Keluaran 28:1-43
28 “Panggillah abangmu Harun+ dan anak-anak lelakinya,+ iaitu Nadab, Abihu,+ Eleazar, dan Itamar+ daripada kalangan umat Israel untuk berkhidmat sebagai imam kepada-Ku.+
2 Buatlah pakaian suci sebagai lambang kemuliaan dan keindahan untuk abangmu Harun.+
3 Panggillah orang yang mahir, yang telah Aku kurniai kebijaksanaan,+ dan suruhlah mereka membuat pakaian Harun supaya dia dapat disucikan untuk berkhidmat sebagai imam kepada-Ku.
4 “Suruhlah mereka membuat pakaian berikut: Penutup dada,+ efod,*+ jubah yang tidak berlengan,+ jubah yang bercorak petak, serban,+ dan pengikat pinggang jubah.+ Buatlah pakaian suci ini untuk abangmu Harun dan anak-anaknya supaya mereka dapat berkhidmat sebagai imam kepada-Ku.
5 Pekerja-pekerja yang mahir haruslah menggunakan benang emas, benang biru, benang merah, kain bulu yang dicelup ungu, dan kain linen yang halus.
6 “Efod haruslah ditenun daripada benang emas, benang biru, benang merah, kain bulu yang dicelup ungu, dan kain linen halus yang dipintal.+
7 Bahagian depan dan belakang efod haruslah disambungkan dengan menggunakan dua helai kain bahu.
8 Tenunlah pengikat pinggang+ efod daripada bahan yang sama, iaitu benang emas, benang biru, benang merah, kain bulu yang dicelup ungu, dan kain linen halus yang dipintal. Pengikat itu haruslah dijahit pada efod supaya efod dapat diikat dengan rapi pada pinggang.
9 “Ambillah dua biji batu oniks+ dan ukirkan nama anak-anak lelaki Israel+ pada batu itu,
10 iaitu enam nama pada satu batu dan enam lagi pada batu yang lain, mengikut turutan kelahiran mereka.
11 Tukang batu haruslah mengukirkan nama anak-anak lelaki Israel pada dua biji batu itu. Mereka haruslah mengukirnya seperti mengukir meterai.+ Batu-batu itu haruslah ditatah pada bingkai emas.
12 Pasangkan kedua-dua batu itu pada kain bahu efod sebagai tanda peringatan bagi orang Israel.+ Dengan itu, Harun akan membawa nama mereka di atas bahunya sebagai tanda peringatan semasa menghadap Aku, Yehuwa.
13 Buatlah bingkai-bingkai emas
14 dan dua utas rantai emas tulen yang dipintal seperti tali,+ lalu pasangkan rantai itu pada bingkai emas.+
15 “Buatlah sehelai penutup dada penghakiman.+ Penutup dada ini haruslah disulam daripada bahan-bahan yang digunakan untuk membuat efod, iaitu benang emas, benang biru, benang merah, kain bulu yang dicelup ungu, dan kain linen halus yang dipintal.+
16 Penutup dada itu haruslah berbentuk segi empat apabila dilipat dua. Ukurannya haruslah 22.2 sentimeter* panjang dan 22.2 sentimeter lebar.
17 Penutup dada itu harus ditatah dengan empat baris batu permata. Pada baris pertama, batu delima, batu topaz, dan batu zamrud.
18 Pada baris kedua, batu firus, batu nilam, dan batu jasper.
19 Pada baris ketiga, batu leshem,* batu akik, dan batu kecubung.
20 Pada baris keempat, batu krisolit, batu oniks, dan batu jed. Batu-batu itu haruslah ditatah pada bingkai emas.
21 Ukirkan nama 12 anak lelaki Israel di atas batu-batu itu, seperti mengukir meterai. Ukirkan satu nama di atas satu batu. Nama-nama itu melambangkan 12 suku Israel.
22 “Buatlah dua utas rantai daripada emas tulen yang dipintal seperti tali untuk penutup dada.+
23 Buatlah juga dua gelang emas, dan pasangkan gelang-gelang itu pada kedua-dua sudut bahagian atas penutup dada.
24 Masukkan rantai emas ke dalam gelang emas pada kedua-dua sudut penutup dada.
25 Sambungkan hujung rantai emas dengan bingkai emas pada kain bahu efod. Dengan itu, penutup dada akan berada di bahagian depan efod.
