Hakim-Hakim 16:1-31

  • Simson pergi ke Gaza (1-3)

  • Simson dan Delila (4-22)

  • Simson membalas dendam; dia mati (23-31)

16  Pada suatu hari, Simson pergi ke Gaza. Di situ dia nampak seorang pelacur lalu dia masuk ke dalam rumahnya. 2  Kemudian ada orang memberitahu penduduk Gaza, “Simson sudah datang.” Maka mereka mengepung tempat itu dan menunggu untuk menyerangnya. Mereka menghendap semalaman di pintu gerbang kota tanpa bersuara kerana mereka berfikir, “Apabila hari sudah terang, kita akan bunuh dia.” 3  Tetapi Simson hanya tidur sampai tengah malam. Kemudian dia bangun lalu pergi ke pintu gerbang kota. Dia mencengkam dan mencabut pintu itu bersama dengan kedua-dua batang tiang pintu dan kayu palangnya. Setelah itu, dia memikul semuanya dan membawanya ke puncak gunung yang berhadapan dengan Hebron. 4  Selepas itu, Simson jatuh cinta dengan seorang perempuan yang bernama Delila, yang tinggal di Lembah* Sorek.+ 5  Oleh itu, para penguasa Filistin datang kepada Delila dan berkata, “Pujuklah* Simson+ supaya dia memberitahu kamu mengapa dia begitu kuat, dan bagaimana kami dapat menghilangkan kekuatannya, supaya kami dapat mengikatnya dan mengalahkannya. Jika kamu melakukannya, tiap-tiap orang daripada kami akan memberi kamu 1,100 keping wang perak.” 6  Maka Delila berkata kepada Simson, “Beritahulah aku, mengapa kamu begitu kuat? Apakah yang harus dilakukan supaya orang dapat mengikat dan mengalahkanmu?” 7  Simson menjawab, “Jika aku diikat dengan tujuh utas tali busur* yang baharu dan yang belum kering, aku akan menjadi lemah seperti orang biasa.” 8  Oleh itu para penguasa Filistin membawa tujuh utas tali busur yang baharu dan yang belum kering kepada Delila. Delila mengikat Simson dengan tali busur itu. 9  Sementara itu, orang yang ingin menangkap Simson bersembunyi di bilik yang lain. Maka Delila berseru kepada Simson, “Simson! Orang Filistin sudah datang!” Simson memutuskan tali-tali busur itu dengan mudah, seperti benang flaks* yang terkena api lalu putus.+ Mereka masih tidak mengetahui rahsia kekuatannya. 10  Delila berkata kepada Simson, “Kamu telah mempermainkan aku dan menipu aku. Sekarang, tolonglah beritahu aku apa yang harus digunakan untuk mengikat kamu.” 11  Oleh itu Simson berkata, “Jika aku diikat dengan tali baharu yang belum pernah digunakan, aku akan menjadi lemah seperti orang biasa.” 12  Delila pun mengambil tali-tali yang baharu untuk mengikatnya. Kemudian Delila berseru, “Simson! Orang Filistin sudah datang!” (Pada masa itu, orang yang ingin menangkap Simson bersembunyi di bilik yang lain.) Tetapi Simson memutuskan tali-tali yang mengikat lengannya seperti orang memutuskan benang.+ 13  Selepas itu Delila berkata kepada Simson, “Sampai sekarang kamu masih mempermainkan aku dan menipu aku.+ Beritahulah aku bagaimana kamu dapat diikat.” Simson berkata kepadanya, “Kamu perlu memintal ketujuh-tujuh tocang rambutku dengan benang daripada alat tenun.” 14  Delila pun berbuat demikian dan mengetatkan tocang-tocang yang dipintalnya itu dengan pasak. Kemudian dia berseru, “Simson! Orang Filistin sudah datang!” Simson bangun daripada tidur lalu menarik keluar pasak dan benang itu daripada rambutnya. 15  Kemudian Delila berkata kepadanya, “Mengapakah kamu kata bahawa kamu mencintai aku,+ sedangkan hatimu jauh daripadaku? Sudah tiga kali kamu mempermainkan aku, dan sampai sekarang pun kamu tidak memberitahu aku dari mana datangnya kekuatanmu yang begitu besar.”+ 16  Hari demi hari, Delila asyik merengek-rengek dan mendesaknya, sehingga Simson tidak dapat tahan lagi.