Keluaran 17:1-16
17 Segenap umat Israel meninggalkan padang belantara Sin+ lalu berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain menurut perintah Yehuwa.+ Mereka berkhemah di Rafidim,+ tetapi mereka tidak menjumpai air minum di sana.
2 Maka mereka mula bertengkar dengan Musa+ dan berkata, “Berilah kami air minum.” Musa menjawab, “Mengapakah kamu mahu bertengkar dengan aku? Mengapakah kamu asyik menguji Yehuwa?”+
3 Tetapi mereka terlalu dahaga dan terus bersungut-sungut terhadap Musa.+ Mereka berkata, “Mengapa kamu membawa kami keluar dari Mesir? Adakah kamu mahu kami, anak-anak kami, dan ternakan kami mati kehausan?”
4 Akhirnya Musa berseru kepada Yehuwa, “Apakah yang harus aku lakukan terhadap umat ini? Tidak lama lagi mereka akan merejam aku!”
5 Kemudian Yehuwa berfirman kepada Musa, “Pilihlah beberapa orang pemimpin Israel dan pergilah bersama mereka mendahului orang Israel. Bawalah juga tongkat yang pernah engkau gunakan untuk memukul Sungai Nil.+
6 Aku akan berdiri di hadapan engkau di atas batu di Horeb. Pukullah batu itu, dan air akan memancar keluar agar orang dapat meminumnya.”+ Musa berbuat demikian di hadapan para pemimpin orang Israel.
7 Jadi dia menamakan tempat itu Masah*+ dan Meriba*+ kerana orang Israel bertengkar dengannya, dan kerana mereka menguji Yehuwa+ dengan bertanya, “Adakah Yehuwa menyertai kita atau tidak?”
8 Selepas itu orang Amalek+ datang menyerang orang Israel di Rafidim.+
9 Maka Musa berkata kepada Yosua,+ “Pilihlah sebilangan lelaki untuk memerangi orang Amalek. Esok aku akan berdiri di puncak bukit sambil memegang tongkat Tuhan yang benar.”
10 Yosua melakukan apa yang disuruh oleh Musa+ dan pergi memerangi orang Amalek. Musa, Harun, dan Hur+ pula naik ke puncak bukit.
11 Selagi Musa mengangkat tangannya, orang Israel menang. Tetapi sebaik sahaja dia menurunkan tangannya, orang Amalek menang.
12 Apabila tangan Musa letih, mereka mengambil sebuah batu supaya Musa dapat duduk di atasnya. Kemudian Harun dan Hur berdiri di sisi Musa untuk menyokong tangannya, supaya tangannya tetap terangkat sampai matahari terbenam.
13 Demikianlah Yosua mengalahkan orang Amalek dan pasukan mereka dengan pedang.
14 Kemudian Yehuwa berfirman kepada Musa, “Tulislah hal ini dalam kitab sebagai suatu peringatan, dan sampaikannya kepada Yosua, ‘Aku akan melenyapkan orang Amalek dari muka bumi ini dan mereka tidak akan dikenang lagi.’”+
15 Musa membina sebuah mazbah dan menamakannya Yehuwa-nissi.*
16 Musa berkata, “Orang Amalek menentang pemerintahan Yah.+ Itulah sebabnya Yehuwa akan berperang melawan orang Amalek dan semua keturunan mereka.”+
Nota Kaki
^ Maksudnya “Bertengkar; Menentang.”
^ Maksudnya “Cubaan; Ujian.”
^ Dalam bahasa Ibrani, “nissi” bererti “tiang untuk memberikan isyarat.”