Kejadian 28:1-22

  • Ishak mengutus Yakub ke Padan-aram (1-9)

  • Yakub bermimpi di Bethel (10-22)

    • Tuhan mengesahkan janji-Nya kepada Yakub (13-15)

28  Ishak memanggil Yakub, memberkatinya, lalu berkata, “Jangan berkahwin dengan gadis Kanaan.+ 2  Pergilah ke Padan-aram, iaitu ke rumah datukmu* Betuel. Di situ, berkahwinlah dengan salah seorang anak perempuan Laban,+ abang ibumu. 3  Tuhan Yang Maha Kuasa akan memberkatimu. Dia akan melipatgandakan keturunanmu dan memberimu banyak anak cucu. Kamu akan menjadi nenek moyang kepada sebuah bangsa yang besar.+ 4  Berkat yang dijanjikan Tuhan kepada Abraham+ akan diberikan-Nya kepadamu dan keturunanmu. Meskipun kamu tinggal di negeri ini sebagai orang asing, kamu akan memiliki negeri ini yang telah diberikan oleh Tuhan kepada Abraham.”+ 5  Maka Ishak menyuruh Yakub pergi. Yakub pun berangkat ke Padan-aram, iaitu ke rumah Laban anak Betuel, orang Aram itu.+ Laban ialah abang Ribka,+ ibu kepada Yakub dan Esau. 6  Esau mendengar bahawa Ishak telah memberkati Yakub dan menyuruhnya pergi ke Padan-aram untuk mencari isteri di sana. Esau juga mendengar bahawa semasa Ishak memberkati Yakub, dia berkata, “Jangan berkahwin dengan gadis Kanaan.”+ 7  Esau mendapati bahawa Yakub mematuhi kata-kata ibu bapanya lalu berangkat ke Padan-aram.+ 8  Akhirnya Esau sedar bahawa bapanya, Ishak, tidak menyukai gadis-gadis Kanaan.+ 9  Maka Esau pergi berjumpa dengan Ismael anak Abraham, dan mengahwini Mahalat, anak perempuannya. (Mahalat ialah adik Nebayot.) Sebelum itu, Esau sudah mempunyai dua orang isteri.+ 10  Yakub meninggalkan Beer-syeba dan menuju ke Haran.+ 11  Sewaktu matahari terbenam, dia tiba di suatu tempat lalu bermalam di sana. Dia berbaring untuk tidur, dan kepalanya berbantalkan batu.+ 12  Kemudian dia bermimpi, dan dalam mimpinya, dia nampak sebuah tangga di bumi yang hujungnya sampai ke syurga. Malaikat-malaikat Tuhan sedang naik turun tangga itu.+ 13  Dia nampak Yehuwa di atas tangga itu. Tuhan berfirman, “Akulah Yehuwa, Tuhan kepada datukmu Abraham, dan Tuhan kepada Ishak.+ Tanah tempat engkau berbaring ini akan Aku berikan kepadamu dan keturunanmu.+ 14  Keturunanmu akan menjadi sebanyak debu di bumi,+ dan tersebar luas ke utara, selatan, timur, dan barat. Melalui engkau dan keturunanmu, semua bangsa* di bumi akan diberkati.*+ 15  Aku akan menyertaimu dan melindungimu ke mana sahaja engkau pergi, lalu Aku akan membawa engkau kembali ke negeri ini.+ Aku tidak akan meninggalkanmu sehingga Aku menepati janji-Ku kepadamu.”+ 16  Kemudian Yakub bangun daripada tidur dan berkata, “Sememangnya Yehuwa berada di tempat ini, dan baru sekarang aku mengetahuinya.” 17  Yakub berasa takut dan kagum lalu berkata, “Tempat ini sungguh luar biasa! Sudah tentu ini rumah Tuhan,+ dan inilah pintu gerbang syurga.”+ 18  Pada awal pagi, Yakub bangun dan mengambil batu yang digunakannya sebagai bantal, lalu menegakkan batu itu menjadi batu peringatan. Kemudian dia menuangkan minyak di atas batu itu,+ 19  dan menamakan tempat itu Bethel,* tetapi kota yang berhampiran dengannya dikenali sebagai Lus sebelum ini.+ 20  Yakub berikrar, “Jika Tuhan menyertai dan melindungiku sepanjang perjalananku, dan membekalkan makanan dan pakaian kepadaku 21  sehingga aku kembali ke rumah bapaku dengan selamat, maka terbuktilah bahawa Yehuwa sememangnya Tuhanku. 22  Batu peringatan yang aku tegakkan ini akan menjadi rumah Tuhan.+ Aku akan memberi Engkau satu persepuluh daripada segala yang Engkau berikan kepadaku.”

Nota Kaki

Harfiah, “bapa kepada ibumu.”
Harfiah, “keluarga.”
Mungkin menunjukkan bahawa usaha diperlukan untuk memperoleh berkat.
Maksudnya “Rumah Tuhan.”