Kejadian 44:1-34

  • Cawan perak Yusuf di dalam guni Benyamin (1-17)

  • Yehuda merayu bagi pihak Benyamin (18-34)

44  Kemudian Yusuf memerintahkan hamba yang mengurus rumahnya, “Isilah guni semua orang itu dengan seberapa banyak makanan yang dapat dibawa oleh mereka. Kemudian letakkanlah wang mereka di atas makanan di dalam guni masing-masing.+ 2  Tetapi kamu mesti memasukkan cawan perakku ke dalam guni adik mereka yang bongsu. Masukkan juga wang yang dibawanya untuk membeli makanan.” Maka hamba itu melakukan apa yang disuruh oleh Yusuf. 3  Keesokan harinya, semasa hari sudah terang, adik-beradik Yusuf berangkat dengan keldai-keldai mereka. 4  Setelah mereka pergi tidak berapa jauh dari kota, Yusuf berkata kepada hamba yang mengurus rumahnya, “Cepat! Kejarlah mereka. Setelah kamu menyusul mereka, katakan kepada mereka, ‘Mengapa kamu membalas kebaikan dengan kejahatan? 5  Mengapa kamu mengambil cawan perak tuan? Cawan itu dipakainya untuk minum dan untuk meramal masa depan. Kamu telah melakukan sesuatu yang sangat jahat.’” 6  Apabila hamba itu bertemu dengan mereka, dia mengatakan apa yang diperintahkan oleh Yusuf. 7  Tetapi mereka berkata kepadanya, “Mengapakah tuan mengatakan hal sedemikian? Mustahil kami berbuat begitu. 8  Dahulu wang yang kami nampak di dalam guni kami, sudah kami bawa dari Kanaan+ dan pulangkan kepada tuan. Jadi bagaimana mungkin kami mencuri perak atau emas dari rumah tuanmu? 9  Jika salah seorang daripada kami didapati mempunyai cawan itu, biarlah dia dihukum mati dan kami semua akan menjadi hamba tuan.” 10  Maka hamba itu berkata, “Baiklah, tetapi hanya orang yang didapati mempunyai cawan itu akan menjadi hambaku. Yang lain tidak akan dipersalahkan.” 11  Oleh itu, setiap orang segera menurunkan dan membuka guni masing-masing. 12  Hamba Yusuf itu memeriksa guni-guni mereka dengan teliti, bermula dengan guni kepunyaan yang sulung sehingga guni kepunyaan yang bongsu. Akhirnya cawan itu dijumpai di dalam guni Benyamin.+ 13  Lalu mereka mengoyakkan jubah mereka, dan setelah mereka menaikkan semula guni masing-masing ke atas keldai mereka, mereka kembali semula ke kota. 14  Semasa Yehuda+ dan adik-beradiknya tiba di rumah Yusuf, Yusuf masih di sana. Lalu mereka bersujud di hadapannya.+ 15  Yusuf berkata kepada mereka, “Apakah yang sudah kamu lakukan? Tidakkah kamu tahu bahawa aku ini pandai meramal masa depan?”+ 16  Yehuda menjawab, “Apa lagi yang dapat kami katakan kepada tuan? Apakah yang dapat kami ucapkan? Bagaimanakah kami dapat membuktikan kami tidak bersalah? Tuhan yang benar telah mendedahkan kesalahan kami.+ Sekarang, kami semua, termasuk orang yang didapati mempunyai cawan itu, akan menjadi hamba tuan.” 17  Yusuf berkata, “Mustahil aku berbuat demikian! Hanya orang yang didapati mempunyai cawan itu akan menjadi hambaku.+ Kamu yang lain boleh kembali kepada bapa kamu dengan damai.” 18  Yehuda pun mendekati Yusuf lalu berkata, “Aku memohon kepada tuan, izinkanlah aku bercakap kepada tuan. Janganlah marah dengan aku, kerana tuan seperti Firaun sendiri.+ 19  Tuan bertanya kepada kami, ‘Adakah ayah kamu masih hidup dan adakah kamu mempunyai adik lelaki yang lain?’ 20  Oleh itu, kami menjawab, ‘Ya. Ayah kami sudah berumur dan adik kami yang bongsu dilahirkan semasa ayah kami sudah tua.+ Adik kami itu mempunyai hanya seorang abang yang seibu dengannya.+ Tetapi abangnya telah meninggal+ dan ayah sangat menyayangi adik kami itu.’ 21  Selepas itu, tuan berkata kepada kami, ‘Bawalah adik kamu supaya aku dapat melihatnya.’+ 22  Tetapi kami berkata, ‘Anak itu tidak boleh berpisah daripada ayahnya. Jika dia berpisah daripadanya, ayah kami pasti akan mati.’+ 23  Kemudian tuan berkata kepada kami, ‘Jika kamu tidak membawa adik bongsu kamu bersama, jangan datang menghadap aku.’+ 24  “Kami kembali kepada bapa kami, dan menyampaikan kata-kata tuan kepadanya. 25  Beberapa lama kemudian, bapa kami berkata, ‘Pergilah ke sana lagi dan belilah sedikit makanan untuk kita.’+ 26  Kami menjawab, ‘Kami tidak dapat pergi ke sana, kerana kami tidak boleh menghadap orang itu selagi kami tidak membawa adik kami yang bongsu. Kami hanya akan pergi jika adik kami yang bongsu ikut bersama kami.’+ 27  Bapa kami berkata, ‘Kamu sendiri tahu bahawa isteriku hanya melahirkan dua orang anak lelaki untukku.+ 28  Tetapi salah seorang daripada mereka telah meninggalkan aku, dan aku berkata, “Dia pasti telah dicarik-carik oleh binatang buas!”+ Sejak itu, aku tidak melihatnya lagi. 29  Jika kamu mengambil anak ini daripadaku juga, dan jika dia ditimpa kemalangan dan terbunuh, kamu akan menyebabkan aku, orang yang beruban ini, turun ke dalam Kuburan*+ dengan penuh kesedihan.’+ 30  “Bapaku mengasihi anak itu lebih daripada nyawanya sendiri. Oleh itu, jika aku pulang kepada bapaku tanpa anak itu, 31  dan bapaku sedar bahawa anaknya sudah tiada, dia akan mati. Jika hal itu berlaku, kamilah yang akan menyebabkan bapa kami yang beruban turun ke dalam Kuburan* dengan penuh kesedihan. 32  Aku telah berjanji kepada bapaku bahawa aku akan menjamin keselamatan anak itu. Aku berkata kepadanya, ‘Jika saya gagal membawanya pulang dan menyerahkannya kepada ayah, saya akan menanggung dosa terhadap ayah seumur hidup.’+ 33  Oleh itu, sekarang, aku memohon agar tuan mengizinkan aku tinggal di sini sebagai hamba tuan untuk menggantikan anak ini. Biarlah dia pulang bersama dengan abang-abangnya. 34  Bagaimanakah aku dapat balik kepada bapaku jika anak itu tidak bersama denganku? Aku tidak sanggup melihat malapetaka itu menimpa bapaku!”

Nota Kaki

Lihat Kamus.
Lihat Kamus.