Imamat 24:1-23
24 Yehuwa berfirman kepada Musa,
2 “Suruhlah umat Israel untuk membawa minyak zaitun tulen bagi pelita supaya pelita-pelita itu sentiasa bernyala.+
3 Harun mesti menyalakan pelita-pelita di luar tirai pemisah yang berhampiran dengan tabut. Semua pelita di dalam khemah pertemuan itu harus tetap bernyala di hadapan Aku, Yehuwa, dari petang sampai pagi. Perintah ini mesti sentiasa dipatuhi secara turun-temurun.
4 Harun mesti memastikan agar pelita-pelita yang diletakkan di atas kaki pelita+ emas sentiasa bernyala di hadapan Aku, Yehuwa.
5 “Ambillah tepung gandum yang terbaik dan buatlah 12 ketul roti yang berbentuk gelang. Setiap ketul roti itu mesti dibuat daripada dua persepuluh efa* tepung.
6 Letakkanlah roti-roti itu di atas meja yang disaluti emas tulen,+ yang terletak di hadapan Aku, Yehuwa. Letakkanlah roti-roti itu dalam dua bahagian dan susunkannya secara berlapis-lapis, iaitu enam ketul pada setiap bahagian.+
7 Bubuhlah kemenyan putih yang tulen pada bahagian atas setiap longgokan roti itu. Kemudian bakarlah kemenyan putih itu sebagai tanda bahawa semua roti itu sudah dipersembahkan kepada Aku, Yehuwa.+
8 Pada setiap hari Sabat, roti-roti mesti diletakkan di hadapan Aku, Yehuwa.+ Hal ini merupakan suatu perjanjian yang kekal antara Aku dengan umat Israel.
9 Roti itu akan menjadi milik Harun dan anak-anak lelakinya.+ Mereka harus memakan roti itu di tempat yang suci,+ kerana roti itu diambil daripada korban yang dibakar untuk Aku, Yehuwa. Roti itu merupakan sesuatu yang sangat suci. Mereka haruslah sentiasa mematuhi perintah ini.”
10 Di perkhemahan orang Israel, ada seorang lelaki yang ibunya berbangsa Israel dan bapanya berbangsa Mesir.+ Lelaki itu telah bergaduh dengan seorang lelaki Israel.
11 Semasa mereka bergaduh, dia mengutuk Tuhan dan menghina nama-Nya.+ Maka dia dibawa menghadap Musa.+ (Ibu lelaki itu bernama Selomit. Dia ialah anak perempuan Dibri daripada suku Dan.)
12 Orang Israel menahan lelaki itu sementara mereka menanti keputusan Yehuwa tentang apa yang harus dilakukan terhadapnya.+
13 Kemudian Yehuwa berfirman kepada Musa,
14 “Bawalah orang yang mengutuk Aku itu ke luar perkhemahan. Setiap orang yang mendengarnya mengutuk Aku mesti meletakkan tangan mereka di atas kepalanya. Selepas itu, semua orang mesti merejamnya sampai mati.+
15 Beritahulah umat Israel, ‘Sesiapa yang mengutuk Tuhan telah berdosa dan mesti menanggung akibatnya.
16 Orang itu mesti dihukum mati kerana dia telah menghina nama-Ku, iaitu Yehuwa.+ Seluruh umat Israel mesti merejam orang itu. Orang Israel atau orang asing yang menghina nama-Ku mesti dihukum mati.
17 “‘Sesiapa yang membunuh orang mesti dihukum mati.+
18 Sesiapa yang membunuh binatang ternakan orang lain mesti mengganti binatang orang itu. Hal ini demikian kerana nyawa harus diganti dengan nyawa.
19 Apabila seseorang mencederakan orang lain, apa sahaja yang sudah dilakukannya harus juga dilakukan terhadapnya.+
20 Hal ini demikian kerana tulang harus diganti dengan tulang, mata harus diganti dengan mata, dan gigi harus diganti dengan gigi. Ya, apa sahaja yang dilakukan seseorang sehingga mencederakan orang lain, mesti juga dilakukan terhadapnya.+
21 Sesiapa yang membunuh binatang mesti mengganti binatang itu,+ tetapi sesiapa yang membunuh orang mesti dihukum mati.+
22 “‘Hukum yang sama berlaku untuk kamu semua, baik orang Israel mahupun orang asing,+ kerana Akulah Yehuwa, Tuhan kamu.’”
23 Kemudian Musa menyampaikan firman itu kepada umat Israel dan mereka pun membawa orang yang telah mengutuk Tuhan itu ke luar perkhemahan. Setelah itu, mereka semua merejamnya sampai mati.+ Dengan demikian, umat Israel melakukan segala yang telah diperintahkan oleh Yehuwa kepada Musa.
Nota Kaki
^ Dua persepuluh efa = 4.4 L.