Kejadian 49:1-33

  • Yakub bernubuat sebelum meninggal (1-28)

    • Silo datang dari keturunan Yehuda (10)

  • Arahan pengebumian Yakub (29-32)

  • Kematian Yakub (33)

49  Yakub memanggil anak-anak lelakinya dan berkata, “Berkumpullah di sini. Aku hendak memberitahu kamu apa yang akan berlaku kepada kamu pada kemudian hari. 2  Berkumpullah dan dengarlah, hai anak-anak Yakub. Dengarlah kata-kata Israel, bapa kamu. 3  “Ruben,+ kamulah anak sulungku+ dan kekuatanku. Antara semua keturunanku, kamulah yang pertama sekali dilahirkan. Kemuliaanmu terserlah dan kekuatanmu menonjol. 4  Tetapi kamu tidak akan menjadi yang terutama, kerana kamu bertindak melulu seperti banjir yang deras. Kamu meniduri isteri bapamu dan mencemari katil bapamu.+ Tergamak kamu naik ke atas katil bapamu! 5  “Simeon dan Lewi bersaudara.+ Mereka menggunakan senjata mereka untuk melakukan keganasan.+ 6  Wahai jiwaku, janganlah bergaul dengan mereka, dan wahai batinku,* janganlah berkumpul dengan mereka. Mereka telah membunuh orang ketika mereka marah,+ dan mereka melumpuhkan lembu jantan semata-mata untuk berseronok. 7  Terkutuklah kemarahan mereka yang sangat kejam. Terkutuklah keberangan mereka yang sangat dahsyat.+ Biarlah aku menyelerakkan mereka di tanah milik Yakub, dan biarlah aku mencerai-beraikan mereka di tanah milik Israel.+ 8  “Yehuda,+ adik-beradikmu akan memujimu.+ Tanganmu akan menerkam tengkuk musuh-musuhmu.+ Anak-anak lelaki kepada bapamu akan bersujud di hadapanmu.+ 9  Yehuda seperti anak singa.+ Hai anakku, kamu memakan mangsamu lalu beredar. Kamu berbaring dan menggeliat seperti singa. Oleh sebab kamu seperti seekor singa, siapakah yang berani mengusik kamu? 10  Yehuda akan sentiasa memegang tongkat kerajaan,+ dan tongkat pemerintah akan sentiasa ada di antara kakinya sehingga Silo* datang,+ dan semua orang harus mematuhi dia.*+ 11  Dia mengikat keldainya pada pokok anggur, dan mengikat anak keldainya pada pokok anggur yang terbaik. Dia akan membasuh pakaiannya dengan wain, dan mencuci jubahnya dengan air anggur yang merah seperti darah. 12  Matanya merah padam kerana minum wain, dan giginya putih kerana minum susu. 13  “Zebulon+ akan tinggal di persisiran laut, dan kapal-kapal akan berlabuh di pantainya.+ Sempadan wilayahnya akan sampai ke Sidon.+ 14  “Isakhar+ seperti keldai yang kuat tulangnya, yang berbaring di antara dua buah kantung yang dipasang pada pelananya. 15  Dia melihat betapa baiknya tempat rehat itu dan betapa indahnya negeri itu. Dia membongkok untuk memikul beban dengan bahunya dan akan menjadi hamba yang bekerja keras. 16  “Dan+ akan menghakimi semua orang, dan menjadi salah satu suku Israel.+ 17  Dia bagaikan ular di pinggir jalan, iaitu ular berbisa di tepi lorong, yang mematuk tumit kuda sehingga penunggangnya tercampak.+ 18  Ya Yehuwa, aku menantikan penyelamatan daripada-Mu. 19  “Gad+ akan diserang oleh kumpulan perompak, namun dia akan menyerang mereka dari belakang.+ 20  “Asyer+ akan menghasilkan makanan yang berlimpah-limpah, dan dia akan menyediakan makanan yang sesuai untuk raja.+ 21  “Naftali+ seperti rusa betina yang pantas. Dia mengucapkan kata-kata yang indah.+ 22  “Yusuf+ seperti dahan daripada pokok yang berbuah lebat. Pokok yang berbuah lebat itu tumbuh berhampiran mata air, dan cabangnya naik sehingga menjadi lebih tinggi daripada dinding. 23  Para pemanah asyik menyerangnya dengan sengit. Mereka melepaskan anak panah ke arahnya dan asyik menaruh dendam terhadapnya.+ 24  Meskipun demikian, busurnya tidak berganjak,+ dan tangannya tetap kuat dan tangkas.+ Perkara ini berasal daripada dia yang berkuasa yang membantu Yakub, daripada gembala dan batu yang menyokong Israel. 25  Dia* dikurniakan oleh Tuhan yang disembah bapanya, dan Tuhan akan menolongnya. Dia ada bersama Tuhan Yang Maha Kuasa, yang akan memberkatinya dan memberinya hujan dari langit dan air dari bawah tanah,+ serta mengurniainya banyak anak dan ternakan. 26  Berkat yang diberikan oleh bapanya lebih unggul daripada barang-barang bernilai di gunung-ganang yang abadi, dan lebih unggul daripada keindahan bukit-bukit yang kekal.+ Berkat-berkat itu akan sentiasa dicurahkan ke atas kepala Yusuf, iaitu ke atas kepala orang yang terpilih dalam kalangan adik-beradiknya.+ 27  “Benyamin+ akan mencarik-carik mangsanya seperti seekor serigala.+ Pada waktu pagi, dia akan memakan mangsanya. Pada waktu petang, dia akan membahagi-bahagikan mangsanya.”+ 28  Mereka semua ialah 12 suku Israel, dan itulah yang dikatakan oleh bapa mereka semasa dia memberkati mereka. Dia memberikan berkat yang sesuai kepada setiap anaknya.+ 29  Kemudian dia memberikan perintah berikut: “Tidak lama lagi, aku akan meninggal seperti nenek moyangku.+ Kebumikanlah aku bersama dengan nenek moyangku di gua yang terletak di tanah milik Efron, orang Het.+ 30  Itulah gua yang terletak di tanah Makhpela, berdekatan Mamre di Kanaan, iaitu tanah yang dibeli oleh Abraham daripada Efron, orang Het, untuk dijadikan tempat pengebumian. 31  Di sanalah Abraham dan isterinya Sara dikebumikan.+ Di sana juga Ishak+ dan isterinya Ribka dikebumikan, dan di sanalah aku mengebumikan Lea. 32  Tanah dan gua yang ada di situ telah dibeli daripada orang Het.”+ 33  Selepas Yakub menyampaikan pesanannya kepada anak-anak lelakinya, dia berbaring di atas katil dan menghembuskan nafas yang terakhir, lalu meninggal seperti nenek moyangnya.+

Nota Kaki

Atau mungkin, “wahai kecenderungan hatiku.” Harfiah, “wahai kemuliaanku.”
Maksudnya “Dia yang Memilikinya.”
Nampaknya merujuk kepada Silo.
Iaitu, Yusuf.