Imamat 25:1-55
25 Yehuwa berfirman kepada Musa di Gunung Sinai,
2 “Beritahulah orang Israel, ‘Apabila kamu masuk ke tanah yang akan Aku berikan kepada kamu,+ kamu mesti mematuhi hukum Sabat+ yang Aku, Yehuwa, berikan kepada kamu, dan kamu tidak boleh mengusahakan tanah.
3 Selama enam tahun kamu boleh bercucuk tanam, memangkas pokok anggur, dan mengumpulkan hasil di ladang kamu.+
4 Tetapi pada tahun ketujuh, kamu tidak boleh bercucuk tanam dan tidak boleh memangkas pokok anggur kamu. Tanah itu tidak boleh diusahakan kerana tahun itu ialah tahun Sabat untuk Aku, Yehuwa.
5 Jangan tuai hasil daripada biji-bijian yang tumbuh dengan sendirinya selepas musim menuai, dan jangan kumpul buah anggur daripada pokok anggur yang tidak dipangkas. Pada tahun itu, tanah tidak boleh diusahakan.
6 Namun, hasil tanah yang tumbuh dengan sendirinya semasa tahun Sabat boleh dijadikan makanan kamu, hamba lelaki kamu, hamba perempuan kamu, pekerja upahan kamu, penduduk sementara yang tinggal dalam kalangan kamu,
7 binatang ternakan kamu, dan binatang liar di negeri kamu. Semua yang dihasilkan tanah itu boleh dimakan.
8 “‘Hitunglah tujuh tahun Sabat, iaitu tujuh tahun kali tujuh. Maka, jumlahnya ialah 49 tahun.
9 Pada hari ke-10 bulan ketujuh, iaitu pada Hari Pengampunan Dosa,+ kamu mesti meniup trompet dengan kuat. Bunyi trompet itu mesti kedengaran di seluruh negeri kamu.
10 Tahun yang ke-50 itu merupakan tahun yang suci dan kamu mesti mengisytiharkan kebebasan kepada semua penduduk di negeri kamu.+ Tahun itu ialah Tahun Pembebasan bagi kamu. Semua orang harus mendapat kembali harta miliknya yang sudah dijual dan sesiapa yang sudah dijual sebagai hamba harus kembali kepada keluarganya.+
11 Tahun ke-50 ialah Tahun Pembebasan bagi kamu. Jangan bercucuk tanam, jangan tuai hasil daripada biji-bijian yang tumbuh dengan sendirinya, dan jangan kumpul buah anggur daripada pokok anggur yang tidak dipangkas.+
12 Hal ini demikian kerana tahun itu ialah Tahun Pembebasan dan tahun yang suci bagi kamu. Kamu hanya boleh memakan hasil tanaman yang tumbuh dengan sendirinya.*+
13 “‘Pada Tahun Pembebasan, semua orang harus mendapat kembali harta miliknya yang sudah dijual.+
14 Jangan ambil kesempatan terhadap orang lain semasa kamu menjual sesuatu kepada mereka atau membeli sesuatu daripada mereka.+
15 Semasa membeli tanah daripada orang lain, harga tanah itu mesti ditentukan menurut jumlah tahun yang tinggal untuk menuai hasil daripada tanah itu, sebelum Tahun Pembebasan yang akan datang.+
16 Jika masih lama lagi, tanah itu boleh dijual dengan harga yang lebih tinggi. Tetapi jika tinggal beberapa tahun sahaja, tanah itu mesti dijual dengan harga yang lebih rendah, kerana yang dijual itu ialah jumlah hasil tanah itu.
