Imamat 8:1-36

  • Pelantikan imam keturunan Harun (1-36)

8  Yehuwa berfirman kepada Musa, 2  “Bawalah Harun dengan anak-anak lelakinya+ dan bawalah juga pakaian suci,+ minyak suci,+ lembu jantan untuk korban dosa, dua ekor bebiri jantan, dan bakul yang mengandungi roti tidak beragi,+ 3  ke hadapan pintu masuk khemah pertemuan. Kemudian kumpulkanlah semua umat di tempat itu* juga.” 4  Musa melakukan segala yang diperintahkan oleh Yehuwa. Setelah mereka semua berkumpul, 5  Musa berkata kepada mereka, “Apa yang aku lakukan sekarang ini ialah perintah Yehuwa.” 6  Maka Musa membawa Harun dan anak-anak lelakinya ke hadapan dan melakukan upacara pembasuhan+ bagi mereka. 7  Setelah itu Musa mengenakan pakaian berikut pada Harun: Jubah yang bercorak petak,+ pengikat pinggang jubah,+ jubah yang tidak berlengan,+ dan efod.*+ Musa mengikat efod itu dengan rapi pada pinggang Harun dengan menggunakan pengikat pinggang efod.+ 8  Musa juga mengenakan penutup dada+ pada Harun lalu memasukkan Urim dan Tumim*+ ke dalam penutup dada itu. 9  Kemudian Musa mengikatkan serban+ pada kepala Harun. Dia juga mengikatkan kepingan emas yang berkilat sebagai tanda pembaktian suci+ pada bahagian depan serban itu. Musa melakukan semua ini seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa kepadanya. 10  Musa mengambil minyak suci lalu melumurkannya pada khemah suci dan segala yang ada di dalamnya,+ supaya semua itu dikhaskan sebagai sesuatu yang sangat suci. 11  Kemudian dia mengambil sebahagian daripada minyak suci itu lalu memercikkannya sebanyak tujuh kali pada mazbah serta segala peralatannya, dan juga pada besen dengan kakinya, supaya semua itu dikhaskan sebagai sesuatu yang sangat suci. 12  Selepas itu, Musa menuangkan minyak suci ke atas kepala Harun. Dengan demikian, dia mengurapi Harun untuk menjalankan khidmat suci.+ 13  Musa membawa anak-anak lelaki Harun ke hadapan dan mengenakan jubah pada mereka. Dia juga melilitkan pengikat pinggang dan pengikat kepala+ pada mereka, seperti yang telah diperintahkan oleh Yehuwa kepadanya. 14  Kemudian Musa membawa lembu jantan untuk korban dosa+ ke hadapan, lalu Harun dan anak-anak lelakinya meletakkan tangan mereka di atas kepala lembu itu. 15  Musa menyembelih lembu itu dan mengambil sedikit darah+ lembu itu dengan jarinya, lalu menyapukan darah itu pada tanduk-tanduk di setiap sisi mazbah untuk menyucikannya. Dia menuangkan darah yang selebihnya di bahagian bawah mazbah untuk menyucikan mazbah supaya korban dapat dipersembahkan di atasnya. 16  Musa mengambil semua lemak yang meliputi usus lembu, lemak yang ada pada hati lembu, dan kedua-dua ginjal berserta lemaknya, lalu membakar semuanya sehingga asap naik dari mazbah.+ 17  Tetapi kulit, daging, dan tahi lembu itu, iaitu semua bahagian lain lembu jantan itu, dibakar di luar perkhemahan,+ seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa kepada Musa. 18  Selepas itu Musa membawa bebiri jantan untuk korban bakar, lalu Harun dan anak-anak lelakinya meletakkan tangan mereka di atas kepala bebiri itu.+ 19  Musa menyembelih bebiri itu dan memercikkan darahnya pada setiap sisi mazbah. 20  Kemudian dia memotong bebiri itu menjadi beberapa bahagian, lalu menyusun bahagian-bahagian itu bersama kepala dan lemaknya di atas api pada mazbah. 