Imamat 18:1-30
18 Yehuwa berfirman kepada Musa,
2 “Beritahulah umat Israel, ‘Akulah Yehuwa, Tuhan kamu.+
3 Jangan ikut perbuatan orang di Mesir, tempat kamu tinggal dahulu. Jangan ikut perbuatan orang di Kanaan, tempat Aku sedang membawa kamu.+ Jangan ikut amalan-amalan mereka.
4 Patuhilah ketetapan-Ku dan hiduplah menurut perintah-Ku.+ Akulah Yehuwa, Tuhan kamu.
5 Turutilah semua ketetapan dan perintah-Ku. Hal ini demikian kerana sesiapa yang melakukannya akan hidup.+ Akulah Yehuwa.
6 “‘Jangan mengadakan hubungan seks dengan saudara-mara kamu.+ Akulah Yehuwa.
7 Jangan mengadakan hubungan seks dengan bapa kamu. Jangan mengadakan hubungan seks dengan ibu kamu, kerana dia ialah ibu kamu.
8 “‘Jangan mengadakan hubungan seks dengan isteri bapa kamu,+ kerana perbuatan itu menghina bapa kamu.
9 “‘Jangan mengadakan hubungan seks dengan saudara perempuan kamu, sama ada anak perempuan bapa kamu atau anak perempuan ibu kamu, tidak kira dia lahir dalam rumah tangga yang sama atau tidak.+
10 “‘Jangan mengadakan hubungan seks dengan cucu perempuan kamu, kerana perbuatan itu menghina diri kamu sendiri.
11 “‘Jangan mengadakan hubungan seks dengan anak perempuan isteri bapa kamu. Hal ini demikian kerana dia ialah anak bapa kamu dan saudara kamu.
12 “‘Jangan mengadakan hubungan seks dengan saudara perempuan bapa kamu, kerana dia ialah saudara kandung bapa kamu.+
13 “‘Jangan mengadakan hubungan seks dengan saudara perempuan ibu kamu, kerana dia ialah saudara kandung ibu kamu.
14 “‘Jangan menghina saudara bapa kamu dengan mengadakan hubungan seks dengan isterinya. Hal ini demikian kerana isterinya ialah saudara kamu.+
15 “‘Jangan mengadakan hubungan seks dengan menantu perempuan kamu,+ kerana dia ialah isteri anak lelaki kamu.
16 “‘Jangan mengadakan hubungan seks dengan isteri saudara lelaki kamu,+ kerana perbuatan itu menghina saudara lelaki kamu.
17 “‘Jangan mengadakan hubungan seks dengan anak perempuan kepada wanita yang kamu kahwini.+ Jangan mengahwini dan mengadakan hubungan seks dengan cucu perempuan wanita itu, kerana dia ialah saudara dekat wanita itu. Perbuatan itu sangat memalukan.
18 “‘Jangan mengahwini saudara perempuan isteri kamu sebagai isteri kedua+ lalu mengadakan hubungan seks dengannya semasa isteri kamu masih hidup.
19 “‘Jangan mengadakan hubungan seks dengan wanita yang datang haid, kerana dia berada dalam keadaan yang najis.+
20 “‘Jangan mengadakan hubungan seks dengan isteri orang lain, kerana perbuatan itu akan menjadikan kamu najis.+
21 “‘Jangan menyerahkan salah seorang anak kamu untuk dipersembahkan kepada Dewa Molekh.+ Jangan menghina nama-Ku dengan perbuatan itu.+ Akulah Yehuwa.
22 “‘Jangan meniduri seorang lelaki sama seperti kamu meniduri seorang wanita.+ Perbuatan itu sangat menjijikkan.
23 “‘Baik lelaki mahupun perempuan tidak boleh mengadakan hubungan seks dengan binatang,+ kerana perbuatan itu melanggar hukum alam dan akan menajiskan kamu.
24 “‘Jangan menajiskan diri kamu dengan perbuatan-perbuatan itu. Bangsa-bangsa lain telah menajiskan diri mereka dengan perbuatan-perbuatan sedemikian. Itulah sebabnya Aku akan mengusir mereka dari hadapan kamu.+
25 Perbuatan mereka menajiskan seluruh negeri itu. Maka Aku akan menghukum penduduk negeri itu atas kesalahan mereka dan mengusir mereka dari situ.+
26 Kamu semua mesti mematuhi ketetapan dan perintah-Ku.+ Kamu dan orang asing yang tinggal dalam kalangan kamu tidak boleh melakukan perkara-perkara yang keji itu.+
27 Semua perbuatan yang keji itu dilakukan oleh bangsa-bangsa yang tinggal di negeri itu sebelum kamu.+ Maka sekarang negeri itu sudah menjadi najis.
28 Tetapi memandangkan kamu tidak mencemari negeri itu, kamu tidak akan diusir dari situ sebagaimana bangsa-bangsa yang tinggal di situ akan diusir.
29 Jika ada sesiapa yang melakukan perbuatan-perbuatan keji itu, orang itu mesti dihukum mati.
30 Kamu mesti mematuhi semua perintah-Ku. Jangan ikut amalan-amalan keji yang dilakukan oleh bangsa-bangsa yang tinggal di negeri itu sebelum kamu.+ Dengan demikian kamu tidak akan menjadi najis. Akulah Yehuwa, Tuhan kamu.’”