanyalah seketika.+
6 Meskipun keunggulan mereka sampai ke langit,Dan kebesaran mereka mencapai awan,
7 Tetapi seperti tahi mereka sendiri, mereka akan lenyap selama-lamanya;Orang yang pernah melihat mereka akan berkata, ‘Di manakah mereka?’
8 Orang tidak akan menjumpai mereka lagi;Mereka akan menghilang seperti mimpi dan lenyap seperti penglihatan pada malam hari.
9 Mereka tidak akan dilihat lagi di tempat tinggal mereka.Ya, mereka tidak akan dijumpai lagi.+
10 Anak-anak mereka akan meminta bantuan orang miskin,Dan mereka terpaksa mengembalikan semua harta yang dirampas oleh mereka.+
11 Mereka kuat dan perkasa seperti orang muda,Tetapi semasa mereka mati, kekuatan mereka akan hancur menjadi debu belaka.
12 Kejahatan bagaikan makanan yang sungguh manis bagi mereka,Sehingga mereka menyimpannya di dalam mulut.
13 Mereka begitu menikmatinyaSehingga enggan mengeluarkannya daripada mulut mereka.
14 Namun ketika masuk ke dalam perut mereka,Makanan itu akan berubah menjadi seperti racun ular berbisa.
15 Mereka akan memuntahkan kekayaan yang ditelan mereka;Tuhan akan mengeluarkannya dari dalam perut mereka.
16 Mereka akan minum racun ular berbisa,Dan mereka akan mati dipatuk ular berbisa.
17 Mereka tidak akan menikmati madu dan susuYang berlimpah-limpah seperti air sungai yang terus mengalir.
18 Mereka akan menyerahkan harta milik mereka tanpa menikmatinya;Mereka tidak berpeluang menikmati kekayaan hasil usaha mereka,+
19 Kerana mereka menindas dan tidak mempedulikan orang miskin,Dan mereka merampas rumah orang lain.
20 Mereka tidak mempunyai ketenangan jiwa,Dan kekayaan mereka tidak dapat menyelamatkan mereka.
21 Tiada apa-apa lagi yang tertinggal untuk dirampas oleh mereka.Itulah sebabnya kemakmuran mereka tidak berkekalan.
22 Apabila kemewahan mereka memuncak tinggi, kekhuatiran akan menyelubungi mereka;Bermacam-macam malapetaka akan menimpa mereka.
23 Semasa mereka makan sepuas-puasnya,Tuhan akan mencurahkan kemurkaan-Nya yang menyala-nyala.Seperti hujan lebat, bencana akan turun ke atas mereka.
24 Apabila mereka mencuba melarikan diri daripada senjata-senjata besi,Anak panah tembaga akan menembusi mereka;
25 Hujung anak panah yang berkilau itu akan menembusi hati* mereka.Mereka mencabut anak panah itu daripada belakang mereka,Dan mereka dicengkam ketakutan.+
26 Semua harta mereka akan hilang;Api yang tidak dinyalakan orang akan membakar mereka,Dan sesiapa yang masih tertinggal di dalam khemah mereka akan turut binasa.
27 Langit akan mendedahkan dosa-dosa mereka,Dan bumi akan bangkit menentang mereka.
28 Banjir akan menghanyutkan rumah mereka,Dan ribut badai akan melanda mereka pada hari kemurkaan Tuhan.
29 Demikianlah kesudahan yang ditentukan oleh Tuhan untuk orang jahat;Ya, begitulah balasan yang ditetapkan-Nya bagi mereka.”
Nota Kaki
^ Harfiah, “hempedu.”