Surat kepada Orang Ibrani 12:1-29

  • Yesus, Penyempurna iman kita (1-3)

    • Banyak saksi yang bagaikan awan (1)

  • Jangan meremehkan disiplin Yehuwa (4-11)

  • Membuat jalan yang lurus bagi kaki kamu (12-17)

  • Pergi ke Yerusalem di syurga (18-29)

12  Oleh sebab kita mempunyai begitu banyak saksi yang bagaikan awan di sekeliling kita, marilah kita juga membuang segala beban dan dosa yang dapat menjerat kita dengan senang.+ Marilah kita berlari dengan tabah dalam perlumbaan yang ditetapkan di hadapan kita,+ 2  seraya kita memerhatikan Pemimpin Utama iman kita dan Penyempurna iman kita, iaitu Yesus.+ Disebabkan sukacita yang ada di hadapannya, dia tabah menanggung penderitaan pada tiang seksaan* dan tidak peduli bahawa hal itu sesuatu yang memalukan. Sekarang, dia duduk di sebelah kanan takhta Tuhan.+ 3  Dia tabah menanggung cacian orang berdosa+ yang sebenarnya sedang mengutuk diri sendiri. Sesungguhnya, perhatikanlah dia dengan cermat supaya kamu tidak menjadi letih lalu berputus asa.+ 4  Dalam pergelutan kamu untuk melawan dosa itu, kamu belum pernah bergelut sehingga mati. 5  Kamu melupakan sama sekali nasihat daripada Tuhan yang memanggil kamu sebagai anak-anak-Nya: “Hai anak-Ku, janganlah meremehkan disiplin daripada Aku, Yehuwa,* dan janganlah berputus asa semasa Aku menegur kamu, 6  kerana Aku, Yehuwa,* mendisiplinkan orang yang Aku kasihi. Sebenarnya, Aku menghukum* setiap orang yang Aku terima sebagai anak.”+ 7  Kamu perlu bertabah kerana hal itu merupakan sebahagian daripada disiplin* kamu.+ Tuhan memperlakukan kamu sebagai anak-anak-Nya, dan anak manakah yang tidak didisiplinkan oleh bapanya?+ 8  Tetapi jika kamu semua tidak menerima disiplin sebegitu, kamu sebenarnya merupakan anak-anak haram dan bukannya anak-anak yang sebenar. 9  Tambahan lagi, kita menghormati bapa kita di bumi yang sering mendisiplinkan kita. Oleh itu, tidakkah kita sepatutnya lebih rela tunduk kepada Bapa rohani kita* supaya kita dapat hidup?+ 10  Bapa kita di bumi mendisiplinkan kita untuk jangka masa yang pendek menurut apa yang dianggap baik oleh mereka. Tetapi Tuhan berbuat demikian untuk kebaikan kita supaya kita menjadi suci seperti Dia.+ 11  Memang, semasa disiplin diberikan, hal itu memedihkan hati* dan tidak membawa sukacita. Tetapi kemudian, orang yang sudah dilatih menerusi disiplin akan menuai buah kedamaian, iaitu kehidupan yang diperkenankan Tuhan. 12  Oleh itu, kuatkanlah tangan yang terkulai dan lutut yang gementar.+ 13  Teruslah membuat jalan yang lurus bagi kaki kamu,+ agar orang yang tempang tidak menjadi semakin teruk tetapi disembuhkan. 14  Berusahalah untuk berdamai dengan semua orang+ dan hiduplah dengan suci.+ Orang yang tidak suci tidak boleh melihat Tuan. 15  Berhati-hatilah supaya tidak ada seorang pun dalam kalangan kamu yang gagal untuk menerima kebaikan hati Tuhan yang unggul, dan berhati-hatilah supaya tidak ada akar beracun yang tumbuh lalu menimbulkan masalah dan mencemari ramai orang.+ 16  Berwaspadalah supaya tidak ada sesiapa pun dalam kalangan kamu yang melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral,* atau yang tidak menghargai hal-hal yang suci seperti Esau. Dia telah melepaskan haknya sebagai anak sulung hanya untuk mendapatkan sedikit makanan.+ 17  Kamu tahu bahawa pada kemudian hari Esau ingin mewarisi berkat itu, tetapi dia ditolak. Meskipun dengan tangisan+ dia mencuba sedaya upaya untuk mengubah fikiran bapanya, dia gagal berbuat demikian. 18  Kamu bukannya pergi ke sebuah gunung yang dapat disentuh+ dan yang bernyala-nyala dengan api.+ Di situ ada awan yang hitam, kegelapan yang pekat, dan ribut yang kencang.+ 19  Di situ juga ada bunyi trompet+ yang kuat dan suara yang bercakap.+ Selepas orang ramai mendengar suara itu, mereka merayu agar suara itu tidak bercakap lagi kepada mereka.+ 20  Hal ini demikian kerana mereka sudah berasa takut selepas mendengar perintah berikut: “Jika seekor binatang menyentuh gunung ini, binatang itu mesti direjam.”+ 21  Apa yang dilihat begitu menakutkan sehingga Musa berkata, “Aku takut dan gementar.”+ 22  Tetapi kamu sudah pergi ke Gunung Sion+ dan ke kota Tuhan yang hidup, iaitu Yerusalem di syurga.+ Di situ ada banyak* malaikat 23  yang berhimpun,+ ada sidang anak-anak sulung Tuhan yang telah didaftarkan di syurga, dan ada Tuhan, iaitu Hakim kepada semua.+ Di situ juga ada kehidupan rohani+ yang dimiliki orang baik yang telah disempurnakan,+ 24  ada Yesus, iaitu perantara+ bagi perjanjian baharu,+ dan ada darah yang dipercikkan, yang lebih baik daripada darah Habel.+ 25  Pastikan bahawa kamu mendengarkan* Dia yang berfirman. Orang pada masa dahulu yang enggan mendengarkan Tuhan dan amaran yang disampaikan-Nya di bumi tidak dapat melepaskan diri daripada hukuman. Jika begitu, dapatkah kita melepaskan diri daripada hukuman jika kita berpaling daripada Dia yang berfirman dari syurga?+ 26  Pada masa itu, suara-Nya menggoncangkan bumi.+ Tetapi sekarang Dia telah berjanji, “Sekali lagi Aku akan menggoncangkan bumi, dan bukan bumi sahaja tetapi langit juga.”+ 27  Ungkapan “sekali lagi” menunjukkan bahawa perkara-perkara yang dapat digoncangkan, iaitu perkara-perkara yang tidak dibuat oleh Tuhan, akan disingkirkan supaya perkara-perkara yang tidak dapat digoncangkan akan tetap ada. 28  Maka, memandangkan kita akan menerima sebuah Kerajaan yang tidak dapat digoncangkan, marilah kita terus menerima kebaikan hati yang unggul, yang membolehkan kita menjalankan khidmat suci kepada Tuhan dengan rasa takut dan hormat menurut cara yang diperkenankan-Nya. 29  Sebenarnya Tuhan kita adalah seperti api yang memusnahkan.+

Nota Kaki

Lihat Kamus.
Atau “mencambuk.”
Atau “latihan.”
Atau “Bapa kehidupan rohani kita.”
Atau “mendukacitakan.”
Lihat Kamus.
Atau “berpuluh-puluh ribu.”
Atau “tidak memberikan alasan kepada; tidak mengetepikan.”