Surat kepada Orang Ibrani 4:1-16
4 Oleh itu, memandangkan Tuhan berjanji bahawa kita masih dapat menikmati hari rehat-Nya, kita patut berwaspada agar tidak ada seorang pun antara kita yang dianggap tidak layak untuk mendapat janji itu.+
2 Berita baik yang telah diisytiharkan kepada nenek moyang kita juga diisytiharkan kepada kita.+ Tetapi perkhabaran yang didengari mereka tidak mendatangkan manfaat kepada mereka, kerana mereka tidak memiliki iman yang sama dengan iman orang yang patuh.
3 Bagi kita yang beriman, kita akan menikmati hari rehat-Nya. Tetapi bagi mereka yang ingkar, Tuhan pernah berfirman, “Aku murka dan bersumpah, ‘Mereka tidak akan menikmati hari rehat-Ku.’”+ Tuhan berfirman demikian walaupun kerja-Nya sudah selesai sejak dunia diasaskan.*+
4 Dalam salah satu ayat, Dia berfirman tentang hari ketujuh seperti berikut: “Tuhan berehat daripada semua kerja-Nya pada hari ketujuh.”+
5 Dia berfirman lagi, “Mereka tidak akan menikmati hari rehat-Ku.”+
6 Mereka yang mula-mula mendengar berita baik yang diisytiharkan tidak dapat menikmati hari rehat Tuhan kerana mereka ingkar.+ Namun demikian, sesetengah orang masih dapat menikmati hari rehat Tuhan.
7 Itulah sebabnya setelah sekian lama, Tuhan berfirman dalam mazmur Daud, seperti yang pernah dinyatakan dalam surat ini, “Hari ini, jika kamu mendengar suara-Ku, janganlah keraskan hati kamu.” Dengan demikian, sekali lagi, Dia menetapkan satu hari yang disebut “Hari Ini.”+
8 Sekiranya Yosua+ sudah memimpin mereka ke suatu tempat rehat, maka Tuhan tidak perlu lagi menyebut tentang suatu hari yang lain.
9 Oleh itu, umat Tuhan masih berpeluang menikmati hari rehat seperti hari Sabat.+
10 Hal itu demikian kerana sesiapa yang menikmati hari rehat Tuhan telah berehat daripada kerja sendiri, sebagaimana Tuhan sudah berehat daripada kerja-Nya.+
11 Oleh itu, marilah kita berusaha sedaya upaya untuk menikmati hari rehat itu, agar tidak ada seorang pun yang menjadi ingkar seperti mereka.+
12 Firman Tuhan itu hidup, berkuasa,+ dan lebih tajam daripada mana-mana pedang bermata dua.+ Firman Tuhan dapat menusuk dan memisahkan rupa luar seseorang daripada apa yang ada dalam hatinya. Firman Tuhan juga dapat menusuk dan memisahkan sendi-sendi daripada tulang sumsum, dan dapat menilai fikiran dan niat hati seseorang.
13 Tidak ada satu ciptaan pun yang tersembunyi daripada pandangan Tuhan.+ Segala sesuatu jelas kelihatan dan terdedah di mata-Nya, dan kita mesti memberikan pertanggungjawaban kepada-Nya.+
14 Memandangkan kita mempunyai seorang imam agung yang mulia, yang sudah pergi ke syurga, iaitu Yesus, Anak Tuhan,+ marilah kita terus mengisytiharkan bahawa kita beriman kepadanya.+
15 Hal itu demikian kerana imam agung kita bukanlah imam agung yang tidak dapat bersimpati terhadap kelemahan kita.+ Sebaliknya kita mempunyai imam agung yang telah diuji dalam segala hal seperti kita, tetapi dia tidak mempunyai dosa.+
16 Oleh itu, marilah kita menghadap takhta Tuhan, iaitu Dia yang mengurniakan kebaikan hati yang unggul, dan berdoa kepada-Nya dengan berani.*+ Dengan demikian, kita dapat menerima belas kasihan dan kebaikan hati yang unggul semasa kita memerlukan bantuan.
Nota Kaki
^ Iaitu, sejak anak-anak Adam dan Hawa dilahirkan.