21  Musa mencuci usus dan betis bebiri itu dengan air lalu membakar seluruh korban itu sehingga asap naik dari mazbah. Bau daripada korban bakar itu menyenangkan hati Yehuwa. Musa mempersembahkan korban yang dibakar itu seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa kepadanya. 22  Setelah itu Musa membawa bebiri jantan yang kedua sebagai korban untuk upacara pelantikan imam,+ lalu Harun dan anak-anak lelakinya meletakkan tangan mereka di atas kepala bebiri itu.+ 23  Musa menyembelih bebiri itu lalu mengambil sedikit darahnya dan menyapukan darah itu pada cuping telinga kanan, ibu jari tangan kanan, dan ibu jari kaki kanan Harun. 24  Kemudian Musa membawa anak-anak lelaki Harun ke hadapan lalu menyapukan sedikit darah pada cuping telinga kanan, ibu jari tangan kanan, dan ibu jari kaki kanan mereka. Dia memercikkan darah yang selebihnya pada setiap sisi mazbah.+ 25  Kemudian Musa mengambil lemak bebiri jantan itu, termasuk lemak pada usus dan hatinya. Dia juga mengambil ekornya yang berlemak, kedua-dua ginjal dengan lemaknya, dan kaki kanannya.+ 26  Daripada bakul roti tidak beragi yang terletak di hadapan Yehuwa, dia mengambil seketul roti berbentuk bulat,+ seketul roti berbentuk gelang yang dicampurkan dengan minyak,+ dan sekeping roti nipis. Dia meletakkan semua itu di atas lemak dan kaki kanan bebiri tersebut. 27  Selepas itu dia meletakkan semua itu di tangan Harun dan tangan anak-anak lelakinya lalu mengayunkan semuanya ke depan dan belakang sebagai korban kepada Yehuwa. 28  Kemudian dia mengambil korban itu daripada mereka dan membakarnya di atas mazbah bersama korban bakar yang dipersembahkan kepada Tuhan. Itulah korban untuk upacara pelantikan imam. Bau daripada korban yang dibakar itu menyenangkan hati Yehuwa. 29  Musa mengambil dada bebiri jantan yang dikorbankan untuk upacara pelantikan imam, lalu mengayunkannya ke depan dan belakang sebagai korban kepada Yehuwa.+ Bahagian itu menjadi milik Musa sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Yehuwa kepadanya.+ 30  Kemudian Musa mengambil sedikit minyak suci+ dan sedikit darah dari mazbah lalu memercikkan semuanya pada Harun, anak-anak lelakinya,+ dan pakaian mereka. Dengan ini, Harun, anak-anaknya, dan pakaian mereka menjadi suci.+ 31  Musa berkata kepada Harun dan anak-anak lelakinya, “Rebuslah+ dan makanlah daging korban ini bersama roti yang ada di dalam bakul, di hadapan pintu masuk khemah pertemuan, kerana Tuhan telah berfirman kepadaku, ‘Harun dan anak-anak lelakinya akan memakan semua ini.’+ 32  Jika ada lebihan daging dan roti, kamu harus membakarnya.+ 33  Kamu mesti berada di hadapan pintu masuk khemah pertemuan selama tujuh hari, sehingga upacara pelantikan kamu selesai. Hal ini demikian kerana upacara untuk melantik kamu sebagai imam akan berlangsung selama tujuh hari.+ 34  Yehuwa telah memerintahkan agar apa yang kita lakukan hari ini, juga dilakukan pada hari-hari seterusnya. Kita harus berbuat demikian untuk memohon pengampunan dosa bagi pihak kamu.+ 35  Kamu mesti berada di hadapan pintu masuk khemah pertemuan siang dan malam selama tujuh hari+ untuk melakukan segala yang diperintahkan oleh Yehuwa kepada kamu.+ Jika tidak, kamu akan mati. Hal ini demikian kerana itulah yang telah diperintahkan kepada aku.” 36  Maka Harun dan anak-anak lelakinya melakukan segala yang diperintahkan oleh Yehuwa melalui Musa.

Nota Kaki

Mungkin merujuk kepada pintu masuk halaman khemah.
Lihat Kamus.