17 Jangan ambil kesempatan terhadap orang lain.+ Takutlah akan Aku, Yehuwa,+ kerana Akulah Tuhan kamu.+
18 Patuhilah semua ketetapan dan perintah-Ku supaya kamu hidup dengan tenteram di negeri itu.+
19 Tanah akan mengeluarkan hasilnya+ dan kamu akan menikmati hasilnya sampai puas. Kamu akan hidup dengan tenteram di negeri itu.+
20 “‘Tetapi mungkin ada orang yang akan bertanya, “Apakah yang akan kami makan pada tahun ketujuh jika kami tidak bercucuk tanam atau mengumpulkan hasil tanaman?”+
21 Janganlah khuatir kerana Aku akan memberkati tanah itu pada tahun keenam, sehingga tanah itu mengeluarkan hasil yang cukup untuk tiga tahun.+
22 Pada tahun kelapan, kamu akan mula bercucuk tanam lagi. Sementara itu, kamu akan makan hasil tanaman yang telah dikumpulkan sebelum itu. Kamu akan mempunyai makanan yang mencukupi sehingga tibanya masa untuk menuai hasil tanaman pada tahun kesembilan.
23 “‘Tanah kamu tidak boleh dijual kepada orang lain untuk selamanya.+ Hal ini demikian kerana tanah itu ialah milik-Ku,+ dan kamu seperti orang asing dan penduduk sementara di mata-Ku.+
24 Di seluruh negeri kamu, semua orang harus diberi hak untuk menebus tanah yang telah dijualnya.
25 “‘Jika saudara kamu jatuh miskin dan terpaksa menjual tanahnya, sanak saudaranya yang terdekat mesti menebus tanah yang dijualnya itu.+
26 Seseorang yang tidak mempunyai sanak saudara untuk menebus tanahnya mungkin menjadi kaya dan mampu menebus tanahnya pada kemudian hari.
27 Jika demikian, dia mesti mengira nilai hasil tanaman yang telah diperoleh sejak tanah itu dijual. Kemudian, nilai itu ditolak daripada harga jualan yang asal, dan bakinya merupakan harga yang harus dibayar kepada orang yang telah membeli tanahnya. Dengan demikian, dia akan mendapat kembali tanahnya.+
28 “‘Tetapi jika dia tidak mampu menebusnya, tanah itu akan tetap menjadi milik pembeli sehingga Tahun Pembebasan.+ Pada tahun itu, tanah tersebut akan dikembalikan kepada pemilik asalnya dan menjadi miliknya semula.+
29 “‘Jika seseorang menjual sebuah rumah di dalam kota yang bertembok, dia berhak menebus rumahnya+ dalam jangka masa satu tahun, bermula dari tarikh penjualan rumah itu.
30 Namun jika dia tidak menebus rumah itu dalam jangka masa satu tahun, rumah itu akan menjadi milik tetap pembeli itu dan keturunannya. Rumah itu tidak akan dikembalikan kepada pemilik asal pada Tahun Pembebasan.
31 Tetapi rumah di kawasan yang tidak bertembok harus dianggap sebagai sebahagian daripada ladang desa. Maka, pemilik asal akan sentiasa berhak menebusnya, dan rumah itu harus dikembalikan kepadanya pada Tahun Pembebasan.
32 “‘Orang Lewi sentiasa berhak untuk menebus rumah mereka yang terletak di dalam kota-kota+ yang telah diberikan kepada mereka.
33 Jika seorang Lewi tidak menebus rumahnya yang telah dijual, rumah itu harus dikembalikan kepadanya pada Tahun Pembebasan.+ Hal ini demikian kerana rumah yang dimiliki orang Lewi di kota-kota itu merupakan milik tetap mereka dalam kalangan umat Israel.+
34 Padang rumput+ di sekitar kota-kota orang Lewi tidak boleh dijual kerana padang rumput itu merupakan milik tetap mereka.
35 “‘Jika seorang saudara kamu jatuh miskin dan tidak mampu menyara hidupnya, kamu mesti membantunya+ sebagaimana kamu membantu orang asing atau penduduk sementara.+ Dengan demikian, dia dapat terus tinggal dalam kalangan kamu.
36 Jangan menuntut faedah semasa memberikan pinjaman kepadanya.+ Dengan demikian, dia dapat terus tinggal dalam kalangan kamu. Takutlah akan Aku kerana Akulah Tuhan kamu.+
37 Jangan menuntut faedah atas wang yang dipinjamkan kepadanya.+ Jangan mengaut keuntungan daripada makanan yang diberikan kepadanya.
