Kejadian 2:1-25
2 Maka selesailah penciptaan segala sesuatu di langit dan di bumi.+
2 Menjelang hari ketujuh, pekerjaan Tuhan sudah selesai, dan pada hari ketujuh Dia mula berehat daripada semua kerja yang dilakukan-Nya.+
3 Kemudian Tuhan memberkati hari ketujuh dan menjadikannya hari yang suci, kerana pada hari itu Tuhan mula berehat setelah menciptakan segala sesuatu menurut tujuan-Nya.
4 Inilah sejarah tentang penciptaan langit dan bumi, iaitu pada hari Tuhan Yehuwa* menciptakan langit dan bumi.+
5 Bumi belum ada semak dan belum ada tumbuh-tumbuhan yang bercambah, kerana Tuhan Yehuwa belum menurunkan hujan ke bumi dan belum ada orang yang mengusahakan tanah.
6 Tetapi Tuhan menyebabkan kabus naik dari bumi dan membasahi seluruh permukaan tanah.
7 Kemudian Tuhan Yehuwa mengambil tanah dan membentuk seorang lelaki,+ lalu menghembuskan nafas kehidupan ke dalam lubang hidungnya.+ Demikianlah lelaki itu menjadi makhluk* yang hidup.+
8 Selanjutnya, Tuhan Yehuwa membuat sebuah taman di Eden,+ di sebelah timur. Di situ, Dia menempatkan lelaki yang sudah diciptakan oleh-Nya.+
9 Lalu Tuhan Yehuwa menumbuhkan segala jenis pokok yang cantik, yang buahnya baik untuk dimakan. Tuhan juga menumbuhkan pokok kehidupan+ di tengah-tengah taman itu, dan pokok pengetahuan tentang apa yang baik dan apa yang jahat.+
10 Ada sebatang sungai yang mengalir dari Eden dan mengairi taman itu, dan dari sana, sungai itu terbahagi menjadi empat batang sungai.
11 Sungai yang pertama ialah Pison, yang mengelilingi seluruh tanah Hawila, iaitu tempat yang ada emas.
12 Emas di situ bermutu tinggi. Di situ juga terdapat getah wangi dan batu oniks.
13 Sungai yang kedua ialah Gihon, yang mengalir mengelilingi seluruh tanah Kus.
14 Sungai yang ketiga ialah Hidekel,*+ yang mengalir di sebelah timur Assyria.+ Sungai yang keempat ialah Efrat.+
15 Tuhan Yehuwa menempatkan lelaki itu di Taman Eden untuk mengusahakan dan menjaga taman itu.+
16 Tuhan Yehuwa juga memberikan perintah berikut kepada lelaki itu: “Engkau boleh makan buah daripada setiap pokok di taman ini sehingga puas,+
17 tetapi engkau dilarang makan buah daripada pokok pengetahuan tentang apa yang baik dan apa yang jahat, kerana jika engkau memakannya, pada hari itu juga engkau akan mati.”+
18 Kemudian Tuhan Yehuwa berfirman, “Tidak baik lelaki itu hidup seorang diri. Aku akan memberinya seorang teman yang sesuai untuk menolongnya.”+
19 Pada masa itu, Tuhan Yehuwa masih membentuk setiap binatang liar dan setiap makhluk terbang di langit daripada tanah. Lalu Dia membawa semua binatang kepada lelaki itu untuk mengetahui nama yang akan diberikannya. Demikianlah semua makhluk itu mendapat nama masing-masing, sesuai dengan apa yang disebutkan lelaki itu.+
20 Lelaki itu pun menamakan semua binatang jinak dan makhluk terbang di langit, serta semua binatang liar. Tetapi dia tidak mempunyai teman yang sesuai untuk menolongnya.
21 Maka Tuhan Yehuwa menyebabkan lelaki itu tidur dengan nyenyak. Sementara dia terlena, Tuhan mengambil salah satu tulang rusuknya lalu menutup semula dagingnya.
22 Daripada tulang rusuk yang diambil itu, Tuhan Yehuwa membentuk seorang wanita lalu membawanya kepada lelaki itu.+
23 Kemudian lelaki itu berkata,
“Inilah dia, tulang daripada tulangku,Dan daging daripada dagingku.
Dia akan dipanggil Wanita,Kerana dia berasal daripada lelaki.”+
24 Itulah sebabnya seorang lelaki akan meninggalkan ibu bapanya dan tinggal bersama* isterinya, lalu mereka berdua akan menjadi satu.+
25 Lelaki dan isterinya itu masih telanjang,+ tetapi mereka tidak berasa malu.
Nota Kaki
^ Inilah kali pertama nama Tuhan, יהוה (YHWH), muncul. Lihat Lampiran A4.
^ Atau “Tigris.”
^ Dalam bahasa Ibrani, ungkapan ini bermaksud “berpaut erat, seolah-olah melekat pada sesuatu.”