Kejadian 21:1-34

  • Kelahiran Ishak (1-7)

  • Ismael mengejek Ishak (8, 9)

  • Hagar dan Ismael diusir (10-21)

  • Perjanjian Abraham dengan Abimelekh (22-34)

21  Seperti yang difirmankan, Yehuwa ingat akan Sara dan Yehuwa menepati janji-Nya.+ 2  Pada masa yang ditentukan oleh Tuhan, semasa Abraham sudah tua, Sara mengandung+ dan melahirkan seorang anak lelaki, seperti yang dijanjikan oleh Tuhan.+ 3  Abraham menamakan anak yang baru lahir itu Ishak,+ iaitu anak yang dilahirkan Sara baginya. 4  Semasa Ishak berumur lapan hari, Abraham menyunatnya seperti yang diperintahkan Tuhan.+ 5  Abraham berumur 100 tahun ketika Ishak dilahirkan. 6  Kemudian Sara berkata, “Tuhan telah membuat aku ketawa. Setiap orang yang mendengar tentang hal ini akan ketawa bersama-samaku.”* 7  Dia berkata lagi, “Siapakah dahulunya dapat memberitahu suamiku, ‘Sara akan menyusui anak’? Tetapi sekarang aku sudah melahirkan seorang anak lelaki untuk dia ketika umurnya sudah lanjut.” 8  Anak itu bertambah besar, lalu pada hari dia cerai susu, Abraham mengadakan jamuan besar. 9  Tetapi Sara memperhatikan bahawa anak lelaki Abraham yang dilahirkan oleh Hagar,+ orang Mesir itu, asyik mengejek Ishak.+ 10  Lalu Sara berkata kepada Abraham, “Usirlah hamba perempuan ini bersama anak lelakinya! Anak lelakinya tidak akan menjadi pewaris bersama-sama anakku Ishak.”+ 11  Abraham berasa susah hati semasa mendengar apa yang dikatakan oleh Sara mengenai anak lelakinya.+ 12  Tetapi Tuhan berfirman kepada Abraham, “Janganlah susah hati kerana apa yang dikatakan oleh Sara tentang anakmu dan hamba perempuanmu. Dengarlah cakap Sara, kerana keturunanmu akan datang daripada Ishak.+ 13  Mengenai anak hamba perempuanmu,+ Aku juga akan membuat keturunannya menjadi sebuah bangsa,+ kerana dia anakmu juga.” 14  Abraham bangun awal dan mengambil roti dan kirbat kulit yang berisi air, lalu memberikannya kepada Hagar. Dia meletakkan semuanya di atas bahu Hagar dan menyuruhnya pergi bersama anak lelakinya.+ Hagar bertolak dan mengembara di padang belantara Beer-syeba.+ 15  Akhirnya air di dalam kirbat itu habis. Hagar meninggalkan anaknya di bawah sebatang pokok renek 16  dan pergi duduk di suatu tempat yang sedikit jauh dari situ.* Dia berkata, “Aku tidak sanggup melihat anakku mati.” Jadi dia pun duduk di situ sambil meraung dan menangis. 17  Tuhan mendengar suara anak itu.+ Lalu malaikat Tuhan memanggil Hagar dari syurga dan berkata kepadanya,+ “Hagar, mengapa kamu menangis? Janganlah takut kerana Tuhan telah mendengar suara anakmu dari tempat dia ditinggalkan itu. 18  Bangunlah dan bantulah anakmu berdiri. Aku akan memberinya banyak keturunan sehingga menjadi sebuah bangsa yang besar.”+ 19  Kemudian Tuhan membuka mata Hagar, lalu dia nampak sebuah perigi. Maka dia pergi mengisi kirbatnya dengan air untuk diberikan kepada anaknya. 20  Tuhan menyertai anak itu+ seraya dia membesar. Dia hidup di padang belantara dan menjadi seorang pemanah. 21  Dia tinggal di padang belantara Paran,+ dan ibunya mengahwinkannya dengan seorang wanita dari Mesir. 22  Pada masa itu, Abimelekh dan Pikhol, iaitu ketua tenteranya, berkata kepada Abraham, “Tuhan menyertai kamu dalam apa sahaja yang kamu lakukan.+ 23  Oleh itu, bersumpahlah di sini, di hadapan Tuhan, bahawa kamu tidak akan memperdaya beta, anak-anak beta, ataupun keturunan beta. Bersumpahlah bahawa kamu akan menunjukkan kasih setia kepada beta dan kepada negeri yang kamu diami sekarang, sebagaimana beta sudah menunjukkan kasih setia kepadamu.”+ 24  Abraham berkata, “Baiklah, hamba bersumpah.” 25  Kemudian Abraham mengadu kepada Abimelekh tentang perigi yang telah dirampas oleh hamba-hambanya.+ 26  Abimelekh berkata, “Beta tidak tahu siapa yang melakukan hal ini. Kamu tidak memberitahu beta tentangnya, dan beta baru mendengarnya hari ini.” 27  Kemudian Abraham memberi Abimelekh biri-biri dan lembu, lalu mereka berdua membuat perjanjian. 28  Apabila Abraham mengasingkan tujuh ekor anak bebiri betina daripada kawanannya, 29  Abimelekh bertanya, “Mengapakah kamu mengasingkan tujuh ekor anak bebiri itu?” 30  Abraham menjawab, “Terimalah tujuh ekor anak bebiri ini daripada hamba sebagai tanda untuk membuktikan bahawa hambalah yang menggali perigi ini.” 31  Itulah sebabnya tempat itu dipanggil Beer-syeba,*+ kerana di situlah mereka berdua telah mengangkat sumpah. 32  Selepas mereka membuat perjanjian+ di Beer-syeba, Abimelekh dan Pikhol, iaitu ketua tenteranya, bangun lalu kembali ke negeri orang Filistin.+ 33  Kemudian Abraham menanam sebatang pokok* di Beer-syeba, dan di sana, dia memuji nama Yehuwa,+ Tuhan yang abadi.+ 34  Abraham tinggal* untuk masa yang lama di negeri orang Filistin.+

Nota Kaki

Atau mungkin, “akan mengetawakan aku.”
Atau “kira-kira sejauh jarak anak panah yang dilepaskan.”
Mungkin bermaksud “Perigi Sumpah” atau “Perigi Tujuh.”
Harfiah, “pokok tamarisk.”
Atau “tinggal sebagai orang asing.”