Keluaran 10:1-29
10 Kemudian Yehuwa berfirman kepada Musa, “Pergilah menghadap Firaun kerana Aku telah membiarkan dia dan para pegawainya berkeras hati.+ Dengan itu, Aku dapat melakukan mukjizat-mukjizat-Ku di hadapannya.+
2 Maka engkau dapat memberitahu keturunanmu tentang hukuman berat yang Aku jatuhkan atas Mesir dan mukjizat-mukjizat yang Aku lakukan dalam kalangan mereka.+ Demikianlah kamu semua akan tahu bahawa Akulah Yehuwa.”
3 Oleh itu, Musa dan Harun pergi menghadap Firaun dan berkata kepadanya, “Inilah firman Yehuwa, Tuhan orang Ibrani: ‘Untuk berapa lamakah engkau akan menentang Aku?+ Benarkanlah umat-Ku pergi agar mereka dapat menyembah Aku.
4 Jika engkau masih enggan membenarkan umat-Ku pergi, Aku akan mendatangkan belalang juta ke negerimu pada hari esok.
5 Seluruh permukaan tanah akan diliputi belalang juta sehingga permukaan tanah tidak dapat dilihat. Belalang ini akan memakan apa sahaja yang belum dimusnahkan hujan batu, termasuk semua pokok di ladang.+
6 Belalang juta akan memenuhi istanamu, rumah semua pegawaimu, dan semua rumah di Mesir. Bencana ini akan lebih dahsyat daripada apa yang pernah terjadi sejak zaman nenek moyangmu sehingga hari ini.’”+ Kemudian Musa berpaling lalu pergi.
7 Kemudian para pegawai Firaun berkata kepada Firaun, “Untuk berapa lamakah orang ini akan mendatangkan kesusahan kepada kita? Benarkanlah mereka pergi untuk beribadat kepada Yehuwa, Tuhan mereka. Tidakkah tuanku sedar bahawa Mesir sudah hancur?”
8 Maka Firaun memanggil Musa dan Harun lalu berkata kepada mereka, “Pergilah beribadat kepada Yehuwa, Tuhan kamu. Tetapi siapakah yang akan pergi?”
9 Musa menjawab, “Hamba sekalian akan pergi, termasuk orang muda, orang tua, anak lelaki, dan anak perempuan hamba sekalian. Hamba sekalian juga akan membawa kawanan biri-biri dan lembu,+ kerana hamba sekalian akan menyambut perayaan untuk Yehuwa.”+
10 Firaun berkata, “Sekiranya beta membenarkan kamu dan anak-anak kamu pergi, kamu pasti akan berkata bahawa Yehuwa menyertai kamu!+ Jelaslah, kamu semua berniat jahat.
11 Tidak! Hanya kaum lelaki yang boleh pergi untuk beribadat kepada Yehuwa, kerana itulah yang kamu mahu.” Selepas itu, mereka dihalau dari hadapan Firaun.
12 Kemudian Yehuwa berfirman kepada Musa, “Hulurkanlah tanganmu ke atas Mesir untuk mendatangkan belalang juta. Belalang juta akan datang untuk memakan segala tumbuhan di Mesir yang tidak dimusnahkan oleh hujan batu.”
13 Musa segera mengangkat tongkatnya, dan Yehuwa menyebabkan angin timur bertiup ke negeri itu sepanjang hari dan sepanjang malam. Menjelang pagi, angin timur telah membawa belalang juta.
14 Belalang juta datang dan meliputi seluruh Mesir.+ Keadaannya begitu teruk sehingga seluruh negeri penuh dengan belalang.+ Orang belum pernah melihat belalang juta sebegitu banyak, dan selepas itu, hal sedemikian tidak terjadi lagi.
15 Belalang juta meliputi semua permukaan tanah sehingga negeri itu menjadi gelap. Belalang memakan semua tanaman di ladang dan buah di pokok yang tidak dimusnahkan oleh hujan batu. Tiada sehelai rumput atau daun hijau pun yang tertinggal di seluruh Mesir.
16 Maka Firaun segera memanggil Musa dan Harun lalu berkata, “Beta telah berdosa terhadap Yehuwa, Tuhan kamu, dan terhadap kamu.
17 Ampunkanlah dosa beta kali ini saja. Berdoalah kepada Yehuwa, Tuhan kamu, agar Dia menjauhkan tulah yang dahsyat ini daripada beta.”
18 Kemudian Musa meninggalkan Firaun lalu berdoa kepada Yehuwa.+
19 Maka Yehuwa mengubah arah angin timur sehingga menjadi angin barat yang kencang. Belalang juta ditiup oleh angin barat dan dibawa ke Laut Merah. Tiada seekor belalang pun yang tertinggal di seluruh Mesir.
20 Namun Yehuwa membiarkan Firaun berkeras hati+ sehingga dia enggan membenarkan orang Israel pergi.
21 Kemudian Yehuwa berfirman kepada Musa, “Angkatlah tanganmu ke arah langit supaya kegelapan yang sangat pekat menyelubungi seluruh Mesir.”
22 Musa segera mengangkat tangannya ke arah langit, maka kegelapan yang sangat pekat menyelubungi seluruh Mesir selama tiga hari.+
23 Orang Mesir tidak dapat melihat satu sama lain, dan tiada seorang pun yang keluar dari tempat tinggal mereka selama tiga hari. Namun tempat tinggal orang Israel tetap terang.+
24 Kemudian Firaun memanggil Musa lalu berkata, “Pergilah beribadat kepada Yehuwa.+ Anak-anak kamu pun boleh pergi. Tetapi kamu tidak boleh membawa bebiri dan lembu kamu.”
25 Musa berkata, “Tidak, tuanku juga harus membenarkan hamba semua membawa binatang untuk dipersembahkan sebagai korban kepada Yehuwa, Tuhan hamba semua.+
26 Hamba semua mesti membawa semua ternakan. Tidak ada seekor pun yang boleh ditinggalkan, kerana hamba semua akan memilih beberapa ekor binatang untuk beribadat kepada Yehuwa, Tuhan hamba semua. Hamba semua tidak tahu apa yang hendak dipersembahkan kepada Yehuwa selagi hamba semua belum tiba di sana.”
27 Maka Yehuwa membiarkan Firaun berkeras hati sehingga dia tidak membenarkan orang Israel pergi.+
28 Firaun berkata kepada Musa, “Berambuslah dari sini! Jangan menghadap beta lagi! Jika kamu menghadap beta lagi, kamu akan mati.”
29 Musa menjawab, “Seperti yang tuanku perintahkan, hamba tidak akan menghadap tuanku lagi.”