Surat kepada Sidang di Efesus 6:1-24

  • Nasihat kepada anak dan ibu bapa (1-4)

  • Nasihat kepada hamba dan tuan (5-9)

  • Seluruh perlengkapan perang daripada Tuhan (10-20)

  • Salam akhir (21-24)

6  Hai anak-anak, selaras dengan kehendak Tuan, patuhilah ibu bapa+ kamu kerana hal ini benar di mata-Nya. 2  “Hormatilah ibu bapa kamu.”+ Itulah perintah pertama yang disertai janji berikut: 3  “Supaya kamu hidup sejahtera* dan berumur panjang di bumi.” 4  Hai bapa-bapa, janganlah memperlakukan anak-anak kamu sedemikian rupa sehingga mereka menjadi marah.+ Sebaliknya, teruslah besarkan mereka dengan disiplin+ dan nasihat* daripada Yehuwa.*+ 5  Hai hamba-hamba, patuhilah tuan kamu di bumi+ dengan hati yang ikhlas disertai rasa takut dan hormat yang mendalam, sebagaimana kamu patuh kepada Kristus. 6  Janganlah patuh hanya semasa kamu diawasi, semata-mata untuk menyenangkan hati manusia.+ Sebaliknya, tunjukkanlah kepatuhan sebagai hamba Kristus dan lakukanlah kehendak Tuhan dengan sepenuh jiwa.+ 7  Berkhidmatlah kepada tuan kamu dengan rela hati, seolah-olah kamu berkhidmat kepada Yehuwa*+ dan bukan kepada manusia, 8  kerana kamu tahu bahawa setiap orang, baik hamba mahupun orang bebas, akan menerima ganjaran daripada Yehuwa*+ untuk perbuatan baik yang dilakukannya. 9  Hai kamu yang menjadi tuan, ingatlah akan hal ini sewaktu kamu berurusan dengan hamba-hamba kamu: Jangan mengancam mereka, kerana kamu tahu bahawa Tuan mereka, yang juga merupakan Tuan kamu, berada di syurga,+ dan Dia tidak berat sebelah. 10  Akhirnya, teruslah memperoleh kuasa+ daripada Tuan kita dan daripada kekuatan-Nya yang besar. 11  Kenakanlah seluruh perlengkapan perang+ daripada Tuhan supaya kamu dapat berdiri teguh untuk melawan muslihat Iblis yang licik. 12  Hal ini demikian kerana kita tidak bergelut+ melawan manusia, tetapi melawan kerajaan, melawan pihak berkuasa, melawan pemerintah dunia yang gelap ini, dan melawan roh-roh jahat+ di syurga. 13  Oleh itu, kenakanlah seluruh perlengkapan perang daripada Tuhan+ supaya kamu dapat melawan musuh pada hari yang jahat. Dengan demikian, selepas kamu melakukan semuanya, kamu dapat berdiri teguh. 14  Maka, hendaklah kamu berdiri teguh dengan mengikatkan kebenaran pada pinggang kamu seperti tali pinggang,+ dan dengan mengenakan perisai dada, iaitu kelakuan yang benar.+ 15  Selain itu, hendaklah kesediaan untuk mengisytiharkan berita baik tentang kedamaian menjadi seperti kasut bagi kaki kamu.+ 16  Di samping semua itu, hendaklah kamu sentiasa menggunakan perisai besar iman,+ supaya kamu dapat memadamkan semua anak panah* berapi daripada Si Jahat.+ 17  Terimalah juga penyelamatan sebagai topi besi,+ dan firman Tuhan sebagai pedang yang diberikan oleh kuasa suci Tuhan.+ 18  Dengan setiap bentuk doa+ dan rayuan, teruslah berdoa pada setiap kesempatan di bawah bimbingan kuasa suci Tuhan.+ Untuk berbuat demikian, kamu haruslah sentiasa berjaga-jaga dan merayu kepada Tuhan bagi pihak semua umat suci-Nya. 19  Berdoalah untukku juga, supaya aku tahu apa yang harus aku katakan apabila aku membuka mulutku. Dengan demikian, aku dapat bercakap dengan berani* semasa mengisytiharkan rahsia suci tentang berita baik.+ 20  Demi berita baik ini aku menjadi seorang duta+ yang dirantai. Berdoalah untukku supaya aku dapat bercakap tentang berita baik dengan penuh keberanian sebagaimana yang harus aku lakukan. 21  Tikhikus,+ seorang saudara yang dikasihi dan hamba yang setia kepada Tuan kita, akan memberitahu kamu segala-galanya, supaya kamu tahu tentang keadaanku.+ 22  Aku mengutus dia kepada kamu supaya kamu mengetahui keadaan kami, dan supaya dia dapat melegakan hati kamu semua. 23  Semoga saudara-saudara memiliki kedamaian dan kasih serta iman daripada Tuhan, Bapa kita, dan daripada Tuan Yesus Kristus. 24  Semoga kebaikan hati Tuhan yang unggul menyertai semua orang yang mengasihi Tuan Yesus Kristus dengan kasih yang abadi.

Nota Kaki

Atau “makmur.”
Atau “arahan; bimbingan.”
Atau “peluru; damak.”
Lihat Kamus, “Bercakap dengan berani.”