Hagai 2:1-23

  • Rumah Tuhan yang baharu dipenuhi kemuliaan (1-9)

    • Semua bangsa digoncangkan (7)

    • Segala yang bernilai dikumpulkan (7)

  • Membina semula Rumah Tuhan membawa berkat (10-19)

    • Kesucian tidak dapat dialihkan (10-14)

  • Perkhabaran kepada Zerubabel (20-23)

    • ‘Dijadikan seperti cincin yang berharga’ (23)

2  Pada hari ke-21 bulan ketujuh, Yehuwa berfirman melalui Nabi Hagai,+ 2  “Tanyalah gabenor Yehuda,+ iaitu Zerubabel+ anak Sealtiel, dan Imam Agung Yosua+ anak Yehozadak,+ serta seluruh umat Israel, 3  ‘Adakah sesiapa dalam kalangan kamu yang masih ingat betapa mulianya Rumah-Ku yang dahulu?+ Menurut pendapat kamu, bagaimana pula keadaan Rumah-Ku yang kamu lihat sekarang? Jika dibandingkan, bukankah Rumah-Ku yang dahulu jauh lebih mulia?’+ 4  “Yehuwa berfirman, ‘Tabahkanlah hatimu, hai Zerubabel, dan tabahkanlah hatimu, hai Yosua anak Yehozadak.’ “Yehuwa berfirman lagi, ‘Tabahkanlah hati kamu, hai umat-Ku,+ dan teruskanlah pekerjaan itu.’ “‘Ketahuilah bahawa Aku menyertai kamu semua,’+ firman Yehuwa, ketua angkatan syurga. 5  ‘Ingatlah akan janji-Ku kepada kamu semasa kamu keluar dari Mesir.+ Sejak masa itu, Aku membimbing kamu dengan kuasa suci-Ku.*+ Maka janganlah berasa takut.’”+ 6  “Yehuwa, ketua angkatan syurga, berfirman, ‘Tidak lama lagi, Aku akan menggoncangkan langit, bumi, laut, dan darat sekali lagi.’+ 7  “‘Aku akan menggoncangkan semua bangsa, dan segala sesuatu yang bernilai dalam kalangan semua bangsa akan dikumpulkan.+ Aku akan memenuhi Rumah-Ku dengan kemuliaan,’+ firman Yehuwa, ketua angkatan syurga. 8  “‘Segala perak dan emas merupakan milik-Ku,’ firman Yehuwa, ketua angkatan syurga. 9  “‘Rumah-Ku yang baharu ini akan lebih mulia berbanding dengan Rumah-Ku yang dahulu,’+ firman Yehuwa, ketua angkatan syurga. “‘Aku akan mendatangkan kedamaian di tempat itu,’+ firman Yehuwa, ketua angkatan syurga.” 10  Pada hari ke-24, bulan kesembilan, dalam tahun kedua pemerintahan Raja Darius, Yehuwa berfirman melalui Nabi Hagai,+ 11  “Yehuwa, ketua angkatan syurga, berfirman, ‘Tanyalah imam-imam mengenai hukum ini:+ 12  “Jika seseorang mengambil sepotong daging yang dianggap suci, lalu meletakkannya di dalam lipatan jubahnya, kemudian jubahnya tersentuh roti atau makanan yang direbus atau wain atau minyak atau makanan apa pun, adakah semua itu akan menjadi suci?”’” Para imam menjawab, “Tidak!” 13  Kemudian Hagai bertanya, “Jika seseorang menjadi najis kerana menyentuh mayat,* lalu dia menyentuh salah satu daripada benda-benda itu, adakah benda itu akan menjadi najis?”+ Para imam menjawab, “Ya! Benda itu akan menjadi najis.” 14  Maka Hagai berkata, “Yehuwa berfirman, ‘Demikianlah keadaan umat ini di hadapan-Ku, dan demikianlah juga keadaan segala sesuatu yang diusahakan oleh mereka. Apa sahaja yang dipersembahkan oleh mereka merupakan sesuatu yang najis.’ 15  “‘Mulai hari ini segala perkara akan berubah. Maka ingatlah akan apa yang telah berlaku sebelum rumah milik Aku, Yehuwa, dibina semula.+ 16  Pada masa itu, walaupun umat ini mengharapkan 20 bakul gandum, tetapi yang diperoleh mereka hanyalah 10 bakul gandum. Walaupun mereka mengharapkan 50 botol wain, tetapi yang diperoleh mereka hanyalah 20 botol wain.+ 17  Aku mendatangkan angin panas dan kulat+ serta menurunkan hujan batu ke atas segala sesuatu yang kamu usahakan. Tetapi tiada seorang pun yang berpaling kepada-Ku,’ firman Yehuwa. 18  “‘Pada hari ini, hari ke-24, bulan kesembilan, asas rumah milik Aku, Yehuwa, selesai dibina. Maka, perhatikanlah perkara yang akan berlaku mulai hari ini.+ Fikirkanlah hal ini: 19  Masih ada benihkah di dalam gudang?+ Bukankah pokok anggur, pokok ara, pokok delima, dan pokok zaitun masih belum berbuah? Ketahuilah bahawa mulai hari ini, Aku akan memberkati kamu.’”+ 20  Pada hari ke-24 bulan kesembilan, Yehuwa berfirman lagi melalui+ Hagai, 21  “Beritahulah Zerubabel, gabenor Yehuda, ‘Aku akan menggoncangkan langit dan bumi.+ 22  Aku akan menjatuhkan takhta kerajaan dan melenyapkan kuasa kerajaan semua bangsa.+ Aku akan menunggangbalikkan kereta kuda dan penunggangnya. Semua kuda akan mati dan semua penunggang kuda akan saling membunuh dengan pedang.’”+ 23  “Yehuwa, ketua angkatan syurga, berfirman, ‘Hai hamba-Ku, Zerubabel+ anak Sealtiel,+ pada hari itu, Aku akan mengambil engkau dan menjadikan engkau seperti cincin yang berharga. Hal ini demikian kerana engkaulah yang telah Aku pilih,’ firman Yehuwa. Demikianlah perkhabaran yang disampaikan oleh Yehuwa, ketua angkatan syurga.”

Nota Kaki

Biasanya dipanggil roh kudus. Lihat Kamus. Atau mungkin, “Pada masa itu, kuasa suci-Ku berada dalam kalangan kamu.”
Lihat Kamus, “Jiwa.”