Imamat 26:1-46
26 “‘Jangan membuat tuhan-tuhan palsu+ dan patung berhala+ kerana benda-benda itu tidak berguna. Jangan membuat tugu-tugu suci,* atau batu berukir+ di negeri kamu. Jangan menyembah atau bersujud kepada benda-benda itu,+ kerana Akulah Yehuwa, Tuhan kamu.
2 Kamu mesti mematuhi hukum-Ku untuk menyambut hari Sabat. Kamu mesti menghormati tempat suci-Ku. Akulah Yehuwa.
3 “‘Jika kamu mematuhi hukum-Ku dan hidup menurut perintah-Ku,+
4 Aku akan menurunkan hujan pada waktunya+ supaya tanah dapat mengeluarkan hasilnya+ dan pokok-pokok di ladang akan berbuah.
5 Hasil tuaian kamu akan menjadi begitu banyak sehingga kamu masih mengirik* biji-bijian apabila tiba masanya memetik buah anggur, dan kamu masih memetik buah anggur apabila tiba masanya menabur benih. Kamu akan menikmati makanan sampai puas, dan kamu akan hidup tenteram di negeri kamu.+
6 Aku akan mendatangkan keamanan di negeri kamu+ sehingga kamu dapat tidur tanpa berasa takut terhadap sesiapa pun.+ Aku akan melenyapkan binatang buas di negeri kamu, dan tiada sesiapa pun yang akan menyerang kamu.
7 Kamu pasti akan mengejar dan mengalahkan semua musuh kamu.
8 Dengan 5 orang, kamu akan mengejar 100 orang, dan dengan 100 orang, kamu akan mengejar 10,000 orang. Ya, kamu akan mengalahkan semua musuh kamu.+
9 “‘Aku akan memberkati kamu. Aku akan melipatgandakan keturunan kamu dan memberi kamu banyak anak cucu.+ Aku akan melaksanakan perjanjian yang telah Aku buat dengan kamu.+
10 Kamu akan mengumpulkan hasil tuaian yang sangat banyak sehingga cukup untuk tahun yang seterusnya. Hasil itu begitu banyak sehingga kamu harus membuang sisa tuaian yang lama supaya dapat menyimpan hasil tuaian yang baharu.
11 Aku akan menempatkan khemah suci-Ku dalam kalangan kamu,+ dan Aku tidak akan menolak kamu.
12 Aku akan menyertai kamu. Aku akan menjadi Tuhan kamu+ dan kamu akan menjadi umat-Ku.+
13 Akulah Yehuwa, Tuhan kamu, yang membawa kamu keluar dari Mesir, supaya kamu tidak lagi menjadi hamba. Aku telah mematahkan kuk* perhambaan kamu supaya kamu dapat berjalan dengan penuh keyakinan.
14 “‘Namun, jika kamu tidak mendengarkan firman-Ku dan tidak mematuhi semua hukum-Ku,+
15 dan jika kamu menolak perintah-Ku+ dan membenci ketetapan-Ku, serta melanggar hukum-Ku dan tidak menepati perjanjian antara Aku dengan kamu,+
16 Aku akan menghukum kamu dengan banyak kesusahan. Aku akan menimpakan batuk kering dan demam panas kepada kamu. Penglihatan kamu akan menjadi kabur dan kamu akan menjadi lemah. Kamu akan menabur benih dengan sia-sia, kerana musuh kamu akan memakan hasilnya.+
17 Aku akan menentang kamu, dan kamu akan dikalahkan oleh musuh kamu.+ Semua orang yang membenci kamu akan menindas kamu,+ dan kamu akan melarikan diri walaupun tiada orang yang mengejar kamu.+
18 “‘Jika kamu masih enggan mendengarkan Aku setelah mengalami semua hukuman itu, Aku akan menghukum kamu dengan lebih berat kerana kamu telah berdosa.
19 Aku akan menghancurkan keangkuhan dan kedegilan kamu. Aku akan menyebabkan langit kamu menjadi seperti besi+ dan tanah kamu menjadi seperti tembaga.*
20 Segala jerih payah kamu sia-sia sahaja, kerana tanah tidak akan mengeluarkan hasil+ dan pokok-pokok tidak akan berbuah.
21 “‘Tetapi jika kamu masih melawan Aku dan tidak mahu mendengarkan firman-Ku, Aku akan menghukum kamu dengan lebih berat lagi setimpal dengan dosa kamu.
22 Aku akan melepaskan binatang buas ke tengah-tengah kamu.+ Binatang-binatang itu akan membunuh anak-anak kamu+ dan memusnahkan ternakan kamu, sehingga semua jalan kamu menjadi sunyi+ dan bilangan kamu menjadi sedikit.
23 “‘Jika kamu enggan menerima teguran-Ku+ dan masih ingin menentang Aku,
24 Aku juga akan menentang kamu dan menghukum kamu dengan seberat-beratnya, kerana kamu memang berdosa.
25 Sebagai hukuman, Aku akan menyebabkan musuh menyerang kamu. Hal ini demikian kerana kamu telah memungkiri perjanjian+ antara Aku dengan kamu. Apabila kamu mencari perlindungan di dalam kota-kota kamu, Aku akan mendatangkan wabak penyakit kepada kamu.+ Aku akan menyerahkan kamu ke dalam tangan musuh.+
26 Bekalan makanan+ kamu akan menjadi begitu sedikit sehingga 10 orang wanita hanya memerlukan sebuah ketuhar untuk membakar roti. Roti itu akan ditimbang lalu dibahagi-bahagikan.+ Kamu akan memakannya tetapi tidak akan menjadi kenyang.+
27 “‘Namun jika kamu masih tidak mahu mentaati-Ku dan tetap ingin melawan Aku selepas segala ini telah berlaku,
28 Aku akan menentang kamu dengan lebih dahsyat lagi+ dan menjatuhkan hukuman yang berat sekali kepada kamu, kerana kamu telah berdosa.