26 Kemudian buatlah dua gelang emas dan pasangkan gelang-gelang itu pada sudut bahagian bawah penutup dada, yang kena pada efod.+
27 Buatlah dua gelang emas lagi dan pasangkan gelang-gelang itu di bahagian bawah sebelah depan efod, iaitu di atas pengikat pinggang efod yang ditenun, dekat jahitan yang menyambungkan pengikat pinggang dengan efod.+
28 Gunakanlah seutas tali biru untuk menyambungkan gelang penutup dada itu dengan gelang yang ada pada efod, supaya penutup dada itu terletak di atas pengikat pinggang dan tidak terlepas daripada efod.
29 “Semasa Harun memasuki Bilik Suci, dia haruslah memakai penutup dada penghakiman yang mengandungi nama anak-anak Israel. Dia memakai penutup ini di atas dadanya sebagai tanda peringatan di hadapan Aku, Yehuwa.
30 Masukkan Urim dan Tumim*+ ke dalam penutup dada penghakiman. Dia haruslah sentiasa memakai penutup itu di atas dadanya semasa menghadap Aku, Yehuwa. Semasa Harun menghadap Aku, Yehuwa, dia haruslah membawa Urim dan Tumim yang digunakan untuk menghakimi bangsa Israel.
31 “Buatlah jubah yang tidak berlengan untuk dipakai di bawah efod. Seluruh jubah itu haruslah dibuat daripada benang biru.+
32 Pinggir lubang leher jubah itu haruslah ditenun seperti pinggir pada leher baju zirah, supaya tidak mudah koyak.
33 Di sekeliling hujung jubah itu, buatlah hiasan berupa buah delima daripada benang biru, benang merah, dan kain bulu yang dicelup ungu. Buatlah juga loceng emas di antara buah delima itu.
34 Susunlah buah delima dan loceng emas itu secara berselang-seli di sekeliling hujung jubah yang tidak berlengan itu.
35 Harun mesti memakai jubah itu semasa dia bertugas di hadapan Aku, Yehuwa, di dalam khemah suci. Apabila dia masuk atau keluar, bunyi loceng akan kedengaran dan dia tidak akan mati.+
36 “Buatlah satu kepingan nipis daripada emas tulen yang berkilat. Ukirkan perkataan, ‘Kesucian milik Yehuwa’+ pada kepingan itu. Ukirkannya seperti mengukir meterai.
37 Ikatkan kepingan itu di bahagian depan serban+ dengan tali biru.
38 Harun mesti memakainya pada dahinya, dan dia akan bertanggungjawab apabila orang Israel berdosa terhadap benda-benda suci,+ iaitu semasa mereka mempersembahkan korban suci kepada-Ku. Kepingan itu mestilah selalu diikat pada dahi Harun, supaya Aku, Yehuwa, berkenan kepada mereka.
39 “Buatlah serban daripada kain linen halus. Tenunlah juga pengikat pinggang jubah+ dan jubah yang bercorak petak daripada kain linen halus.
40 “Buatlah jubah, pengikat pinggang jubah, dan pengikat kepala sebagai lambang kemuliaan dan keindahan+ untuk anak-anak lelaki Harun.+
41 Kenakanlah pakaian itu pada abangmu Harun dan anak-anak lelakinya, dan urapilah mereka.+ Lantiklah mereka+ dan sucikanlah mereka supaya mereka dapat berkhidmat sebagai imam kepada-Ku.
42 Buatlah seluar pendek daripada kain linen untuk menutupi bahagian sulit mereka.+ Panjang seluar itu mestilah dari pinggang ke paha.
43 Semua itu haruslah dipakai oleh Harun dan anak-anak lelakinya semasa mereka memasuki khemah pertemuan, atau semasa mereka mendekati mazbah untuk bertugas di khemah suci. Mereka mesti berbuat demikian supaya mereka tidak berdosa lalu dihukum mati. Perintah ini haruslah sentiasa dipatuhi oleh Harun dan keturunannya.
Nota Kaki
^ Lihat Kamus dan Lampiran B5.
^ Harfiah, “1 jengkal.” Lihat Lampiran B14.
^ Sejenis batu berharga yang tidak dapat dikenal pasti, mungkin merujuk kepada batu ambar, batu hiasint, batu baiduri, atau batu turmalin.