Surat kepada Sidang-Sidang di Galatia 1:1-24

  • Salam (1-5)

  • Tiada berita baik lain (6-9)

  • Paulus mengisytiharkan berita baik daripada Tuhan (10-12)

  • Paulus menjadi orang Kristian dan kegiatan awalnya (13-24)

1  Aku, Paulus, ialah seorang rasul yang tidak diutus atau dilantik oleh manusia. Aku dilantik oleh Yesus Kristus+ dan Tuhan, Bapa kita,+ yang telah membangkitkan Yesus daripada kematian. 2  Aku dan semua saudara yang ada bersamaku menulis surat ini kepada sidang-sidang di Galatia: 3  Semoga kamu semua dikurniai kebaikan hati yang unggul dan kedamaian daripada Tuhan, Bapa kita, dan Tuan Yesus Kristus. 4  Kristus menyerahkan dirinya untuk dosa-dosa kita+ supaya dia dapat menyelamatkan kita daripada sistem dunia* yang jahat ini.+ Hal ini selaras dengan kehendak Tuhan, Bapa kita.+ 5  Semoga Tuhan dimuliakan untuk selama-lamanya. Amin. 6  Aku sangat hairan. Tuhan sudah memanggil kamu menerusi kebaikan hati Kristus yang unggul, tetapi dengan begitu cepat kamu telah berpaling daripada-Nya lalu mendengar berita baik yang lain,+ 7  padahal tidak ada berita baik yang lain. Sebenarnya ada orang yang sedang menimbulkan masalah bagi kamu+ dan mahu memutarbelitkan berita baik tentang Kristus. 8  Namun, biarpun salah seorang daripada kami atau malaikat dari syurga mengisytiharkan kepada kamu berita baik yang berbeza daripada berita baik yang telah kami khabarkan kepada kamu, biarlah dia dikutuk. 9  Kami telah mengatakannya sebelum ini, dan sekarang aku mengatakannya sekali lagi: Jika sesiapa mengisytiharkan kepada kamu berita baik yang berbeza daripada apa yang sudah kamu terima, biarlah dia dikutuk. 10  Adakah aku sedang mencuba untuk menyenangkan hati orang atau menyenangkan hati Tuhan? Jika aku masih mencuba untuk menyenangkan hati orang, aku bukanlah hamba Kristus. 11  Saudara-saudara, aku mahu kamu tahu bahawa berita baik yang aku isytiharkan kepada kamu tidak berasal daripada manusia.+ 12  Aku tidak menerima berita baik ini daripada manusia, dan aku tidak diajar tentangnya. Sebaliknya, Yesus Kristuslah yang menyingkapkannya kepadaku. 13  Kamu tentu pernah mendengar tentang kelakuanku sebelum ini. Sebagai penganut agama Yahudi,+ aku tidak henti-henti menganiaya sidang Tuhan dengan kejam dan berusaha untuk membinasakan mereka.+ 14  Berbanding dengan ramai orang yang sebaya dan sebangsa denganku, aku membuat lebih banyak kemajuan dalam hal agama Yahudi, dan aku jauh lebih bersemangat dalam hal mengamalkan adat istiadat nenek moyangku.+ 15  Namun begitu, Tuhan yang menyebabkan aku keluar daripada rahim ibuku dan yang telah memanggil aku melalui kebaikan hati-Nya yang unggul,+ berasa senang hati 16  untuk menggunakan aku bagi menyingkapkan Anak-Nya. Dengan demikian, aku dapat mengisytiharkan berita baik tentangnya kepada bangsa-bangsa lain.+ Selepas Dia memilih aku untuk berbuat demikian, aku tidak segera meminta nasihat daripada sesiapa pun. 17  Aku juga tidak pergi ke Yerusalem untuk berjumpa dengan mereka yang telah menjadi rasul sebelum aku. Sebaliknya, aku pergi ke negeri Arab dan kemudian kembali ke Damsyik.+ 18  Tiga tahun kemudian aku pergi ke Yerusalem+ untuk melawat Kefas,*+ dan aku tinggal dengan dia selama 15 hari. 19  Tetapi aku tidak berjumpa dengan para rasul yang lain kecuali Yakobus,+ adik Tuan kita. 20  Aku bersumpah di hadapan Tuhan bahawa aku tidak berdusta tentang perkara-perkara yang aku tulis kepada kamu. 21  Setelah itu, aku pergi ke kawasan-kawasan di Siria dan Kilikia.+ 22  Tetapi sidang-sidang di Yudea yang bersatu dengan Kristus belum pernah bersemuka dengan aku. 23  Selama ini, mereka hanya mendengar orang lain berkata, “Lelaki yang dahulunya menganiaya kita,+ kini mengkhabarkan berita baik tentang kepercayaan yang hendak dimusnahkannya dahulu.”+ 24  Oleh itu, mereka mula memuliakan Tuhan kerana aku.

Nota Kaki

Atau “zaman.” Lihat Kamus, “Sistem dunia.”
Juga dipanggil Petrus.