Bilangan 20:1-29

  • Miryam meninggal di Kades (1)

  • Musa mengeluarkan air dari bukit batu; Musa berdosa (2-13)

  • Raja Edom tidak membenarkan orang Israel melalui negerinya (14-21)

  • Harun meninggal (22-29)

20  Pada bulan yang pertama, segenap umat Israel tiba di padang belantara Zin, lalu mereka berkhemah di Kades.+ Di situlah Miryam+ meninggal dan dikebumikan. 2  Apabila umat Israel tidak menjumpai air minum,+ mereka berkumpul untuk memberontak terhadap Musa dan Harun. 3  Mereka mula bersungut-sungut terhadap Musa+ dan berkata, “Lebih baik kami mati bersama saudara-saudara kami yang mati di hadapan Yehuwa! 4  Mengapa kamu membawa umat* Yehuwa ke padang belantara ini? Adakah kamu mahu kami dan ternakan kami mati di sini?+ 5  Mengapa kamu membawa kami keluar dari Mesir ke tempat yang celaka ini?+ Kami tidak dapat bercucuk tanam dan tidak ada buah ara, buah anggur, ataupun buah delima di sini. Bahkan air minum pun tiada!”+ 6  Maka Musa dan Harun meninggalkan umat itu, lalu pergi ke pintu masuk khemah pertemuan. Mereka bersujud ke tanah, lalu cahaya kemuliaan Yehuwa kelihatan di hadapan mereka.+ 7  Kemudian Yehuwa berfirman kepada Musa, 8  “Ambillah tongkatmu, lalu engkau dan abangmu, Harun, harus mengumpulkan semua orang Israel. Di hadapan mereka semua, bercakaplah kepada bukit batu di situ, lalu air akan keluar daripada batu itu. Dengan demikian, orang Israel dan ternakan mereka dapat minum.”+ 9  Maka Musa mengambil tongkatnya dari hadirat Yehuwa+ sebagaimana yang diperintahkan Tuhan. 10  Musa dan Harun mengumpulkan segenap umat Israel di hadapan bukit batu itu. Kemudian Musa berkata, “Dengarlah, hai pemberontak! Haruskah kami mengeluarkan air daripada bukit batu ini untuk kamu?”+ 11  Selepas itu, Musa mengangkat tongkatnya dan memukul bukit batu dengan tongkat itu sebanyak dua kali. Maka air pun keluar daripada bukit batu itu. Air itu begitu banyak sehingga segenap umat dan ternakan mereka dapat minum.+ 12  Tetapi Yehuwa berfirman kepada Musa dan Harun, “Kamu tidak beriman kepada-Ku, dan kamu tidak memuliakan Aku di hadapan umat Israel. Oleh itu, kamu tidak akan memimpin umat ini ke tanah yang telah Aku janjikan untuk diberikan kepada mereka.”+ 13  Peristiwa itu terjadi di Sumber Air Meriba.*+ Di situ umat Israel bersungut-sungut terhadap Yehuwa, dan di situ juga Dia membuktikan bahawa Dia ialah Tuhan yang suci. 14  Kemudian Musa menghantar beberapa orang utusan dari Kades untuk menghadap raja Edom.+ Para utusan itu berkata, “Inilah kata-kata orang Israel,+ saudara tuanku: ‘Tuanku tahu akan kesusahan yang menimpa hamba semua. 15  Nenek moyang hamba semua telah pergi ke Mesir+ dan tinggal di sana selama bertahun-tahun.+ Nenek moyang hamba dan hamba semua ditindas oleh orang Mesir.+ 16  Maka hamba semua berseru kepada Yehuwa meminta tolong.+ Dia mendengarkan seruan hamba semua, lalu mengutus malaikat-Nya+ untuk membawa hamba semua keluar dari Mesir. Kini hamba semua berada di Kades, iaitu sebuah kota yang terletak di sempadan negeri tuanku. 17  Benarkanlah hamba semua melalui negeri tuanku. Hamba semua tidak akan melalui ladang atau kebun anggur tuanku, dan hamba semua tidak akan minum air dari mana-mana perigi tuanku. Hamba semua hanya akan berjalan melalui Jalan Raja dan tidak akan menyimpang ke kiri atau ke kanan, sehingga hamba semua keluar dari negeri tuanku.’”+ 18  Tetapi raja Edom berkata, “Kamu tidak boleh melalui negeri beta! Jika kamu melalui negeri beta, beta akan menyerang kamu.” 19  Orang Israel berkata, “Hamba semua hanya akan melalui jalan besar. Jika hamba semua atau ternakan hamba semua minum air di kawasan tuanku, hamba semua akan membayarnya.+ Hamba semua hanya ingin berjalan melalui negeri tuanku.”+ 20  Namun raja Edom berkata, “Tidak boleh!”+ Kemudian dia keluar bersama angkatan tenteranya yang kuat dan perkasa untuk menemui orang Israel. 21  Memandangkan raja Edom tidak membenarkan orang Israel melalui negerinya, orang Israel terpaksa beredar dari sana.+ 22  Segenap umat Israel meninggalkan Kades lalu tiba di Gunung Hor.+ 23  Kemudian Yehuwa berfirman kepada Musa dan Harun di Gunung Hor, yang terletak di sempadan negeri Edom. Dia berfirman, 24  “Harun akan meninggal dan dia akan dikebumikan seperti nenek moyangnya.+ Dia tidak akan memasuki tanah yang telah Aku janjikan untuk diberikan kepada orang Israel. Hal ini demikian kerana kamu berdua tidak mematuhi perintah yang Kuberikan di Sumber Air Meriba.+ 25  Bawalah Harun dan anaknya, Eleazar, naik ke Gunung Hor. 26  Selepas itu, tanggalkanlah jubah imam+ yang dipakai oleh Harun lalu kenakanlah jubah itu pada Eleazar.+ Harun akan meninggal di gunung itu.” 27  Musa melakukan segala yang diperintahkan oleh Yehuwa. Dia, Harun, dan Eleazar, mendaki Gunung Hor sambil disaksikan oleh segenap umat Israel. 28  Kemudian Musa menanggalkan jubah imam yang dipakai oleh Harun lalu mengenakannya pada Eleazar. Harun meninggal di puncak gunung itu,+ lalu Musa dan Eleazar turun dari situ. 29  Apabila orang Israel mengetahui bahawa Harun sudah meninggal, mereka semua berkabung selama 30 hari.+

Nota Kaki

Atau “sidang.” Lihat Kamus.
Maksudnya “Bertengkar; Menentang.”