38 Akulah Yehuwa, Tuhan kamu. Aku telah membawa kamu keluar dari Mesir+ untuk memberikan tanah Kanaan kepada kamu. Aku berbuat demikian supaya Aku dapat menjadi Tuhan kamu.+
39 “‘Jika saudara yang tinggal dalam kalangan kamu jatuh miskin lalu terpaksa menjual dirinya kepada kamu,+ jangan menyuruhnya melakukan pekerjaan seorang hamba abdi.+
40 Kamu mesti memperlakukannya sebagaimana kamu memperlakukan pekerja upahan+ atau penduduk sementara. Dia harus bekerja untuk kamu sehingga Tahun Pembebasan yang akan datang.
41 Pada tahun itu, dia dan anak-anaknya akan meninggalkan kamu lalu pulang kepada keluarganya sendiri dan ke tanah milik nenek moyangnya.+
42 Umat Israel ialah hamba-Ku dan Aku sudah membawa mereka keluar dari Mesir.+ Itulah sebabnya mereka tidak boleh dijual sebagai hamba abdi.
43 Jangan menindas saudara kamu.+ Takutlah akan Aku kerana Akulah Tuhan kamu.+
44 Jika kamu memerlukan seorang hamba lelaki atau hamba perempuan, kamu boleh membelinya daripada bangsa-bangsa yang tinggal di sekitar kamu.
45 Kamu boleh membeli anak-anak orang asing yang datang lalu tinggal dalam kalangan kamu.+ Anak-anak mereka yang lahir di negeri kamu juga boleh dibeli sebagai hamba dan mereka akan menjadi milik kamu.
46 Kamu boleh menyerahkan hamba-hamba ini kepada anak-anak lelaki kamu sebagai warisan mereka. Hamba-hamba ini akan bekerja untuk mereka seumur hidup. Kamu tidak boleh menindas saudara kamu.+
47 “‘Jika seorang penduduk sementara atau orang asing dalam kalangan kamu menjadi kaya, sedangkan saudara kamu jatuh miskin dan dia terpaksa menjual dirinya kepada orang asing atau penduduk sementara itu, atau kepada salah seorang anggota keluarga mereka,
48 saudara kamu itu tetap mempunyai hak untuk ditebus.+ Salah seorang saudara lelakinya,
49 bapa saudaranya, sepupu lelakinya, atau salah seorang sanak saudaranya yang dekat boleh menebusnya. Ya, salah seorang keluarganya boleh menebusnya.
“‘Jika dia menjadi kaya pada kemudian hari, dia juga boleh menebus dirinya sendiri.+
50 Untuk berbuat demikian, dia mesti berjumpa dengan orang yang membelinya. Harga penjualannya telah ditentukan berdasarkan jumlah tahun+ dia menjual dirinya sebagai hamba sehingga Tahun Pembebasan+ yang akan datang dan mengikut kadar gaji seorang pekerja upahan.+
51 Harga tebusannya pula akan dikira berdasarkan jumlah baki tahun yang tinggal sehingga Tahun Pembebasan. Jika baki tahunnya banyak, harganya lebih tinggi.
52 Tetapi jika baki tahunnya tinggal sedikit, harganya juga rendah.
53 Selama dia bekerja untuk tuannya, dia harus diperlakukan seperti pekerja upahan dan dia tidak boleh ditindas.+
54 Tetapi jika dia tidak dapat menebus dirinya dengan salah satu cara tersebut, dia dan anak-anaknya mesti dibebaskan pada Tahun Pembebasan.+
55 “‘Umat Israel merupakan hamba-Ku kerana Aku sudah membawa mereka keluar dari Mesir.+ Akulah Yehuwa, Tuhan kamu.
Nota Kaki
^ Tanah tidak akan diusahakan seperti yang biasa dilakukan, namun orang boleh mengumpulkan hasil sebegini jika perlu.