29 Kamu akan menjadi begitu lapar sehingga terpaksa memakan daging anak-anak lelaki dan anak-anak perempuan kamu sendiri.+
30 Aku akan memusnahkan tempat-tempat pemujaan*+ kamu. Aku akan merobohkan mazbah-mazbah yang kamu gunakan untuk membakar kemenyan. Aku akan melemparkan mayat kamu ke atas berhala-berhala kamu yang tidak bernyawa dan menjijikkan*+ itu. Aku benar-benar akan berasa muak terhadap kamu.+
31 Aku akan menghancurkan kota-kota+ dan tempat-tempat suci kamu. Bau daripada korban yang kamu persembahkan tidak lagi menyenangkan hati-Ku.
32 Aku akan menyebabkan negeri kamu terbiar+ sehingga musuh yang akan menduduki negeri itu terperanjat+ semasa mereka melihat keadaan negeri itu.
33 Aku akan mencerai-beraikan kamu antara bangsa-bangsa lain.+ Aku akan menyebabkan musuh menyerang kamu+ sehingga negeri dan kota-kota kamu menjadi terlantar dan terbiar.+
34 “‘Pada masa itu, sementara kamu berada dalam pembuangan di negeri musuh, negeri kamu akan menjadi terlantar dan dibiarkan berehat. Hal ini demikian kerana tanah kamu tidak dibiarkan berehat dan tetap diusahakan pada tahun Sabat.+
35 Maka tanah kamu yang terlantar itu harus dibiarkan berehat kerana semasa kamu tinggal di negeri itu, kamu tidak membiarkan tanah itu berehat pada tahun Sabat.
36 “‘Aku akan menyebabkan kamu yang berada di negeri musuh+ menjadi begitu takut, sehingga bunyi daun yang ditiup angin pun menyebabkan kamu lari. Kamu akan lari seolah-olah dikejar oleh musuh, dan kamu akan jatuh walaupun tidak ada sesiapa yang mengejar kamu.+
37 Kamu akan menyebabkan satu sama lain tersandung walaupun tiada sesiapa yang mengejar kamu. Kamu tidak mampu melawan musuh kamu.+
38 Banyak antara kamu yang akan mati di negeri bangsa lain,+ dan tanah di negeri musuh akan menelan kamu.
39 Kerana dosa kamu sendiri dan dosa nenek moyang kamu,+ orang lain yang masih hidup dalam kalangan kamu akan dibiarkan merana di negeri musuh.+
40 Kemudian kamu akan mengakui dosa kamu+ dan dosa nenek moyang kamu. Mereka tidak setia kepada-Ku dan memberontak terhadap-Ku.+
41 Itulah sebabnya Aku terpaksa menentang kamu+ dan membawa kamu ke negeri musuh.+
“‘Aku berbuat demikian supaya mudah-mudahan kamu menjadi rendah hati+ dan tidak lagi berdegil. Dengan itu, kamu seolah-olah telah membayar hutang dosa kamu.
42 Sesungguhnya, Aku akan mengingati perjanjian yang Aku buat dengan Abraham,+ Ishak,+ dan Yakub.+ Aku tidak akan melupakan tanah yang Aku janjikan kepada kamu.
43 Negeri kamu akan menjadi kosong dan terlantar, seolah-olah dibiarkan berehat. Hal ini demikian kerana kamu tidak membiarkan tanah itu berehat pada tahun Sabat.+ Kamu harus menanggung akibat dosa kamu kerana kamu telah menolak perintah-Ku dan membenci ketetapan-Ku.+
44 Walaupun demikian, Aku tidak akan menolak atau meninggalkan kamu+ sehingga kamu dibinasakan sama sekali semasa kamu berada di negeri musuh. Jika Aku berbuat begitu, tindakan itu akan melanggar perjanjian+ yang Aku buat dengan kamu. Akulah Yehuwa, Tuhan kamu.
45 Aku tidak akan melupakan perjanjian yang Aku buat dengan nenek moyang kamu.+ Aku telah membawa mereka keluar dari Mesir di depan mata bangsa-bangsa lain.+ Aku berbuat demikian supaya Aku dapat menjadi Tuhan mereka. Akulah Yehuwa.’”
46 Itulah semua peraturan, perintah, dan ketetapan, yang diberikan kepada umat Israel. Yehuwa telah menyampaikan semuanya kepada Musa di atas Gunung Sinai.+
Nota Kaki
^ Proses memisahkan buah daripada tangkai.
^ Iaitu, langit tidak akan menurunkan hujan dan tanah akan menjadi kering.
^ Istilah ini dalam bahasa Ibrani mungkin berkaitan dengan istilah yang bermaksud “tahi” dan digunakan untuk menunjukkan perasaan meluat yang sangat mendalam.