+ 17  Akhirnya, Simson memberitahu Delila segala isi hatinya, “Rambutku tidak pernah dipotong kerana sejak lahir lagi, aku telah dibaktikan kepada Tuhan sebagai orang Nazir.+ Jika rambutku dipotong, kekuatanku akan hilang dan aku akan menjadi lemah seperti orang lain.” 18  Apabila Delila sedar bahawa Simson telah memberitahukan segala isi hatinya, dia segera menyuruh orang untuk memberitahu para penguasa Filistin,+ “Datanglah kali ini, kerana dia sudah memberitahu aku segala isi hatinya.” Maka para penguasa Filistin itu membawa wang lalu datang kepadanya. 19  Delila membuat Simson tidur di pangkuannya. Kemudian dia memanggil seseorang untuk memotong tujuh tocang rambut Simson. Apabila kekuatan Simson semakin hilang, Delila mula menguasainya. 20  Delila berseru, “Simson! Orang Filistin sudah datang!” Simson bangun daripada tidur dan berkata, “Aku akan keluar dan membebaskan diri seperti pada masa-masa lalu.”+ Tetapi dia tidak tahu bahawa Yehuwa sudah meninggalkannya. 21  Maka orang Filistin menangkapnya dan mencungkil kedua-dua biji matanya. Kemudian mereka membawanya ke Gaza dan merantainya dengan dua utas rantai tembaga. Dia dipaksa mengisar bijirin di dalam penjara. 22  Tetapi rambut Simson yang telah dipotong mula tumbuh semula.+ 23  Para penguasa Filistin berkumpul untuk berpesta dan mempersembahkan korban secara besar-besaran kepada Dagon,+ dewa mereka. Mereka berkata, “Dewa kita telah menyerahkan Simson, musuh kita, ke dalam tangan kita!” 24  Apabila orang ramai melihatnya,* mereka memuji dewa mereka dan berkata, “Musuh kita telah memusnahkan negeri kita dan membunuh banyak orang kita. Tetapi dewa kita telah menyerahkannya ke dalam tangan kita.”+ 25  Sementara mereka bersuka ria, mereka berkata, “Panggillah Simson untuk menghiburkan kita.” Oleh itu mereka membawa Simson keluar dari penjara untuk menghiburkan mereka. Mereka menyuruhnya berdiri di antara dua batang tiang. 26  Simson berkata kepada budak lelaki yang memegang tangannya, “Letakkanlah tanganku pada tiang-tiang yang menyokong bangunan ini. Aku hendak bersandar padanya.” 27  (Pada masa itu, bangunan tersebut penuh sesak dengan lelaki dan perempuan; semua penguasa Filistin juga berada di sana. Di bumbung bangunan itu terdapat kira-kira 3,000 orang lelaki dan perempuan. Mereka semua menonton Simson sambil memperolok-olokkannya.) 28  Simson+ berseru kepada Yehuwa, “Ya Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, tolonglah ingat akan aku. Tolonglah kuatkan aku+ untuk kali ini sahaja. Ya Tuhan, biarlah aku membalas dendam terhadap orang Filistin demi salah satu daripada dua biji mataku.”+ 29  Selepas itu Simson memegang kedua-dua batang tiang yang menyokong bangunan itu. Sambil meletakkan tangan kirinya pada tiang yang satu dan tangan kanannya pada tiang yang lain, 30  Simson berseru, “Biarlah aku mati bersama-sama orang Filistin!” Kemudian dia menolak tiang-tiang itu dengan sekuat tenaganya, lalu bangunan itu roboh dan menimpa para penguasa Filistin serta semua orang di situ.+ Simson telah membunuh lebih banyak orang pada masa kematiannya daripada masa dia masih hidup.+ 31  Kemudian saudara-saudaranya dan seluruh keluarga bapanya datang untuk membawa mayatnya pulang. Mereka mengambil mayatnya dan mengebumikannya di dalam kubur milik bapanya Manoah,+ yang terletak di antara Zora+ dan Esytaol. Simson telah menjadi hakim orang Israel selama 20 tahun.+

Nota Kaki

Atau “Wadi.”
Atau “Tipulah.”
Atau “tujuh utas urat.”
Sejenis tumbuhan yang ditanam sejak masa kuno. Gentiannya digunakan untuk membuat kain linen.
Nampaknya merujuk kepada patung Dagon.